ZAKHARIA 13:1-9

ZAKHARIA 13:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Pada masa itu kelak, sebuah mata air akan memancar untuk menyucikan keturunan Daud dan penduduk Yerusalem daripada dosa dan penyembahan berhala yang dilakukan mereka. Pada masa itu Aku akan menghapus nama berhala-berhala di negeri ini; tiada sesiapa pun akan mengingatnya lagi. Aku akan melenyapkan sesiapa sahaja yang mengaku dirinya nabi, dan melenyapkan keinginan untuk menyembah berhala. Kemudian sesiapa yang masih hendak bernubuat, ibu bapanya sendiri akan memberitahu dia bahawa dia mesti dihukum mati, kerana mengaku menyampaikan perkhabaran TUHAN, padahal dia berdusta. Apabila dia bernubuat, ibu bapanya sendiri akan menikam dia sehingga mati. Pada masa itu, tiada lagi nabi yang akan berbangga kerana penglihatan-penglihatannya, atau berlaku seperti seorang nabi, ataupun memakai jubah berbulu agar dia dapat menipu orang. Sebaliknya dia akan berkata, ‘Aku bukan nabi. Aku petani - aku bercucuk tanam seumur hidupku.’ Jika orang bertanya kepadanya, ‘Luka apakah yang ada pada dadamu itu?’ Dia akan menjawab, ‘Luka ini aku dapat ketika di rumah kawanku.’ ” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Bangkitlah, hai pedang, dan seranglah gembala yang bekerja untuk-Ku! Bunuhlah dia supaya kawanan dombanya tercerai-cerai. Aku akan menyerang umat-Ku, dan di seluruh negeri ini dua pertiga daripada penduduknya akan mati. Hanya sepertiga daripada penduduknya akan selamat. Mereka akan Kusucikan seperti perak dimurnikan oleh api. Mereka akan Kuuji seperti orang menguji emas. Barulah mereka akan berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mengabulkan doa mereka. Aku akan memberitahu mereka bahawa mereka umat-Ku, dan mereka pun akan mengaku bahawa Aku TUHAN, Allah mereka.”

ZAKHARIA 13:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Pada waktu itu akan ada sebuah mata air yang terbuka bagi keturunan kaum Daud dan bagi penduduk Yerusalem untuk membersihkan dosa serta kenajisan. Pada waktu itu, demikianlah firman TUHAN alam semesta, Aku akan melenyapkan nama berhala-berhala daripada negeri itu, sehingga semua itu tidak diingat lagi. Aku pun akan mengusir nabi-nabi dan roh najis dari negeri itu. Jadi, apabila masih ada orang yang bernubuat, maka ayah dan ibu kandungnya sendiri akan berkata kepadanya, ‘Engkau harus mati, kerana engkau berkata dusta demi nama TUHAN!’ Lalu ayah dan ibu kandungnya sendiri akan menikam dia ketika dia bernubuat. Pada waktu itu, setiap nabi akan malu kerana penglihatannya ketika bernubuat. Mereka tidak lagi akan memakai jubah berbulu untuk menipu. Sebaliknya, mereka akan berkata, ‘Aku bukan nabi. Aku seorang yang bercucuk tanam di tanah, kerana seseorang telah membelikannya bagiku sejak aku muda.’ Kalau orang bertanya kepadanya, ‘Luka apa yang ada pada badanmu itu?’ Maka dia akan menjawab, ‘Itulah luka yang kudapat di rumah para sahabatku.’ ” “Wahai pedang, bangkitlah melawan gembala-Ku, melawan orang yang menjadi sekutu-Ku,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Rebahkanlah sang gembala, dan dombanya akan bertempiaran. Aku akan bertindak melawan yang kecil dan lemah. Maka di seluruh negeri,” demikianlah firman TUHAN, “dua pertiga bahagian akan dilenyapkan dan binasa, tetapi sepertiganya akan ditinggalkan hidup. Aku akan memasukkan yang sepertiga itu ke dalam api lalu memurnikan mereka seperti orang memurnikan perak dan menguji mereka seperti orang menguji emas. Mereka akan menyeru nama-Ku dan Aku akan menjawab mereka. Aku akan berkata, ‘Mereka sememangnya umat-Ku,’ dan mereka akan berkata, ‘TUHAN sememangnya Allahku.’ ”