ZAKHARIA 11:4-17 - Compare All Versions

ZAKHARIA 11:4-17 BM (Alkitab Berita Baik)

TUHAN, Allahku berfirman kepadaku, “Berlakonlah sebagai gembala yang menggembalakan domba yang akan disembelih. Pemilik-pemilik domba menyembelih kawanan domba itu tetapi mereka tidak dihukum; mereka menjual daging domba itu lalu berkata, ‘Terpujilah TUHAN! Kami kaya!’ Gembala-gembala itu tidak mengasihani domba peliharaan mereka.” TUHAN berfirman, “Aku tidak lagi mengasihani sesiapa pun di bumi ini. Aku sendiri akan menyerahkan semua orang ke dalam tangan penguasa mereka. Penguasa-penguasa itu akan memusnahkan bumi, dan Aku tidak akan menyelamatkannya daripada kuasa mereka.” Pedagang domba mengupah aku, lalu aku menjadi gembala kawanan domba yang akan disembelih. Aku mengambil dua batang tongkat: yang satu aku namakan “Kemurahan,” dan yang satu lagi “Perpaduan.” Kemudian aku mula menggembalakan domba-domba itu. Aku hilang kesabaran terhadap tiga orang gembala lain yang membenci aku. Oleh itu aku mengusir mereka dalam masa satu bulan. Kemudian aku berkata kepada kawanan domba itu, “Aku tidak mahu menggembalakan kamu lagi. Yang akan mati, biarlah mati. Yang akan binasa, biarlah binasa. Yang masih hidup akan saling membinasakan.” Selepas itu aku mengambil kayu yang dinamakan “Kemurahan” lalu mematahkannya, sebagai lambang bahawa perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan semua bangsa telah dibatalkan. Demikianlah perjanjian itu dibatalkan pada hari itu. Para pedagang domba memandang aku, dan mereka tahu bahawa TUHAN sedang berfirman melalui perbuatanku itu. Aku berkata kepada mereka, “Jika kamu rela, bayarlah upahku. Jika tidak, tidak usah.” Mereka membayar upahku sebanyak tiga puluh keping wang perak. TUHAN berfirman kepadaku, “Masukkan wang itu ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN.” Oleh itu aku mengambil tiga puluh keping wang perak itu. Hanya sekian penghargaan mereka kepadaku. Aku pun memasukkan wang itu ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN. Selepas itu aku mematahkan kayu kedua, yang dinamakan “Perpaduan”, maka putuslah perhubungan antara Yehuda dan Israel. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Sekali lagi berlakonlah sebagai gembala domba; kali ini sebagai gembala yang tidak berguna. Aku menugaskan seorang gembala untuk menggembalakan domba-Ku, tetapi dia tidak menolong domba yang diancam kebinasaan. Dia tidak mencari domba yang sesat, atau mengubati yang luka, ataupun memberikan makanan kepada domba yang sihat. Sebaliknya dia makan daging domba yang paling gemuk, dan mencabut kuku domba. Terkutuklah gembala yang tidak berguna itu! Dia meninggalkan kawanan dombanya. Peperangan akan mengakhiri kekuasaannya. Lengannya akan menjadi lemah dan mata kanannya menjadi buta.”

ZAKHARIA 11:4-17 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Beginilah firman TUHAN, Allahku, “Gembalalah kawanan domba sembelihan itu! Mereka yang membelinya menyembelihnya dan tidak dihukum, manakala mereka yang menjualnya berkata, ‘Segala puji bagi TUHAN, kerana aku kini kaya!’ Gembala-gembalanya sendiri tidak berbelas kasihan terhadap domba mereka. Aku tidak akan lagi berasa sayang kepada penduduk negeri ini,” demikianlah firman TUHAN, “Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan setiap daripada mereka ke tangan jirannya dan ke tangan rajanya. Mereka akan menghancurkan negeri ini dan Aku tidak akan melepaskan seorang pun daripada tangan mereka.” Maka aku menggembala kawanan domba sembelihan itu, iaitu domba yang tertindas itu. Kuambil dua batang tongkat, yang satu, kunamai “Kenikmatan”, dan yang lain kunamai “Ikatan”, kemudian aku menggembala kawanan domba itu. Dalam satu bulan kusingkirkan tiga orang gembala, kerana hatiku tidak sabar lagi terhadap mereka, dan mereka pun muak terhadap aku. Aku berkata, “Aku tidak mahu lagi menggembala kamu. Yang mati biarlah mati, yang hilang biarlah hilang, dan yang masih tinggal biarlah makan daging teman masing-masing.” Kuambil tongkatku, iaitu “Kenikmatan” lalu kupatahkan untuk membatalkan perjanjian yang kuikat dengan segala bangsa. Jadi, batallah perjanjian pada hari itu, sehingga tahulah domba tertindas yang sedang memperhatikan aku bahawa itu sememangnya firman TUHAN. Kataku kepada mereka, “Jika menurutmu baik, berilah aku upah. Jika tidak, biar sajalah.” Lalu mereka menimbang tiga puluh keping perak sebagai upahku. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Campakkanlah itu kepada tukang tembikar!” — iaitu harga tertinggi yang dinilai mereka bagiku. Lalu aku mengambil kesemua tiga puluh keping perak itu dan mencampakkannya kepada tukang logam di Bait TUHAN. Setelah itu, kupatahkan tongkat kedua, iaitu “Ikatan”, untuk memutuskan persaudaraan antara Yehuda dengan Israel. Firman TUHAN kepadaku, “Ambillah sekali lagi peralatan seorang gembala yang bodoh. Sesungguhnya, Aku akan membangkitkan di negeri ini seorang gembala yang tidak akan mempedulikan yang hilang, tidak akan mencari yang tersesat, tidak akan menyembuhkan yang terluka, dan tidak akan mengurus yang sihat, melainkan akan memakan daging domba yang gemuk dan mencabut kukunya. Malangnya gembala yang tidak berguna, yang meninggalkan kawanan kambing dombanya! Biarlah pedang menusuk lengan dan mata kanannya! Biarlah lengannya menjadi kurus kering dan mata kanannya buta sepenuhnya!”