ZAKHARIA 1:7-17
ZAKHARIA 1:7-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada hari kedua puluh empat bulan Syebat, iaitu bulan sebelas dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, TUHAN menyampaikan perkhabaran-Nya kepadaku. Dalam suatu penglihatan pada waktu malam, aku nampak malaikat TUHAN menunggang seekor kuda merah. Dia berhenti di sebuah lembah di antara pokok kemunting. Di belakangnya ada lagi beberapa ekor kuda - ada yang merah, ada yang bertelau-telau, dan ada yang putih. Aku bertanya kepadanya, “Tuan, apakah maknanya semua kuda ini?” Dia menjawab, “Aku akan menunjukkan maknanya kepadamu. TUHAN mengirim semua kuda ini untuk menyiasat bumi.” Semua kuda itu memberikan laporan kepada malaikat, “Kami telah menjelajahi seluruh muka bumi dan mendapati bahawa seluruh bumi tenang dan tenteram.” Kemudian malaikat itu berkata, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Engkau murka kepada Yerusalem dan kota-kota di Yehuda selama tujuh puluh tahun. Sampai bilakah Engkau akan tetap murka dan tidak mengampuni mereka?” TUHAN menjawab malaikat itu dengan firman yang menghiburkan hati, lalu malaikat itu menyuruh aku mengisytiharkan firman TUHAN Yang Maha Kuasa, “Aku sangat mengasihi kota Yerusalem dan mengambil berat terhadap kota-Ku yang suci itu. Tetapi Aku sangat murka kepada bangsa-bangsa yang berasa aman dan tenteram. Ketika Aku menahan kemurkaan-Ku terhadap umat-Ku, bangsa-bangsa itu menambah penderitaan umat-Ku. Oleh itu Aku kembali ke Yerusalem untuk mengasihani kota itu. Rumah-Ku akan dibina semula dan kota itu akan diperbaiki.” Malaikat itu menyuruh aku mengisytiharkan perkhabaran ini juga, “TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman bahawa kota-kota-Nya akan makmur semula dan bahawa sekali lagi Dia akan menolong Yerusalem dan mengakuinya sebagai milik-Nya sendiri.”
ZAKHARIA 1:7-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada hari kedua puluh empat bulan kesebelas, iaitu bulan Syebat, pada tahun kedua pemerintahan Darius, datanglah firman TUHAN kepada Nabi Zakharia anak Berekhya anak Ido. Kata Zakharia, “Dalam suatu penglihatan pada malam hari, kulihat seorang lelaki menunggang kuda berwarna perang kemerah-merahan. Dia berdiri di antara pokok murad di dalam jurang, sementara di belakangnya ada beberapa ekor kuda berwarna merah, merah perang, dan putih.” Aku bertanya, “Apakah erti semua ini, ya tuanku?” Sahut malaikat yang berbicara denganku, “Aku akan menunjukkan kepadamu apa erti semua ini.” Kemudian orang yang berdiri di antara pokok murad itu berkata, “Mereka ini diutus TUHAN untuk membuat rondaan di bumi.” Mereka pun berbicara kepada malaikat TUHAN yang berdiri di antara pokok murad itu, “Kami sudah menjelajahi bumi. Sesungguhnya, seluruh bumi tenang dan sentosa.” Lalu malaikat TUHAN bersabda, “Ya TUHAN alam semesta, berapa lama lagikah Yerusalem dan kota-kota Yehuda tidak Kaukasihani? Mereka telah Kaumurkai selama tujuh puluh tahun.” Maka TUHAN menjawab malaikat yang berbicara dengan aku itu dengan kata-kata yang baik serta menghiburkan. Malaikat yang berbicara dengan aku itu berkata kepadaku, “Serukanlah ini: Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Aku begitu cemburu kerana Yerusalem dan kerana Sion, tetapi Aku sangat murka kepada bangsa-bangsa yang takbur. Ketika Aku murka sedikit sahaja, mereka malah menjadikan keadaan lebih teruk bagi diri mereka sendiri.’ Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, ‘Aku kembali lagi kepada Yerusalem dengan penuh rahmat. Bait-Ku akan dibangunkan di dalamnya,’ demikianlah firman TUHAN alam semesta, ‘dan tali pengukur akan direntangkan atas Yerusalem.’ Serukanlah pula: Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Kota-kota-Ku akan kembali dilimpahi kemakmuran. TUHAN akan kembali menghibur Sion dan memilih Yerusalem.’ ”