ZAKHARIA 1:1-6
ZAKHARIA 1:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada bulan kelapan dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius di Persia, TUHAN menyampaikan perkhabaran ini kepada Nabi Zakharia anak Berekhya dan cucu Ido. TUHAN Yang Maha Kuasa memberikan perintah kepada Zakharia untuk menyampaikan perkhabaran ini kepada umat-Nya, “Aku, TUHAN sangat murka kepada nenek moyang kamu. Tetapi sekarang Aku berfirman kepada kamu: Kembalilah kepada-Ku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu. Jangan berlaku seperti nenek moyang kamu. Dahulu kala, para nabi menyampaikan perkhabaran-Ku kepada mereka agar berhenti berbuat jahat dan berhenti berbuat dosa. Tetapi mereka tidak mahu mendengarkan Aku dan tidak mahu mentaati Aku. Di manakah nenek moyang kamu dan nabi-nabi itu sekarang? Mereka telah meninggal. Dengan perantaraan para nabi, hamba-Ku, Aku menyampaikan perintah dan amaran-Ku kepada nenek moyang kamu. Tetapi mereka tidak mempedulikannya sehingga harus menanggung akibatnya. Kemudian mereka bertaubat dan mengakui bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah menghukum mereka setimpal dengan kesalahan mereka dan sesuai dengan ketentuan-Ku.”
ZAKHARIA 1:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada bulan kelapan dalam tahun kedua zaman pemerintahan Darius, datanglah firman TUHAN kepada Nabi Zakharia anak Berekhya anak Ido demikian, “TUHAN sangat murka kepada nenek moyangmu. Oleh sebab itu katakanlah kepada bangsa ini: Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Kembalilah kepada-Ku,’ demikianlah firman TUHAN, ‘maka Aku akan kembali kepadamu,’ firman TUHAN alam semesta. Janganlah seperti nenek moyangmu. Kepada mereka para nabi terdahulu telah berseru demikian: Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Berbaliklah dari jalan hidupmu yang jahat dan daripada segala perbuatanmu yang jahat!’ Namun demikian, mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu memperhatikan Aku, demikianlah firman TUHAN. Nenek moyangmu, di manakah mereka? Para nabi, adakah mereka hidup selama-lamanya? Bukankah firman dan ketetapan yang telah Kuperintahkan melalui para nabi, hamba-hamba-Ku, telah sampai kepada nenek moyangmu? Lalu mereka bertaubat dan berkata, ‘TUHAN alam semesta, telah bertindak atas kita setimpal dengan perilaku dan perbuatan-perbuatan kita, seperti yang dikehendaki-Nya.’ ”