RUT 2:15-20
RUT 2:15-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila dia pergi lagi untuk memungut barli, Boas berkata kepada para pekerjanya, “Biarlah dia memungut barli bahkan antara yang sudah diberkas. Jangan larang dia. Cabutlah beberapa batang barli dari berkas-berkas itu dan tinggalkanlah di sana supaya dapat dipungutnya.” Rut memungut barli di ladang itu sehingga senja. Setelah dia mengirik barli itu, dia mendapati bahawa barli yang dikumpulkannya hampir sepuluh kilogram. Dia membawa barli itu ke kota, lalu menunjukkan kepada ibu mentuanya berapa banyak barli yang telah dikumpulkannya. Dia juga memberi ibu mentuanya lebihan makanan yang disimpannya pada waktu makan. Naomi bertanya kepadanya, “Di mana engkau mendapat semua ini? Di ladang siapa engkau bekerja? Semoga Allah memberkati orang yang berbuat baik kepadamu!” Rut menceritakan kepada Naomi bahawa dia telah bekerja di ladang seorang yang bernama Boas. “Semoga TUHAN memberkati Boas!” kata Naomi kepada Rut. “TUHAN sentiasa menepati janji-Nya, baik kepada orang yang masih hidup mahupun kepada orang yang sudah meninggal.” Katanya lagi, “Orang itu saudara dekat kita. Dialah yang patut bertanggungjawab terhadap kita.”
RUT 2:15-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila dia bangun untuk mengutip lagi, Boas memberikan perintah kepada para pekerjanya, “Biarlah dia mengutip sekalipun di antara berkas-berkas tuaian dan janganlah menghina dia. Cabutkan juga sedikit-sedikit daripada gemal-gemal tuaian dan biarkan dikutipnya. Jangan cela dia.” Maka Rut mengutip bijirin di ladang sampai petang dan selepas diiriknya hasil kutipannya ada kira-kira satu efa barli. Maka dia membawa pulang hasil usahanya ke dalam kota dan Naomi melihat hasil kutipannya. Kemudian Rut mengeluarkan baki makanannya dan memberikannya kepada mertuanya. Bertanyalah mertuanya, “Di manakah kamu mengutip hari ini? Di manakah kamu bekerja? Semoga diberkatilah orang yang telah memperhatikan kamu itu!” Rut pun menceritakan kepada mertuanya bahawa dia bekerja dengan seseorang. Katanya, “Hari ini aku bekerja dengan seorang yang namanya Boas.” Naomi memberitahu menantunya, “Semoga dia diberkati TUHAN kerana kebaikan-Nya tidak akan meninggalkan baik orang yang hidup mahupun yang telah mati.” Seterusnya Naomi berkata, “Orang itu kaum kerabat kita yang dekat, dan dialah salah seorang penebus kita.”