ROMA 9:1-33 - Compare All Versions
ROMA 9:1-33 BM (Alkitab Berita Baik)
Apa yang aku katakan ini benar; aku milik Kristus dan aku tidak berdusta. Hati nuraniku yang dikuasai oleh Roh Allah, juga meyakinkan aku bahawa aku tidak berdusta. Aku sangat sedih dan menderita, kerana saudara-saudaraku, orang yang sebangsa denganku. Bagi kepentingan mereka, aku rela dikutuk oleh Allah dan dipisahkan daripada Kristus. Merekalah umat yang dipilih oleh Allah; Allah menjadikan mereka anak-Nya sendiri dan menunjukkan kemuliaan-Nya kepada mereka. Dia mengadakan perjanjian-perjanjian dengan mereka dan memberi mereka Taurat. Mereka diberitahu oleh Allah cara menyembah Dia dengan betul, dan mereka menerima janji-janji Allah. Mereka keturunan nenek moyang kita yang terkemuka. Kristus, sebagai manusia, berasal daripada bangsa mereka. Hendaklah Allah yang menguasai segala sesuatu, dipuji selama-lamanya! Amin. Aku tidak mengatakan bahawa apa yang dijanjikan oleh Allah tidak berlaku. Apa yang dijanjikan-Nya sudah berlaku, kerana bukan semua orang Israel umat yang dipilih-Nya. Bukan semua keturunan Abraham anak-anak Allah. Allah berfirman kepada Abraham, “Hanya keturunan Ishak yang akan disebut keturunanmu.” Hal ini bererti bahawa tidak semua keturunan Abraham menjadi anak-anak Allah, tetapi hanya keturunan yang dilahirkan menurut janji Allah. Hal itu demikian, kerana inilah yang difirmankan oleh Allah ketika Dia berjanji kepada Abraham, “Pada waktu yang ditetapkan, Aku akan kembali, dan Sara akan melahirkan seorang anak lelaki.” Bukan demikian sahaja. Kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, nenek moyang kita. Untuk menunjukkan bahawa salah seorang anak itu anak pilihan Allah, Allah berfirman kepada Ribkah, “Yang sulung akan melayani yang bongsu.” Allah berfirman demikian sebelum kedua-dua anak itu lahir dan sebelum mereka tahu berbuat apa yang baik atau yang jahat. Dengan demikian nyatalah bahawa pilihan Allah itu tidak berdasarkan perbuatan mereka, tetapi berdasarkan panggilan Allah sendiri. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, “Yakub Aku kasihi, tetapi Esau Aku benci.” Jika demikian, bolehkah kita katakan bahawa Allah tidak adil? Tentu tidak boleh! Allah berfirman kepada Musa, “Aku akan merahmati orang yang hendak Aku rahmati, dan Aku akan mengasihani orang yang hendak Aku kasihani.” Oleh itu, keputusan Allah tidak bergantung kepada kehendak atau perbuatan manusia, tetapi hanya kepada belas kasihan Allah. Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Allah berfirman kepada raja Mesir, ‘Untuk maksud ini Aku melantik engkau menjadi raja, supaya melalui engkau, Aku menyatakan kekuasaan-Ku dan memasyhurkan nama-Ku di seluruh dunia.’ ” Oleh itu, Allah berbelas kasihan kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah menjadikan orang berkeras kepala jika Dia berkehendak demikian. Lalu kamu akan bertanya kepadaku, “Jika demikian mengapa Allah mahu menyalahkan manusia? Siapa dapat melawan kehendak Allah?” Tetapi saudaraku, siapakah kamu sehingga berani menyoal Allah? Bolehkah periuk tanah bertanya kepada yang membuatnya, “Mengapa aku dibuat begini?” Bukankah orang yang membuat periuk berhak menggunakan tanah liat itu sekehendak hatinya? Dengan segumpal tanah liat, dia boleh membuat dua buah periuk: yang satu untuk kegunaan khas dan yang satu lagi untuk kegunaan sehari-hari. Begitu juga halnya dengan apa yang dilakukan oleh Allah. Dia ingin menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya. Tetapi Allah sangat sabar terhadap mereka yang menjadi sasaran kemurkaan-Nya, iaitu mereka yang akan dimusnahkan. Allah juga ingin menyatakan kebahagiaan berlimpah-limpah, yang dicurahkan-Nya kepada kita yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya. Kita sudah disiapkan oleh-Nya untuk menerima kebahagiaan itu. Kita ini orang yang sudah dipanggil-Nya, dan kita terdiri daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Di dalam kitab Nabi Hosea, Allah berfirman, “Orang yang bukan umat-Ku, akan Aku sebut ‘Umat-Ku.’ Bangsa yang tidak Aku kasihi, akan Aku sebut ‘Kekasih-Ku.’ Di tempat Allah berfirman, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ di situ juga mereka akan disebut anak-anak Allah yang hidup.” Nabi Yesaya berseru tentang orang Israel, “Sungguhpun bilangan orang Israel sebanyak pasir di laut, hanya sedikit sahaja yang akan diselamatkan; kerana Tuhan akan segera menjatuhkan hukuman kepada semua orang di bumi.” Seperti yang dikatakan Yesaya dahulu, “Seandainya Tuhan Yang Maha Kuasa tidak memberi kita keturunan, pastilah kita semua sudah menjadi seperti Sodom dan Gomora.” Oleh itu, inilah kesimpulannya: Orang bukan Yahudi yang tidak berusaha untuk berbaik semula dengan Allah, sekarang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada-Nya. Sebaliknya orang Israel yang selalu mencari hukum yang membolehkan mereka berbaik semula dengan Allah, tidak menjumpainya. Mereka tidak menjumpai hukum itu kerana mereka bergantung kepada usaha mereka sendiri, dan tidak percaya kepada Allah. Oleh itu mereka tersandung pada ‘batu sandungan’. Di dalam Alkitab ada tertulis tentang batu itu, “Lihatlah, Aku meletakkan satu batu di Sion yang akan menyebabkan orang tersandung, satu batu besar yang akan menyebabkan orang jatuh. Tetapi orang yang percaya kepada Dia, tidak akan dikecewakan.”
ROMA 9:1-33 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
ADAPUN aku bŭrkata dŭngan sŭbŭnarnya, dŭmi Almasih tiada aku bŭrdusta, angan anganku pun mŭnjadi saksi padaku dŭngan Roh Alkudos. Bahwa aku tŭlah mŭrasai bŭbrapa kŭbratan dan kadukaan pada sŭdiakala dalam hatiku. Kŭrna kalau bulih dŭngan bulihnya aku kahandaki supaya aku sŭndiri bŭrla’nat deripada Almasih ulih sŭbab saudara saudaraku, iya itu orang sa’bangsa dŭngan aku, dan sa’daging darah dŭngan aku. Iya itu orang Israil yang mŭmpunyai kwasa diangkat anak, dan kŭmuliaan, dan sagala waad, dan pŭmbrian tauret, dan kŭbaktian kapada Allah, dan sagala pŭrjanjian: Dan yang ampunya nenek moyang, maka deripada orang orang itulah, mŭnurot chara manusia, Almasih tŭlah datang, maka iyalah yang diatas skalian, maka sagala puji bagie Allah slama lamanya: Amin. Bahwa bukannya kiranya pŭrkataan Allah itu sa’olah olah tiada mŭndatangkan fiedah skali kali. Kŭrna bukannya skalian marika itu orang Israil yang turon deri Israil. Atau bukan sŭbab marika itu bŭnih Ibrahim skaliannya mŭnjadi kanak kanaknya, mŭlainkan dalam Isahaklah bŭnihmu kŭlak akan dipilehnya. Iya itu sagala kanak kanak yang deripada daging darah itu, iya itu bukannya kanak kanak Allah adanya, mŭlainkan sagala kanak kanak pŭrjanjian itulah yang dibilangkan bagie bŭnih itu. Kŭrna dŭmkianlah pŭrkataan pŭrjanjian itu, Bahwa pada waktu ini aku akan datang, maka Sarah akan bŭrulih sa’orang anak laki laki. Dan bukannya ini sahja, mŭlainkan tŭtkala Rebeka pun tŭlah mŭngandong ulih sa’orang, iya itu Isahak bapa kita. Kŭrna tŭtkala bŭlom lagi kanak kanak itu dipranakkan, atau sŭbŭlomlah mŭmbuat barang baik atau jahat, supaya bulih tŭtap kahandak Allah itu mŭnurot pilehannya, bahwa bukannya deripada amal amal, mŭlainkan iya itu deripada Allah yang tŭlah mŭmileh itu. Maka tŭlah dikatakan Allah kapada pŭrampuan itu, Adapun anak yang tua itu kŭlak akan tŭrta’lok kapada yang muda. Spŭrti ada tŭrsurat, Bahwa aku tŭlah mŭngasihi akan Yakob, tŭtapi aku tŭlah mŭmbŭnchi akan Esau. Apatah kŭlak yang handak kita katakan, adakah lalim kapada Allah? Dijauhkan Allah. Kŭrna Tuhan tŭlah bŭrfŭrman kapada Musa, Bahwa aku handak mŭngurniakan rahmatku atas orang yang handak kukurniakan, dan aku handak mŭngasihani atas orang yang aku handak kasihankan. Sŭbab itulah bahwa bukannya deripada orang yang bŭrkahandak, atau bukannya deripada orang mŭngŭjar, mŭlainkan deripada Allah juga yang mŭngunjokkan rahmat itu. Kŭrna fŭrman Allah dalam kitab kapada Firaun, katanya, Maka deri sŭbab inilah juga aku tŭlah mŭmbangkitkan angkau, iya itu supaya aku dapat mŭnyatakan kwasaku dalammu, dan supaya namaku dapat dimashorkan atas sagala muka bumi. Sŭbab itu maka Allah tŭlah mŭngunjokkan rahmatnya kapada barang siapa yang dikahandakinya, dan iya mŭngŭraskan barang siapa yang dikahandakinya. Adapun angkau nanti bŭrkata pula kapadaku, Mŭngapakah Tuhan lagi mŭnchari salah, kŭrna siapakah yang tŭlah mŭlawan kahandaknya itu? Bukan, tapi hie manusia, siapakah angkau yang bŭrkata kata mŭlawan Allah? Maka dapatkah barang yang dijadikan itu bŭrkata kapada yang mŭnjadikan itu, Mŭngapakah angkau mŭmbuatkan aku dŭmkian ini? Maka bukankah tukang priok itu bŭrkwasa atas tanah liat itu, akan mŭmbuat deri sa’gumpal tanah juga suatu bŭkas kapada yang mulia, dan yang lain itu kapada yang hina? Maka jikalau Allah handak mŭngunjokkan morkanya, sŭrta mŭmashorkan kwasanya, tŭlah mŭnahani dŭngan banyak sabarnya akan bŭkas bŭkas morkanya yang tŭlah sŭdia akan dibinasakan: Dan lagi supaya iya mŭmashorkan kŭkayaan kŭmuliaannya atas bŭkas bŭkas rahmat itu yang tŭlah disŭdiakannya deri dahulu bagie kŭmuliaan. Mŭski pun kita yang tŭlah dipilehnya, bukannya orang Yahudi sahja, mŭlainkan orang orang sŭsat pun. Maka spŭrti fŭrman Allah dalam kitab nabi Hushia, Aku akan mŭmanggil marika itu kaumku yang bukannya kaumku dahulu; maka kŭkasih pŭrampuan itu yang bukan kŭkasihnya dahulu. Maka kŭlak akan jadi dalam tŭmpat yang tŭlah dikatakan pada marika itu, bahwa kamulah bukannya kaumku, maka disanalah marika itu akan dinamai anak anak Allah yang hidop. Shahadan nabi Jasia tŭlah bŭrsru pula derihal Israil, katanya, Kalau bilangan kŭturonan Israil itu spŭrti kŭrsek ditŭpi laut skali pun, maka suatu remah kŭlak akan dipliharakan. Kŭrna iya kŭlak akan mŭnghabiskan pŭkŭrjaan itu, dan mŭnyengkatkan dia dŭngan kaadilan; sŭbab pŭkŭrjaan yang sengkat itu kŭlak dipŭrbuat Tuhan diatas bumi ini. Lagi pun spŭrti yang tŭlah dikatakan ulih Jasia dahulu itu, kachuali Tuhan sagala alam, jikalau tiada mŭninggalkan kiranya bagie kami suatu bŭnih, nŭschaya kita mŭnjadilah spŭrti Sodom, dan tŭlah jadi sama spŭrti Gomorah. Maka apatah kŭlak yang kita handak katakan? Adapun orang sŭsat yang tiada mŭnuntut kabŭnaran itu, maka iya tŭlah bŭrulih kabŭnaran itu, iya itu mŭski pun kabŭnaran yang deripada iman. Tŭtapi orang Israil yang mŭnuntut jalan hukum kabŭnaran itu, maka bŭlom juga iya bŭrulih akan hukum kabŭnaran itu. Apa sŭbabnya? Adapun sŭbabnya tiada marika itu mŭnuntut akan dia itu dŭngan iman, mŭlainkan dŭngan pŭrbuatan amal tauret; kŭrna marika itu sudah tŭrantok kapada batu tŭrantok itu. Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa sŭsungguhnya aku tŭlah mŭnarohkan dalam Zion sa’buah batu tŭrantok, dan sa’buah batu shak, maka barang siapa yang pŭrchaya akan dia, maka tiadalah iya kŭlak mŭndapat malu adanya.
ROMA 9:1-33 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Aku berkata benar dalam Kristus. Aku tidak berdusta, hati nuraniku mengesahkannya dalam Roh Kudus. Aku teramat sedih dan gundah dalam hatiku. Kerana aku rela terkutuk dan terpisah daripada Kristus untuk kepentingan saudara-saudara sebangsaku. Mereka itu orang Israel. Untuk mereka pengangkatan sebagai anak Allah; untuk mereka kemuliaan ilahi; perjanjian-perjanjian; penerimaan hukum, ibadat di Bait Suci, dan janji-janji. Mereka ialah keturunan nenek moyang yang termasyhur. Bahkan dari antara mereka jugalah Kristus lahir sebagai manusia. Dialah yang terutama dari segala sesuatu, Allah yang terpuji selama-lamanya. Amin. Ini tidaklah bererti Firman Allah telah gagal. Kerana bukan semua keturunan Israel itu diterima sebagai Israel. Juga bukan semua keturunan Abraham diterima sebagai anak-anak Abraham. Sebaliknya, “Melalui Ishak benih keturunanmu akan dipanggil.” Ini bererti, anak-anak Allah bukanlah keturunan tabii Abraham tetapi anak-anak janji Allah. Kerana demikianlah kata-kata janji itu: “Pada masa yang ditetapkan Aku akan kembali, dan Sarah akan mendapat seorang anak lelaki.” Bukan itu sahaja, malah kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, bapa kita. Namun demikian, sebelum anak kembar itu dilahirkan dan sempat berbuat baik atau jahat — untuk menegakkan kehendak Allah dalam pemilihan: bukan dengan kerja amal tetapi dengan Dia yang memanggil — Ribkah telah diberitahu: “Yang tua akan melayan yang muda.” Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Yakub Kukasihi, tetapi Esau Kubenci.” Jadi, apa yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil? Sama sekali tidak! Kerana Dia telah berkata kepada Musa, “Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani. Dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi.” Oleh itu, hal demikian bergantung bukan kepada keinginan atau usaha manusia tetapi kepada belas kasihan Allah. Kerana Kitab Suci berkata kepada Firaun: Aku telah mengangkatmu untuk tujuan ini, iaitu menunjukkan kekuasaan-Ku melaluimu dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi. Dengan demikian Allah mengasihani sesiapa yang hendak dikasihani-Nya, dan mengeraskan hati sesiapa yang hendak dikeraskan-Nya hati. Seorang daripadamu akan berkata kepadaku, “Kalau begitu, mengapa masih menyalahkan kita? Kerana siapa yang dapat menentang kehendak-Nya?” Tetapi siapakah engkau, hai manusia, maka engkau menghujahi Allah? “Adakah ciptaan berkata kepada penciptanya, ‘Mengapa kaubuat aku begini?’ ” Tidakkah tukang tembikar berhak membuat daripada segumpal tanah liat yang sama, beberapa bekas tembikar untuk tujuan mulia dan yang lain untuk kegunaan biasa? Bagaimana jika Allah, untuk menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya, setelah begitu bersabar terhadap orang yang dimurkai-Nya, membuat persediaan untuk membinasakan? Bagaimana jika Dia berbuat demikian untuk memperlihatkan betapa besar kemuliaan-Nya kepada orang yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya, yang telah disediakan-Nya terlebih dahulu untuk kemuliaan, justeru kita, yang telah dipanggil-Nya, bukan hanya daripada kalangan orang Yahudi tetapi juga daripada kalangan bangsa asing? Sebagaimana telah disampaikan-Nya melalui Hosea: “Aku akan memanggil mereka ‘umat-Ku’ sedangkan mereka bukan umat-Ku; dan Aku akan memanggil dia ‘orang yang Kukasihi’ sedangkan dia bukan orang yang Kukasihi. Dan, akan terjadi bahawa di mana telah dikatakan kepada mereka, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ di situlah mereka akan dipanggil anak-anak Allah yang hidup.” Yesaya juga telah berseru tentang umat Israel: “Walaupun bilangan anak Israel seperti pasir di tepi laut, hanya segelintir baki akan diselamatkan. Kerana Tuhan akan menjalankan hukuman-Nya di atas bumi dengan segera dan muktamad.” Samalah seperti kata Yesaya sebelum itu: “Sekiranya Tuhan alam semesta tidak membiarkan keturunan kita hidup, kita tentu telah menjadi seperti Sodom, tentu kita seperti Gomora.” Jadi, apa yang akan kita katakan? Bahawa bangsa-bangsa asing, yang tidak mengejar perbenaran, telah mendapatinya, iaitu perbenaran berasaskan iman. Sebaliknya orang Israel, yang mengejar perbenaran berasaskan hukum, tidak dapat mencapainya. Mengapa tidak? Kerana mereka mengejarnya bukan dengan iman, tetapi seolah-olah dengan mengamalkan kerja amal. Mereka tersandung pada batu sandungan. Sebagaimana telah tersurat: “Aku telah meletakkan di Sion seketul batu yang menyebabkan orang tersandung dan sebuah batu pejal yang membuat mereka terjatuh, dan orang yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.”