ROMA 7:14-25

ROMA 7:14-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Kita tahu bahawa Taurat berasal daripada Roh Allah; tetapi aku ini hanya manusia yang dijual sebagai hamba kepada dosa. Aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Perkara-perkara yang ingin aku lakukan, tidak aku lakukan; tetapi perkara-perkara yang aku benci, itulah yang aku lakukan. Apabila aku melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan keinginanku, hal itu bererti aku mengakui bahawa Taurat itu baik. Oleh itu sebenarnya bukan aku yang melakukan perkara-perkara itu, tetapi dosa yang menguasai diriku. Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu pun yang baik dalam diriku, ataupun dalam tabiatku sebagai manusia. Hal itu demikian kerana walaupun ada padaku keinginan untuk berbuat baik, tetapi aku tidak dapat melakukannya. Aku tidak melakukan perkara baik yang ingin aku lakukan, sebaliknya aku melakukan perkara jahat yang tidak ingin aku lakukan. Jika aku melakukan perkara-perkara yang tidak ingin aku lakukan, hal ini bererti bukan aku yang melakukannya, melainkan dosa yang menguasai diriku. Oleh itu aku mendapati hukum ini berlaku: Apabila aku mahu melakukan yang baik, yang jahat sahaja menjadi pilihanku. Batinku suka akan hukum daripada Allah. Tetapi aku sedar bahawa dalam diriku ada hukum lain yang bertentangan dengan hukum yang diakui oleh akal budiku. Itulah sebabnya aku ditawan oleh hukum dosa yang menguasai diriku. Beginilah keadaanku: aku mentaati hukum Allah dengan akal budi sahaja, sedangkan tabiatku sebagai manusia mengikut hukum dosa. Alangkah malangnya aku ini! Siapakah yang dapat menyelamatkan aku daripada tubuh ini yang membawa aku kepada kematian? Aku bersyukur kepada Allah; Dia menyelamatkan aku melalui Yesus Kristus!

ROMA 7:14-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna kita tŭlah mŭngtahui, adapun tauret itu deri pada rohani adanya, tŭtapi kaadaanku ini deripada hawa nafsu sahja sudah tŭrjual kŭbawah kwasa dosa. Adapun pŭrkara yang aku buat itu tiada kupŭrkŭnankan dia, kŭrna pŭrkara yang kuhandak, tiada kupŭrbuat, mŭlainkan kupŭrbuat pŭrkara yang kubŭnchi juga. Jikalau kupŭrbuat pŭrkara yang tiada kusukai akan dia, maka mŭngakulah aku tauret itu bŭnar adanya. Maka skarang pun bukannya aku yang bŭrbuat pŭrkara itu, mŭlainkan dosa yang ada diam dalamku bŭrbuat itu. Kŭrna tŭlah kukŭtahui, bahwa dalam diriku, iya itu dalam nafsu tubohku, tiada barang apa yang baik, kŭrna niat itu adalah sŭdia padaku; tŭtapi bagimanakah mŭmbuat pŭrkara yang baik itu tiadalah aku dapati. Kŭrna baik yang aku kahandaki itu tiada aku bŭrbuat, tŭtapi jahat yang tiada kukahandaki itulah kupŭrbuat. Adapun jikalau aku bŭrbuat pŭrkara yang tiada aku kahandaki itu, maka iya itu bukannya aku yang bŭrbuat itu, mŭlainkan dosa yang ada dalam dirikulah bŭrbuat itu. Maka sŭbab itu aku tŭlah mŭndapat satu hukum, tŭtkala aku handak bŭrbuat baik, maka jahat itu adalah hampir padaku. Kŭrna aku bŭrsuka sukalah pada hukum Allah mŭnurot pri tabiat yang baik. Tŭtapi aku mŭlihat ada pula suatu hukum yang lain didalam anggota anggotaku, yang bŭrprang mŭlawan iya akan hukum tabiatku yang baik itu, sŭrta mŭmbawa akan daku tawanan, iya itu kapada hukum dosa yang ada dalam anggota anggotaku. Hie chilakanya aku ini, siapakah kŭlak akan mŭlŭpaskan aku deripada tuboh kŭmatian ini? Aku mŭnguchap shukorlah kapada Allah dŭngan bŭrkat Isa Almasih Tuhan kami, maka dŭngan hal yang dŭmkianlah aku ini mŭnurot akan hukum Allah dŭngan niat yang baik itu, tŭtapi dŭngan nafsu jahat itu mŭnurot hukum dosa.

ROMA 7:14-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kita tahu bahawa hukum bersifat rohani; tetapi aku tidak bersifat rohani, aku telah dijual sebagai hamba kepada dosa. Aku tidak mengerti apa yang kulakukan. Apa yang kuhendaki, tidak kulakukan, sebaliknya aku melakukan apa yang kubenci. Dan jika aku melakukan apa yang tidak mahu kulakukan, aku setuju bahawa hukum itu baik. Nyatalah bahawa bukan aku yang melakukannya, tetapi dosa yang hidup dalam diriku. Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu yang baik dalam hidup diriku, iaitu dalam sifat tabiiku yang berdosa. Kerana aku hendak melakukan apa yang baik, tetapi aku tidak mampu melaksanakannya. Kerana yang kulakukan bukanlah kebaikan yang hendak kulakukan; tidak, kejahatan yang tidak hendak kulakukan — itulah yang kulakukan terus-menerus. Jika aku melakukan sesuatu yang tidak ingin kulakukan, bukanlah lagi aku yang melakukannya tetapi dosa yang hidup dalam dirikulah yang melakukan. Oleh itu, aku mendapati hukum ini berlangsung; apabila aku hendak melakukan kebaikan, kejahatan bertapak di sisiku. Kerana dalam jiwaku aku suka akan hukum Allah tetapi aku melihat hukum lain bertindak dalam anggota-anggota tubuhku, memerangi hukum jiwaku dan membuat aku terpenjara dalam hukum dosa yang bertindak dalam anggota-anggota tubuhku. Alangkah sengsaranya aku! Siapa yang akan menyelamatkanku daripada tubuh kematian ini? Syukur kepada Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita! Oleh itu, dalam jiwaku aku mengabdi kepada hukum Allah, tetapi dalam sifat tabii yang berdosa aku mengabdi kepada hukum dosa.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami