ROMA 7:1-6
ROMA 7:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara-saudaraku, tentu kamu faham akan apa yang hendak aku katakan, kerana kamu semua memahami hukum. Seseorang berada di bawah kekuasaan hukum, hanya selama dia masih hidup. Seorang wanita yang bersuami, umpamanya, terikat oleh hukum kepada suaminya hanya selama suaminya masih hidup. Tetapi jika suaminya meninggal, wanita itu bebas daripada hukum yang mengikatnya kepada suaminya. Jika wanita itu hidup dengan lelaki lain semasa suaminya masih hidup, wanita itu dikatakan berzina. Tetapi jika suaminya meninggal, dari segi hukum, wanita itu sudah bebas. Jika dia berkahwin dengan lelaki lain, dia tidak berzina. Saudara-saudaraku, begitu juga halnya dengan kamu. Dari segi Taurat, kamu sudah mati, kerana kamu sebahagian daripada tubuh Kristus. Kamu sekarang menjadi milik Dia yang sudah dibangkitkan daripada kematian, supaya kita menjadi berguna bagi Allah dalam kehidupan kita. Dahulu kita hidup menurut tabiat manusia, dan pelbagai keinginan yang berdosa timbul dalam diri kita kerana adanya Taurat. Hal itu menyebabkan kita melakukan perkara-perkara yang mengakibatkan kematian. Tetapi sekarang kita bebas daripada kuasa Taurat, kerana kita sudah mati terhadap Taurat yang dahulu menguasai kita. Kita tidak lagi mengabdikan diri dengan cara lama menurut hukum yang tertulis. Tetapi sekarang kita mengabdikan diri menurut cara baru yang ditunjukkan oleh Roh Allah.
ROMA 7:1-6 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA tiadakah kamu mŭngŭtahui hie sagala saudaraku, kŭrna aku bŭrkata ini kapada orang yang mŭngtahui akan hukum, bŭtapa hukum itu mŭna’lokkan orang dalam sa’umor hidopnya. Kŭrna pŭrampuan yang ada bŭrswami itu, maka iya itu tŭlah tŭrikat ulih hukum kapada swaminya dalam sa’umor hidopnya; tŭtapi jikalau swaminya itu mati, maka pŭrampuan itu pun tŭrurielah deripada hukum swaminya itu. Dan dŭmkian juga jikalau pŭrampuan itu kahwen kapada orang lain slagi hidop swaminya, maka iya itu disŭbut orang akan dia sa’orang pŭrampuan bŭrzinah adanya; tŭtapi jikalau swaminya itu sudah mati, maka pŭrampuan itu tŭrurielah deripada hukum itu; maka bukannya iya bŭrzinah jikalau iya kahwen kapada orang lain skalipun. Shahadan dŭmkianlah saudara saudaraku kamu pun tŭlah mŭnjadilah spŭrti mati kapada tauret ulih sŭbab kŭmatian tuboh Almasih, supaya kamu bulih kahwen kapada sa’orang lain, mŭski pun kapada orang yang dibangkitkan deripada mati, supaya kamu bulih mŭmbawa buah buahan kapada Allah. Kŭrna tŭtkala kita lagi dalam hawa nafsu dunia, maka gŭrak gŭrak dosa yang bŭrbangkit ulih sŭbab tauret itu mŭngŭrjakan dalam anggota anggota kita, supaya mŭndatangkan buah buahan kapada kŭmatian. Tŭtapi skarang kita tŭlah tŭrurielah deripada tauret, sŭbab kita tŭlah mati kapada tŭmpat kita tŭlah tŭrikat itu, supaya kita bŭrbuat bakti dŭngan hal Roh yang bahru, dan bukannya dŭngan hal hurof yang lama itu.
ROMA 7:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tidakkah kamu tahu, saudara-saudaraku — kerana aku sedang berkata-kata kepada orang yang mengetahui hukum Taurat — bahawa hukum itu berkuasa atas seseorang hanya selagi dia masih hidup? Misalnya, menurut hukum, seorang perempuan yang berkahwin terikat kepada suaminya hanya selagi suaminya itu masih hidup, tetapi jika suaminya mati, perempuan itu dibebaskan daripada hukum perkahwinan. Oleh itu, jika dia berkahwin dengan lelaki lain ketika suaminya masih hidup, perempuan itu dipanggil penzina. Tetapi jika suaminya mati, perempuan itu bebas daripada hukum tersebut dan bukanlah penzina sekiranya dia berkahwin dengan lelaki lain. Oleh itu, saudara-saudaraku, kamu juga telah mati kepada hukum Taurat melalui tubuh Kristus, supaya kamu menjadi milik kepada yang lain, iaitu kepada Dia yang telah dibangkitkan daripada kematian, dan dengan demikian kita dapat menghasilkan buah kepada Allah. Kerana dahulu ketika kita dikawal oleh sifat tabii yang berdosa, hawa nafsu berdosa yang ditimbulkan oleh hukum telah bekerja dalam tubuh kita, sehingga kita menghasilkan buah untuk kematian. Tetapi sekarang, kita telah mati kepada apa yang membelenggu kita dahulu, maka kita telah dibebaskan daripada hukum untuk berkhidmat dalam cara baru Roh, tidak lagi dalam cara lama yang berasaskan peraturan bersurat.