ROMA 4:1-25

ROMA 4:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Jika demikian apakah yang dapat kita katakan tentang Abraham, nenek moyang bangsa kita? Bagaimanakah pengalamannya? Jika Abraham diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya kerana hal-hal yang dilakukan oleh Abraham, maka Abraham boleh berbangga. Tetapi dia tidak dapat berbangga di sisi Allah. Di dalam Alkitab tertulis, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Seorang yang bekerja, biasanya menerima gaji, dan gajinya itu tidak dianggap sebagai suatu pemberian, kerana gaji itu haknya. Tetapi seseorang yang percaya kepada Allah tidak bergantung kepada usahanya sendiri. Orang itu percaya kepada Allah yang menyatakan orang berdosa bebas daripada dosa. Kepercayaan orang itu menyebabkan dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Itulah yang dimaksudkan oleh Daud apabila dia berkata tentang kebahagiaan orang yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, walaupun mereka tidak melakukan apa-apa supaya diterima oleh Allah. Daud berkata, “Berbahagialah orang yang kesalahan mereka diampuni oleh Allah, dan dosa mereka dihapuskan oleh Allah! Berbahagialah dia yang dosanya tidak diperhitungkan oleh Allah!” Adakah kebahagiaan yang dimaksudkan Daud itu hanya dikhaskan untuk orang yang bersunat? Tentu tidak. Kebahagiaan itu juga untuk orang yang tidak bersunat. Hal ini demikian, kerana sudah kami katakan sebelumnya bahawa, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Bilakah perkara itu berlaku? Sebelum atau sesudah Abraham bersunat? Sebelum Abraham bersunat. Abraham bersunat kemudian, dan sunatnya itu satu tanda untuk membuktikan bahawa Allah sudah menerima dia sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, kerana Abraham percaya kepada-Nya. Demikianlah Abraham menjadi seperti bapa kepada semua orang yang percaya kepada Allah dan yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya, walaupun mereka tidak bersunat. Abraham juga menjadi seperti bapa kepada orang yang bersunat dan yang hidup dengan kepercayaan kepada Allah, seperti bapa kita Abraham sebelum dia bersunat. Allah berjanji kepada Abraham dan keturunannya bahawa dunia ini akan menjadi milik mereka. Allah berjanji demikian bukan kerana Abraham taat kepada Taurat, tetapi kerana dia percaya kepada Allah sehingga dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Jika apa yang dijanjikan oleh Allah hanya diberikan kepada orang yang taat kepada Taurat, maka tidak ada gunanya orang percaya kepada Allah, dan janji Allah pun sia-sia. Taurat mendatangkan kemurkaan Allah. Tetapi jika tidak ada hukum, maka pelanggaran pun tidak ada. Janji Allah itu berdasarkan kepercayaan orang kepada Allah. Dengan demikian, janji itu dijamin sebagai kurnia Allah yang diberikan dengan percuma kepada semua keturunan Abraham, baik orang yang taat kepada Taurat, mahupun orang yang percaya kepada Allah seperti Abraham percaya kepada-Nya. Hal ini demikian kerana Abraham menjadi seperti bapa kepada kita semua. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman kepada Abraham, “Aku sudah menjadikan engkau bapa kepada banyak bangsa.” Demikianlah Allah memberikan janji itu kepada Abraham dan Abraham percaya kepada-Nya. Dialah Allah yang menghidupkan orang mati, dan juga Allah yang dengan firman-Nya mewujudkan apa yang tidak wujud. Abraham tetap percaya dan berharap bahkan pada masa tidak ada harapan lagi baginya. Itulah sebabnya Allah menjadikan dia bapa kepada banyak bangsa. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Keturunanmu akan menjadi banyak sekali.” Pada waktu itu umur Abraham sudah hampir seratus tahun. Dia tahu bahawa dia tidak mungkin mendapat keturunan, kerana badannya sudah sangat tua dan Sara, isterinya mandul. Tetapi walaupun demikian, dia tidak ragu akan janji Allah, dan imannya pun tidak menjadi lemah. Sebaliknya imannya menjadikan dia bertambah kuat, dan dia memuji-muji Allah. Abraham betul-betul yakin bahawa Allah sanggup melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya. Itulah sebabnya Abraham “diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah”, kerana dia percaya kepada Allah. Kata-kata - “diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah” - tertulis bukan hanya untuk Abraham, tetapi untuk kita juga. Kita pun akan diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, apabila kita percaya kepada Allah yang membangkitkan Yesus, Tuhan kita daripada kematian. Yesus diserahkan untuk dibunuh kerana dosa kita; Dia dibangkitkan supaya kita boleh berbaik semula dengan Allah.

ROMA 4:1-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA apakah yang handak kita katakan, Ibrahim bapa kita itu tŭlah mŭndapat deri sŭbab adat adat tauret? Kŭrna jikalau Ibrahim itu dibŭnarkan sŭbab amal, maka adalah kapadanya kŭmuliaan, tŭtapi tiada dihalrat Allah. Maka apakah yang tŭrsŭbut dalam kitab? Adapun Ibrahim tŭlah pŭrchaya akan Allah, maka sŭbab itulah dibilangkan dia bŭnar. Adapun kapada orang yang bŭrbuat amal itu, maka fahala itu bukannya dibilang deripada anugrah, mŭlainkan pŭmbayar hutang adanya. Tŭtapi kapada orang yang tiada bŭrbuat amal itu, hanya iya pŭrchaya kapada Allah yang mŭmbŭnarkan orang jahat, adapun imannya itu dibilangkan kŭrna kabŭnaran. Mŭski pun spŭrti yang dikatakan ulih Daud derihal slamat orang itu yang dibilang Allah bŭnar dŭngan tiada amalnya. Katanya, Bahwa bŭrbahgialah orang orang yang diampuni Allah kŭsalahannya, dan ditudongkannya dosa dosanya. Dan bŭrbahgialah pula orang yang tiada ditanggongkan Tuhan dosa atasnya. Adapun bŭrkat yang datang itu atas orang yang disunatkankah sahja, atau atas orang yang tiada disunatkan pun? Kŭrna kita tŭlah bŭrkata Adapun iman itulah dibilangkan bagie Ibrahim ganti kabŭnaran. Bagimanakah garangannya tŭlah dibilangkan, iya itu tŭtkala Ibrahim itu sudah bŭrsunatkah, atau tŭtkala bŭlom lagi disunatkankah? Maka iya itu bukannya tŭtkala sudah iya bŭrsunat, mŭlainkan sŭbŭlom dia bŭrsunat. Maka iya tŭlah mŭnŭrima akan alamat bŭrsunat itu, maka iya itulah suatu mutrie akan kabŭnaran iman yang ada padanya tŭtkala sŭbŭlom iya disunatkan, supaya iya mŭnjadi bapa bagie sagala orang yang pŭrchaya, mŭskipun marika itu tiada disunatkan, supaya kabŭnaran itu dapat ditangonggkan kapada marika itu pun. Maka Ibrahim itulah yang tŭlah mŭnjadi bapa bŭrsunat itu, bukannya kapada orang yang bŭrsunat sahja, mŭlainkan kapada barang siapa yang mŭnurot kŭjŭjakan iman bapa kami Ibrahim itu sŭbŭlom lagi iya disunatkan. Kŭrna adalah pŭrjanjian itu, bahwa Ibrahim itu akan mŭnjadi warith dunia, bukannya kapada Ibrahim, atau kapada bŭnihnya deri sŭbab tauret, hanya deri sŭbab kabŭnaran iman juga. Kŭrna jikalau orang yang bŭrtauret mŭnjadi warith, nŭschaya iman itu sia sialah adanya, dan pŭrjanjian itu pun ta’da bŭrguna adanya. Kŭrna tauret itu mŭndatangkan morka, maka barang dimana tiada hukum, maka disana pun tiada barang kŭsalahan. Maka sŭbab itulah kabŭnaran itu mŭnjadi deripada iman; adapun datangnya itu deripada anugrah, kŭsudahannya kŭlak supaya pŭrjanjian itu mŭnjadi tŭtap kapada sagala bŭnih, bukannya iya itu deri pada bŭnih tauret sahja, mŭlainkan iya itu deripada bŭnih iman, iya itu Ibrahim bapa kita skalian pun. Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa aku akan mŭnjadikan dikau akan bapa kapada bŭbrapa bangsa; maka dihadapan Allah yang dipŭrchayai ulih Ibrahim itu, bahwa iyalah juga yang mŭnghidopkan orang yang mati, dan iya mŭngadakan pŭrkara pŭrkara yang ta’da spŭrti yang tŭlah ada. Adapun Ibrahim mŭlawan harap, tŭtapi pŭrchaya juga iya dŭngan harap, supaya iya kŭlak akan mŭnjadi bapa bagie bŭbrapa bangsa; spŭrti yang tŭlah dikatakan Allah, Dŭmkianlah kŭlak akan jadi bŭnihmu itu. Maka sŭbab imannya tiadalah lŭmah, maka disangkanya dirinya itu bukannya spŭrti mati, tŭtkala umornya kira kira sa’ratus tahun, dan tiada pula disangkanya derihal kalŭmahan rahim Sarah itu. Maka tiada juga iya bŭrgŭrak deripada pŭrjanjian Allah dŭngan korang imannya, mŭlainkan tŭgohlah imannya sambil mŭmuliakan Allah. Maka yakinlah juga iya sangat, iya itu bahwa Allah bŭrkwasa akan mŭnyampiekan pŭrkara yang tŭlah dijanjikannya itu. Sŭbab itulah dibilangkan dia bŭnar. Adapun bukannya itu disuratkan bagie Ibrahim sahja, sŭbab iya dibilangkan bŭnar, Mŭlainkan bagie kita pun kŭlak akan dibilangkan juga, jikalau kiranya kita pŭrchaya akan Allah yang tŭlah mŭmbangkitkan Isa Tuhan kita deripada matinya. Yang tŭlah disŭrahkannya sŭbab kŭsalahan kami, dan yang tŭlah dibangkitkan pula sŭbab kabŭnaran kami.

ROMA 4:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh yang demikian, apakah yang akan kita katakan tentang Abraham, nenek moyang jasmaniah kita? Jika Abraham telah diperbenar kerana kerja amalnya dapatlah dia berbangga tetapi bukan di mata Allah. Apakah yang tersurat dalam Kitab Suci? “Abraham percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Bagi seseorang yang membuat kerja, gajinya tidak dikira sebagai anugerah tetapi sebagai haknya. Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak membuat kerja amal tetapi percaya kepada Allah yang telah memperbenar orang yang mungkar, imannya diperhitungkan sebagai perbenaran. Demikianlah Daud berkata tentang berkat ke atas orang yang diperbenar Allah tanpa mengira kerja amalnya. Kata Daud: “Diberkatilah orang yang diampuni kemungkarannya dan yang dihapuskan dosa-dosanya. Diberkatilah orang yang dosanya tidak diperhitungkan Tuhan.” Maka adakah berkat ini untuk orang yang bersunat, atau untuk orang yang tidak bersunat juga? Kerana kita berkata, “Iman Abraham diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Jadi, bagaimana iman itu diterima? Semasa dia sudah bersunat, atau sebelum bersunat? Bukan semasa dia sudah bersunat, tetapi ketika dia belum bersunat; lalu dia menerima tanda persunatan, materai perbenaran yang didapatinya melalui iman semasa dia masih belum bersunat. Dengan demikian, dia menjadi bapa kepada semua orang yang beriman tanpa bersunat, supaya perbenaran juga diperhitungkan kepada mereka dan dia juga menjadi bapa kepada orang bersunat yang bukan sahaja bersunat tetapi juga mengikut jejak langkah moyang bangsa kita, Abraham yang beriman sebelum dia bersunat. Kerana janji kepada Abraham dan keturunannya bahawa mereka akan menjadi waris dunia ini bukanlah melalui hukum Taurat tetapi melalui perbenaran yang diperoleh dengan iman. Kerana jika orang yang mengamalkan hukum Taurat menjadi waris, maka iman tidak bernilai dan janji itu mansuh. Kerana hukum Taurat membawa kemurkaan Allah dan tanpa hukum Taurat, tiadalah kemungkaran. Oleh yang demikian, janji itu melalui iman, supaya datangnya melalui kasih kurnia dan dapat dipastikan bagi semua keturunan Abraham; bukan hanya yang mengamalkan hukum Taurat tetapi juga yang mempunyai iman Abraham, bapa kepada kita semua. Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Aku telah menjadikanmu bapa kepada beberapa banyak bangsa.” Abraham bapa kita di mata Allah. Dia beriman kepada Allah yang memberikan nyawa kepada yang mati dan menyeru yang tidak wujud menjadi wujud. Meski bagaikan tiada harapan, Abraham berharap dan beriman, maka dia menjadi bapa kepada beberapa banyak bangsa, sebagaimana yang telah dikatakan kepadanya, “Demikian jugalah keturunanmu kelak.” Tanpa terjejas imannya, dia menghadapi kenyataan bahawa tubuhnya samalah seperti sudah mati — kerana dia sudah berusia kira-kira seratus tahun — dan rahim Sarah juga sudah mati. Namun demikian, Abraham tidak digugat kesangsian terhadap janji Allah, tetapi telah diteguhkan lagi dalam imannya lalu memuliakan Allah. Dia yakin sepenuhnya bahawa Allah berkuasa melakukan apa yang telah dijanjikan-Nya. Maka “imannya itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Kata-kata “diperhitungkan baginya” telah tersurat bukan untuknya sahaja, tetapi juga untuk kita: Allah akan menerima kita sebagai orang yang benar, kita yang beriman terhadap Dia yang telah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian. Dia telah diserahkan kepada kematian kerana dosa kita dan dibangkitkan semula kepada kehidupan untuk pembenaran kita.