ROMA 3:1-9
ROMA 3:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Jika demikian, adakah keuntungannya menjadi orang Yahudi? Adakah faedahnya bersunat? Tentu banyak faedahnya! Pada mulanya Allah mengamanahkan firman-Nya kepada orang Yahudi. Tetapi bagaimana halnya jika sebahagian daripada orang Yahudi tidak setia? Adakah kerana hal itu Allah menjadi tidak setia? Tentu tidak! Allah sentiasa benar, walaupun setiap orang berdusta. Sebagaimana yang tertulis di dalam Alkitab, “Apabila Engkau berfirman, setiap orang pasti tahu bahawa Engkau benar; apabila Engkau dituduh, Engkau sentiasa menang.” Tetapi jika kejahatan kita menjadikan keadilan Allah semakin nyata, apakah yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil apabila Dia menghukum kita? (Di sini aku bercakap secara manusia.) Sekali-kali tidak! Jika Allah tidak adil, bagaimanakah Dia dapat menghakimi dunia ini? Jika perbuatanku yang tidak benar, menyebabkan apa yang benar tentang Allah semakin nyata, sehingga Dia dipermuliakan, mengapa aku disalahkan sebagai orang berdosa? Mengapa kita tidak berkata, “Marilah kita lakukan kejahatan supaya timbul kebaikan”? Sebenarnya ada beberapa orang yang menghina aku dengan tuduhan bahawa aku mengatakan demikian. Allah akan menghukum mereka dengan sepatutnya. Baiklah, adakah kedudukan kita sebagai orang Yahudi lebih baik daripada kedudukan orang bukan Yahudi? Sekali-kali tidak! Sudah aku jelaskan bahawa semua orang dikuasai dosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi.
ROMA 3:1-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA jikalau dŭmkian itu, apakah kalŭbihannya orang Yahudi, atau apakah faidahnya sunat itu? Sŭlŭbih lŭbihnya iya itu pŭrtama tama, sŭbab fŭrman Allah tŭlah disŭrahkan kapada marika itu. Maka jikalau sŭtŭngah marika itu tiada pŭrchaya skali pun, maka bulihkah dia mŭrosakkan sŭtia Tuhan itu sŭbab dia tiada pŭrchaya? Dijauhkan Allah: bahwa Allah itu bŭnarlah adanya, akan tŭtapi tiap tiap manusia sahja bohong; spŭrti yang tŭrsurat, Supaya angkaulah dapat dibŭnarkan dalam pŭrkataanmu, dan bŭrulih kŭmŭnangan tŭtkala angkau disalahkan. Tŭtapi jikalau kŭsalahan kita mŭnyatakan kaadilan Allah itu, bagimanakah kata kita, maka adakah Allah itu salah apabila iya mŭnuntut balas? aku bŭrkata ini spŭrti kata orang. Dijauhkan Allah: kŭrna jikalau kiranya bŭgitu, bŭtapakah Allah mŭnghukumkan sagala isi alam ini? Kŭrna jikalau kiranya kabŭnaran Allah itu bŭrtambah tambah kŭmuliaannya sŭbab bohongku, maka mŭngapa pula aku dihukumkan spŭrti orang yang bŭrdosa? Bukankah baik spŭrti digagahkan orang dŭngan mŭngumpat kami, dan spŭrti orang lain pula mŭngatakan, kami bŭrkata, Biarlah kita bŭrbuat jahat, supaya mŭndatangkan baik, chilakanya itu kŭlak bŭnar adanya. Bŭtapakah skarang, adakah kita tŭrlebih baik deripada orang orang itu? Tidak, skali kali pun tidak; kŭrna kita tŭlah bŭrsaksikan dahulu, baik kapada orang Yahŭdi, baik kapada orang sŭsat, bahwa skaliannya ada dibawah kwasa dosa adanya.
ROMA 3:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu, apakah kelebihan seorang Yahudi, dan apakah manfaat persunatan? Sungguh banyak dalam segala hal! Terutamanya kerana Firman Allah dipercayakan kepada mereka. Jika sesetengah mereka tidak beriman, adakah ini menjadikan kesetiaan Allah tidak berkesan? Sama sekali tidak! Allah tetap benar biarpun setiap manusia itu pembohong. Sebagaimana tersurat: “Supaya Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan akan menang apabila Engkau dihakimi.” Tetapi jika kemungkaran kita menunjukkan perbenaran Allah, apa yang harus kita katakan? Adakah Allah tidak adil menimpakan kemurkaan-Nya? (Aku bercakap sebagai seorang manusia.) Sama sekali tidak! Kerana jika demikian, bagaimana Allah dapat menghakimi dunia! Jika kebenaran Allah bertambah kerana aku mendustai kemuliaan-Nya, mengapa aku tetap dihakimi sebagai orang berdosa? Dan mengapa tidak dikatakan, “Mari kita berbuat jahat supaya hasilnya baik.” Demikian orang memfitnahkan kita berkata dan sesetengahnya menegaskan bahawa kita berkata begitu. Hukuman atas mereka itu memang wajar. Jadi bagaimana? Adakah kita lebih baik daripada mereka? Tidak sekali-kali. Kerana dahulu kita telah mengatakan bahawa baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, semuanya berada di bawah kuasa dosa.