ROMA 16:3-16

ROMA 16:3-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, rakan-rakanku yang sama-sama bekerja untuk Kristus Yesus. Mereka menyabung nyawa untukku. Aku berterima kasih kepada mereka - dan bukan aku sahaja, tetapi jemaah orang bukan Yahudi juga berterima kasih kepada mereka. Sampaikan salamku kepada jemaah yang berkumpul di rumah mereka. Sampaikan salamku kepada Epenetus yang aku kasihi. Dia orang pertama di daerah Asia yang percaya kepada Kristus. Sampaikan salamku kepada Maria yang sudah bekerja begitu keras bagi kamu. Sampaikan salamku kepada Andronikus dan Yunias, yang sebangsa dengan aku dan yang dipenjarakan bersama-sama aku. Mereka terkenal antara rasul-rasul dan mereka lebih awal percaya kepada Kristus daripada aku. Sampaikan salamku kepada Ampliatus, sahabat yang aku kasihi dan yang bersatu dengan Tuhan. Sampaikan salam kepada Urbanus, rakan sekerja kita untuk Kristus, dan kepada Stakhis sahabat yang aku kasihi. Sampaikan salam kepada Apeles yang kesetiaannya kepada Kristus sudah terbukti. Sampaikan salam kepada keluarga Aristobulus, dan kepada Herodion, yang sebangsa dengan aku. Sampaikan salam kepada saudara-saudara seiman dalam keluarga Narkisus. Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa yang bekerja untuk Tuhan, dan kepada Persis sahabat yang aku kasihi. Dia sudah bekerja keras untuk Tuhan. Aku mengirim salam kepada Rufus, hamba terpuji yang dipilih oleh Tuhan, dan kepada ibunya yang sentiasa memperlakukan aku sebagai anak sendiri. Aku mengirim salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas, dan semua saudara seiman yang bersama-sama mereka. Sampaikan salam kepada Filologus dan Yulia, kepada Nereus dan saudara perempuannya, kepada Olimpas dan kepada semua umat Allah yang bersama-sama mereka. Bersalam-salamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. Semua jemaah Kristus menyampaikan salam mereka kepada kamu.

ROMA 16:3-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sampiekanlah sŭlamku kapada Priskilla dan Aquila yang tŭlah mŭnulong aku dalam pŭkŭrjaan Isa Almasih: Yang tŭlah mŭnggantikan lehirnya sŭbab nyawaku; maka bukannya aku sahja, mŭlainkan sagala sidang jŭmaah orang sŭsat pun balas trima kasih akan dia. Dan lagi pula sampiekanlah sŭlamku kapada sidang jŭmaah yang dalam rumahnya. Dan sŭlamku kapada kŭkasihku Epenetus, iyalah buah bungaran sulong Almasih dalam nŭgri Akia. Dan sŭlamku kapada Mŭriam yang tŭlah bŭrlŭlah banyak sŭbab kami. Dan sŭlamku kapada Andronikus dan Junia, sanak sanakku, dan taulanku dalam pŭnjara, dan yang tŭrbilang diantara sagala rasol, dan lagi pula yang dalam agama Almasih tŭrdahulu deripadaku. Dan sŭlamku kapada kŭkasihku Amplias dalam agama Tuhan. Dan sŭlamku kapada Arbanus yang mŭnulong aku dalam agama Almasih, dan kapada kŭkasihku Istakis. Dan sŭlamku kapada Apelles yang dipŭrkŭnankan dalam agama Almasih. Dan sŭlamku kapada orang isi rumah Aristobulus. Dan sŭlamku kapada sanakku Herodian, dan sŭlamku kapada orang orang isi rumah Narcissus yang dalam agama Tuhan. Dan sŭlamku kapada Tryfena dan Tryfosa, yang tŭlah bŭrlŭlah dalam agama Tuhan. Dan sŭlamku kapada Persis, kŭkasihku, yang tŭlah bŭrlŭlah banyak dalam agama Tuhan. Dan sŭlamku kapada Rufus yang tŭlah dipileh Tuhan, dan kapada bondanya, iya itu bondaku pun. Dan sŭlamku kapada Asynkritus, dan Phlegon, dan Hermas, dan Patrobas, dan Hermes, sŭrta saudara saudara yang bŭrsama sama dŭngan marika itu. Dan sŭlamku kapada Philologus, dan Julia, dan Nereus, dan kapada saudaranya pŭrampuan, dan Olympas, dan sagala orang salih yang ada dŭngan marika itu. Maka brilah sŭlam kapada sa’orang akan sa’orang dŭngan chium yang suchi. Maka sagala sidang jŭmaah Almasih mŭmbri sŭlam kapada kamu.

ROMA 16:3-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, rakan-rakan seperjuanganku dalam Kristus Yesus. Mereka telah bergadai nyawa untukku. Bukan aku sahaja yang terhutang budi kepada mereka, malah seluruh jemaah daripada bangsa-bangsa lain. Salam kepada jemaah yang berhimpun di rumah mereka. Salam kepada Epenetus, saudara yang kukasihi, orang yang pertama beriman kepada Kristus di Asia. Salam kepada Maria, yang telah bertungkus-lumus untukmu. Salam kepada Andronikus dan Yunias, saudara-saudara sebangsaku dan teman-temanku di dalam penjara. Mereka ialah orang terkemuka di antara para rasul, dan yang telah menerima Kristus sebelumku. Salam kepada Ampliatus yang kukasihi dalam Tuhan. Salam kepada Urbanus, rakan seperjuangan kamu dalam Kristus, dan juga kepada Stakhis yang kukasihi. Salam kepada Apeles, yang diperkenan dalam Kristus. Salam kepada Aristobulus dan seisi rumahnya. Salam kepada Herodion, saudara sebangsaku. Salam kepada Narkisus sekeluarga, yang hidup dalam Tuhan. Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa, yang telah berpenat lelah dalam Tuhan. Salam kepada Persis yang kukasihi, yang juga telah bertungkus-lumus dalam Tuhan. Salam kepada Rufus, hamba yang terpilih dalam Tuhan, dan kepada ibunya, yang telah menjadi ibu juga kepadaku. Salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas dan saudara-saudara yang bersama mereka. Salam kepada Filologus dan Yulia, Nereus dan saudara perempuannya Olimpas, serta semua orang salih yang bersama mereka. Bersalam-salamanlah dengan ciuman suci. Jemaah-jemaah Kristus berkirim salam kepadamu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami