ROMA 16:17-27 - Compare All Versions

ROMA 16:17-27 BM (Alkitab Berita Baik)

Saudara-saudaraku! Aku menggesa kamu supaya berwaspada terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan yang mengelirukan kepercayaan orang kepada Tuhan. Mereka mengajarkan perkara yang bertentangan dengan ajaran yang telah kamu terima. Jauhkan diri daripada mereka. Orang yang berbuat demikian tidak melakukan kerja untuk Kristus Tuhan kita, tetapi untuk memuaskan keinginan hati sendiri. Dengan pujukan dan kata-kata yang elok-elok, mereka menipu orang yang tidak tahu apa-apa. Semua orang sudah mengetahui betapa setianya kamu berpegang kepada ajaran Berita Baik itu. Oleh itu kamu menyebabkan aku amat gembira. Aku berharap supaya kamu bijak tentang perkara yang baik, dan tidak tahu apa-apa tentang perkara yang jahat. Allah, sumber kedamaian kita akan segera menaruh Iblis di bawah kekuasaan kamu dan menghancurkannya. Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu! Timotius, rakan sekerjaku menyampaikan salamnya kepada kamu, demikian juga Lukius, Yason, dan Sosipater, sahabat-sahabat yang sebangsa dengan aku. Aku, Tertius yang menulis surat ini menyampaikan salam sebagai sesama saudara Kristian. Gayus mengirim salam kepada kamu. Aku menumpang di rumahnya dan jemaah juga mengadakan perjumpaan di sini. Erastus, bendahari kota dan saudara kita Kuartus, mengirim salam kepada kamu semua. [ Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu semua. Amin.] Marilah kita muliakan Allah! Dia berkuasa meneguhkan iman kamu sesuai dengan Berita Baik tentang Yesus Kristus, yang aku isytiharkan itu. Aku mengisytiharkannya sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh Allah, iaitu rancangan Allah yang selama berabad-abad tidak diketahui orang. Tetapi sekarang rancangan itu sudah dinyatakan melalui tulisan nabi-nabi, dan diberitakan kepada semua bangsa atas perintah Allah yang kekal, supaya mereka semua percaya dan taat kepada Allah. Muliakanlah Allah yang esa dan yang maha bijak. Muliakanlah Dia selama-lamanya kerana apa yang sudah dilakukan oleh Yesus Kristus! Amin.

ROMA 16:17-27 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))

Maka skarang aku pohonkan kapada kamu sagala saudaraku, bahwa pŭrhatikanlah akan sagala orang yang mŭndatangkan pŭnchŭriean dan shak yang mŭlawan akan pŭngajaran yang tŭlah kamu blajar itu; maka undorlah deripada marika itu. Kŭrna sagala orang yang dŭmkian itu bukannya bŭrkhadam kapada Isa Almasih Tuhan kita, mŭlainkan kapada protnya sŭndiri; dan dŭngan pŭrkataan yang baik dan tutoran manis iya handak mŭnipu akan hati orang orang yang bŭtol. Kŭrna kŭbaktian kamu tulah tŭrmashorlah kapada sagala orang, maka aku pun bŭrgŭmarlah ulih sŭbab kŭrna kamu; akan tŭtapi kukahandaki supaya kamu bŭrbudi dalam pŭrkara yang baik, dan bodoh dalam pŭrkara yang jahat. Adapun Allah pohon slamat itu akan mŭmijakkan shietan itu dibawah kakimu dŭngan sŭgranya. Maka biarlah kiranya anugrah Tuhan Isa Almasih itu bŭsŭrta dŭngan kamu: Amin. Adapun Timothius taulan dalam pŭkŭrjaanku itu, dan Lukius, dan Jason, dan Sosipater, sanakku, ampunya sŭlam kapada kamu. Adapun aku ini Tertius, yang tŭlah mŭnyurat surat ini, ampunya sŭlam kapada kamu dŭngan nama Tuhan. Adapun Gaius yang tŭlah mŭnumpangkan aku, sŭrta sagala sidang jŭmaah ampunya sŭlam kapada kamu. Dan lagi Erastus bandahari nŭgri, sŭrta pula saudara Quartus itu ampunya sŭlam kapada kamu. Maka adalah kiranya anugrah Tuhan kami Isa Almasih bŭsŭrta dŭngan kamu skalian: Amin. Arkian skarang pun pujilah akan Allah yang bŭrkwasa akan mŭnŭtapkan kamu mŭnurot Injilku dan pŭngajaran Isa Almasih, iya itu mŭnurot kŭnyataan rahsia yang tŭrsŭmbunyi deripada pŭrmumulaan dunia. Tŭtapi iya itu skarang tŭlah dinyatakan, dan dikhabarkan ulih sagala surat nabi nabi, kapada sagala bangsa akan mŭmbawa marika itu kapada kŭbaktian iman, mŭnurot fŭrman Allah yang baka. Bagie Allah juga hikmat, adalah kiranya kamuliaan dŭngan bŭrkat Isa Almasih sampie slama lamanya: Amin. ¶ Tŭrmaktub surat ini dalam nŭgri Korinthus, dikirimkan kapada orang Rom ulih Phebe yang bŭrkhadam kapada sidang jŭmaah diKenkria.

ROMA 16:17-27 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, berwaspadalah terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan menyesatkan orang daripada ajaran yang telah kamu terima. Berpalinglah daripada mereka. Orang demikian bukanlah hamba Tuhan Kristus tetapi hamba kepada hawa nafsu mereka sendiri. Mereka memperdaya hati orang yang lurus dengan kata-kata yang manis. Semua orang telah mengetahui ketaatanmu. Oleh itu, aku bergembira tentangmu. Aku mahu kamu bijak dalam kebaikan serta bersih daripada kejahatan. Allah, sumber kesejahteraan, akan segera membuat Iblis hancur di bawah kakimu. Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua. Timotius, rakan seperjuanganku, berkirim salam kepadamu; begitu juga Lukius, Yason dan Sosipater, kawan-kawan sebangsaku. Aku, Tertius, yang menulis surat ini, juga berkirim salam kepadamu dalam Tuhan. Gayus, yang memberiku tempat menumpang serta semua jemaah yang berhimpun di rumahnya, berkirim salam kepadamu. Salam juga daripada Erastus, bendahara kota, dan Kuartus, saudara kita. Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua. Sekarang, kepada Dia yang berkuasa meneguhkan kamu menurut Injil yang kusampaikan dan perkhabaran tentang Yesus Kristus, menurut pernyataan rahsia yang tersembunyi sejak permulaan dunia tetapi kini telah dinyatakan, dan melalui nubuat-nubuat dalam Kitab Suci telah disampaikan kepada semua bangsa, menurut perintah Allah yang kekal, supaya mereka dibawa mentaati iman; kepada Allah sahaja, yang penuh bijaksana, segala kemuliaan melalui Yesus Kristus selama-lamanya. Amin.