ROMA 13:3-8
ROMA 13:3-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka yang berbuat baik tidak perlu takut kepada pemerintah. Hanya mereka yang berbuat jahat harus takut. Jika kamu tidak mahu berasa takut kepada pemerintah, berbuatlah baik, lalu kamu akan dipuji. Hal itu demikian, kerana pemerintah itu hamba Allah, yang berkhidmat bagi kebaikan kamu. Tetapi jika kamu berbuat jahat, takutlah kepadanya, kerana pemerintah berkuasa untuk menjatuhkan hukuman. Pemerintah itu hamba Allah, yang menjatuhkan hukuman Allah kepada orang yang berbuat jahat. Itulah sebabnya kamu harus taat kepada pemerintah - bukan sahaja kerana takut kepada hukuman Allah, tetapi kerana hati nurani kamu menyuruh kamu berbuat demikian. Itulah sebabnya pula kamu membayar cukai, kerana pemerintah berkhidmat kepada Allah apabila menjalankan tugas. Bayarlah apa yang harus kamu bayar kepada pemerintah. Bayarlah cukai pendapatan, jika kamu harus membayarnya. Bayarlah cukai tanah, jika kamu harus membayarnya. Hormatilah mereka yang harus dihormati, dan hargailah mereka yang harus dihargai. Janganlah berhutang kepada sesiapa pun, kecuali berhutang kasih terhadap satu sama lain. Sesiapa yang mengasihi sesama manusia, mentaati Taurat.
ROMA 13:3-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna pŭmrentah pŭmrentah itu tiada mŭndatangkan sa’suatu kŭtakotan kapada pŭrbuatan yang baik, mŭlainkan kapada yang jahat. Maka angkau pun tiadakah juga handak takot akan kwasa itu? Maka pŭrbuatlah akan pŭrkara yang baik, supaya angkau kŭlak bŭrulih kŭpujian deripada itu. Bahwa adapun pŭmrentah itu surohan Allah kapadamu derihal yang baik; tŭtapi jikalau angkau bŭrbuat pŭrkara yang jahat, maka takot ulihmu, kŭrna iya mŭmŭgang pŭdang itu bukannya dŭngan sia sia, kŭrna iyalah surohan Allah, dan sa’orang pŭmbalas yang akan mŭndatangkan morka atas orang yang bŭrbuat jahat itu. Maka sŭbab itu patutlah kamu ta’alok, bukannya kŭrna morka sahja, mŭlainkan kŭrna angan angan hati pun. Maka sŭbab itu handaklah kamu mŭmbayar chukie pun, kŭrna marika itu surohan Allah yang sŭntiasa mŭngŭrjakan pŭkŭrjaan itulah juga. Maka sŭbab itu bayarlah kapada sagala orang yang patut mŭmpunyai, chukie itu kapada yang patut mŭmpunyai, bia kapada yang patut mŭmpunyai, dan takot kapada yang patut ditakoti, hormat kapada yang patut dihormati. Maka janganlah kamu bŭrhutang barang suatu kapada sa’orang jua pun, mŭlainkan bŭrkasih kasihanlah sa’orang dŭngan sa’orang; kŭrna orang yang mŭngasihi orang lain itu, maka iyalah mŭnggŭnapi hukum.
ROMA 13:3-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pemerintah tidak menakutkan orang yang berbuat baik, hanya mereka yang berbuat jahat. Inginkah kamu bebas daripada rasa takut terhadap pemerintah? Lakukan kebajikan, pasti kamu akan dipujinya. Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk membawa kebaikan kepadamu. Tetapi jika kamu melakukan kejahatan, wajarlah kamu takut, kerana pedang yang dibawanya tentu sekali untuk digunakan. Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk menjalankan pembalasan dengan menimpakan kemurkaan Allah ke atas orang yang berbuat jahat. Oleh itu tunduklah, bukan hanya kerana takut dimurkai Allah tetapi juga kerana menurut hati nuranimu sendiri. Dengan sebab itu jugalah kamu harus membayar cukai. Pemerintah ialah penjawat yang ditugaskan Allah untuk mengendalikan hal itu. Oleh itu, bayarlah apa yang wajar dibayar kepada setiap pihak: Sekiranya cukai, bayarlah cukai; sekiranya hasil, bayarlah hasil. Dan takutilah orang yang patut ditakuti, dan hormatilah orang yang patut dihormati. Jangan berasa terhutang apa-apa kepada sesiapa pun kecuali kasih-mengasihi, kerana seseorang yang mengasihi sesama manusia telah memenuhi hukum