ROMA 13:1-4
ROMA 13:1-4 Alkitab Berita Baik (BM)
Setiap orang harus taat kepada pemerintah, kerana pemerintah mendapat kekuasaan daripada Allah. Pemerintah yang ada sekarang pun ditetapkan oleh Allah. Oleh itu orang yang menentang pemerintah, menentang apa yang sudah ditetapkan oleh Allah. Sesiapa yang berbuat demikian akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri. Mereka yang berbuat baik tidak perlu takut kepada pemerintah. Hanya mereka yang berbuat jahat harus takut. Jika kamu tidak mahu berasa takut kepada pemerintah, berbuatlah baik, lalu kamu akan dipuji. Hal itu demikian, kerana pemerintah itu hamba Allah, yang berkhidmat bagi kebaikan kamu. Tetapi jika kamu berbuat jahat, takutlah kepadanya, kerana pemerintah berkuasa untuk menjatuhkan hukuman. Pemerintah itu hamba Allah, yang menjatuhkan hukuman Allah kepada orang yang berbuat jahat.
ROMA 13:1-4 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA handaklah tiap tiap orang ta’alok kŭbawah sagala kwasa yang lŭbih bŭsar, kŭrna tiadalah barang kwasa mŭlainkan deripada Allah; maka adapun sagala kwasa yang ada itu, iya itulah yang tŭlah ditŭntukan ulih Allah. Maka sŭbab itulah barang siapa yang mŭlawan akan kwasa itu, sŭrasa iya mŭlawan pŭrkara yang ditŭntukan Allah itu; adapun orang orang yang mŭlawan itu kŭlak akan mŭnŭrima bagie dirinya hukuman. Kŭrna pŭmrentah pŭmrentah itu tiada mŭndatangkan sa’suatu kŭtakotan kapada pŭrbuatan yang baik, mŭlainkan kapada yang jahat. Maka angkau pun tiadakah juga handak takot akan kwasa itu? Maka pŭrbuatlah akan pŭrkara yang baik, supaya angkau kŭlak bŭrulih kŭpujian deripada itu. Bahwa adapun pŭmrentah itu surohan Allah kapadamu derihal yang baik; tŭtapi jikalau angkau bŭrbuat pŭrkara yang jahat, maka takot ulihmu, kŭrna iya mŭmŭgang pŭdang itu bukannya dŭngan sia sia, kŭrna iyalah surohan Allah, dan sa’orang pŭmbalas yang akan mŭndatangkan morka atas orang yang bŭrbuat jahat itu.
ROMA 13:1-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setiap orang harus tunduk kepada pihak berkuasa, kerana tidak ada kekuasaan yang tidak datang daripada Allah, dan pihak berkuasa yang ada telah ditetapkan oleh Allah. Oleh itu, sesiapa yang menentang pihak berkuasa menentang peraturan Allah, dan sesiapa yang menentang membawa hukuman ke atas dirinya. Pemerintah tidak menakutkan orang yang berbuat baik, hanya mereka yang berbuat jahat. Inginkah kamu bebas daripada rasa takut terhadap pemerintah? Lakukan kebajikan, pasti kamu akan dipujinya. Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk membawa kebaikan kepadamu. Tetapi jika kamu melakukan kejahatan, wajarlah kamu takut, kerana pedang yang dibawanya tentu sekali untuk digunakan. Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk menjalankan pembalasan dengan menimpakan kemurkaan Allah ke atas orang yang berbuat jahat.