ROMA 12:3-15
ROMA 12:3-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Kerana kurnia Allah yang sudah dianugerahkan-Nya kepadaku, aku menasihati kamu semua: Janganlah anggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya, tetapi nilailah diri masing-masing dengan rendah hati menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah, kerana kamu percaya kepada Yesus. Tubuh kita mempunyai banyak anggota, dan setiap anggota tubuh mempunyai tugas yang berlainan. Begitu juga halnya dengan kita. Sungguhpun bilangan kita banyak, tetapi kita satu tubuh kerana kita bersatu dengan Kristus. Kita semua dihubungkan satu dengan yang lain sebagai anggota-anggota daripada satu tubuh. Oleh itu kita harus menggunakan kurnia-kurnia yang berlainan, menurut rahmat-Nya yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengkhabarkan berita daripada Allah, kita harus melakukannya menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk menolong orang lain, kita harus menolong mereka. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengajar, kita harus mengajar. Jika kita mempunyai kurnia untuk menggalakkan orang lain, kita harus melakukannya. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk berkongsi milik dengan orang lain, harus melakukannya dengan murah hati. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menjadi pemimpin, harus memimpin dengan tekun. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, harus melakukannya dengan sukacita. Kamu harus mengasihi orang lain dengan ikhlas. Kamu harus membenci apa yang jahat, tetapi berpegang kepada apa yang baik. Kamu harus saling mengasihi dengan mesra sebagai saudara dalam keluarga Kristus. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat. Jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Tuhan dengan semangat daripada Roh Allah. Kerana kamu berharap kepada Tuhan, bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kamu berkongsi milik dengan saudara seiman yang memerlukan bantuan, dan sambutlah saudara seiman yang tidak kamu kenal ke rumah. Berdoalah kepada Allah supaya Dia memberkati orang yang menganiaya kamu. Mintalah Allah memberkati mereka, dan janganlah minta Allah mengutuk mereka. Bersukacitalah dengan mereka yang bersukacita, dan menangislah dengan mereka yang menangis.
ROMA 12:3-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun dŭngan bŭrkat anugrah yang tŭlah dikurniakan padaku, maka aku bŭrkata kapada masing masing kamu, janganlah iya mŭnyangkakan dirinya tŭrlebih deripada yang patut, mŭlainkan sangkakanlah dŭngan suman sŭkŭdar iman yang dibahgikan Allah kapada masing masing orang. Kŭrna spŭrti dalam suatu tuboh adalah banyak anggota, tŭtapi sagala anggota itu tiada sama pŭkŭrjaannya. Maka dŭmkianlah adanya kita yang banyak itu pun suatu juga tuboh, iya itu dalam Almasih, dan tiap tiap kami ini deri anggota sa’oranglah pada sa’orang. Maka sŭbab ada anugrah bŭrlain lainan kapada kita, sŭkŭdar anugrah yang dikurniakan kapada kita, baik deri pada pŭngajaran ilham, biarlah kita mŭngajar kŭdar sŭbanyak iman kita; Baik deripada bŭrkhodmat, biarlah kita mŭlakukan khodmat kita; baik deripada orang yang mŭngajar, biarlah iya mŭngajar; Atau orang yang mŭmbri nasihat, biarlah iya mŭnasihatkan; dan orang yang mŭmbri sŭdŭkah, biarlah dipŭrbuatnya dŭngan hati tulos; dan orang yang mŭmrentahkan, biarlah dipŭrbuatnya dŭngan rajin; dan orang yang mŭnunjokkan kamurahan, biarlah dŭngan suka hatinya. Biarlah kasih itu ada dŭngan ekhlas; maka bŭnchikanlah akan pŭrkara yang jahat itu, dan mŭlŭkatlah kapada pŭrkara yang baik. Maka handaklah kiranya kamu bŭrkasih sayang sa’orang dŭngan sa’orang dŭngan kasih bagie saudara, sŭrta mŭndahului sa’orang mŭmbri hormat akan sa’orang. Janganlah kamu bŭrlalie dalam pŭkŭrjaan; biarlah hatimu rajin sŭrta bŭrbakti kapada Tuhan. Maka tŭrmasalah dŭngan harap, dan sabarlah dalam kasusahan; dan usahakanlah sŭntiasa dalam minta doa. Maka tulonglah akan kŭkurangan orang salih, sŭrta sambutlah akan orang dagang. Mintakanlah bŭrkat kapada orang yang mŭngannyayai akan kamu; mintakanlah bŭrkat dan janganlah mŭla’natkan dia. Maka bŭrgŭmarlah bŭrsama sama dŭngan orang yang bŭrgŭmar, dan mŭnangislah bŭrsama sama dŭngan orang yang mŭnangis.
ROMA 12:3-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku berkata kepada setiap orang daripadamu, melalui kasih kurnia yang diberikan kepadaku: Janganlah nilai dirimu lebih tinggi daripada sepatutnya, sebaliknya nilailah dirimu sewajarnya, selaras dengan kadar iman yang telah diberikan Allah kepada setiap orang. Sebagaimana tubuh manusia terdiri daripada beberapa anggota yang berbagai-bagai tugasnya dan bukan semua anggota itu mempunyai tugas yang sama, begitu jugalah kita yang ramai ini, semuanya anggota satu tubuh dalam Kristus, dan saling memiliki. Kita mempunyai kurnia yang berlainan menurut kasih kurnia yang diberikan kepada kita. Sekiranya kita dianugerahi kurnia untuk bernubuat, maka bernubuatlah menurut kadar iman kita; kalau untuk melayani, gunakanlah dalam pelayanan kita; jika untuk mengajar, gunakanlah dalam pengajaran. Orang yang dianugerahi kurnia untuk menasihati, hendaklah dia menggunakannya dalam memberikan nasihat; kalau untuk memberi, lakukanlah dengan murah hati; kiranya untuk memimpin, berilah pimpinan dengan bersungguh-sungguh; dan jika untuk menunjukkan belas kasihan, lakukanlah dengan sukacita. Kasih hendaklah bersih daripada pura-pura. Bencilah kejahatan. Berpeganglah kepada kebaikan. Hendaklah kamu bersikap baik dan mengasihi sesama sendiri dengan kasih persaudaraan, serta saling menghormati dan mengutamakan; jangan biarkan kerajinanmu berkurangan; hendaklah semangat rohanimu tetap berkobar-kobar; sentiasa abdikan diri kepada Tuhan. Bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa. Berilah bantuan untuk memenuhi keperluan orang salih, dan berikan tempat menumpang. Pohonlah berkat bagi orang yang menganiaya kamu, dan jangan kutuk mereka. Bergembiralah dengan orang yang bergembira, dan menangislah dengan orang yang menangis.
