ROMA 10:8-13
ROMA 10:8-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Beginilah maksudnya, “Perkhabaran daripada Allah sangat dekat pada kamu, pada bibir kamu, dan di dalam hati kamu.” Itulah perkhabaran yang kami isytiharkan; perkhabaran bahawa orang harus percaya kepada Allah. Jika kamu mengaku di hadapan orang bahawa “Yesus itu Tuhan,” dan kamu sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan. Kerana kita sungguh-sungguh percaya, kita diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Kerana kita mengakui Yesus di hadapan orang, kita diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang percaya kepada Dia tidak akan dikecewakan.” Hal itu berlaku bagi semua orang, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Allah yang satu itu Tuhan semua orang. Dia melimpahkan berkat-Nya kepada semua orang yang meminta pertolongan-Nya. Di dalam Alkitab juga tertulis, “Setiap orang yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.”
ROMA 10:8-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtapi apakah kata itu? Adapun pŭrkataan itu dŭkat padamu, iya itu dalam mulotmu dan dalam hatimu pun, iya itu pŭrkataan iman yang kita mŭngajarkan. Bahwa jikalau angkau mŭngaku dŭngan mulotmu akan Tuhan Isa itu, dan pŭrchaya pula angkau dalam hatimu, bahwa Allah tŭlah mŭmbangkitkan dia deripada matinya, maka angkau kŭlak akan slamat. Kŭrna dŭngan hatilah manusia itu pŭrchaya akan bŭrulih kabŭnaran, dan dŭngan mulotlah iya mŭngaku akan bŭrulih slamat. Kŭrna kitab mŭngatakan, Maka barang siapa yang pŭrchaya akan dia, iya itu tiada akan malu. Kŭrna tiadalah pŭrbethaan diantara orang Yahudi dŭngan orang Grika, kŭrna suatu juga Tuhan yang diatas skalian, maka iyalah kaya bagie sagala orang yang bŭrsru kapadanya. Kŭrna barang siapa yang bŭrsru akan nama Tuhan, maka iya itu kŭlak akan slamat.
ROMA 10:8-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apakah yang dikatakan? “Firman itu begitu dekat denganmu, di mulutmu dan dalam hatimu (iaitu firman tentang iman yang kami isytiharkan): Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Yesus ialah Tuhan dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan; kerana dengan hatimu kamu beriman dan diperbenar, dan dengan mulutmu kamu mengaku lalu diselamatkan.” Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.” Kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani, kerana Tuhan yang sama berkuasa atas semuanya dan melimpahkan berkat ke atas semua yang menyeru kepada-Nya. Kerana “Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.”