WAHYU 22:1-21

WAHYU 22:1-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Malaikat itu juga menunjukkan sungai kepadaku; air sungai itu memberikan hidup. Sungai itu berkilauan seperti kristal dan mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba ke tengah-tengah jalan raya di kota itu. Pada kedua-dua tepi sungai itu terdapat sebatang pokok sumber kehidupan, yang berbuah dua belas kali setahun, iaitu sekali sebulan. Daunnya digunakan untuk menyembuhkan bangsa-bangsa. Di dalam kota itu tidak terdapat sesuatu pun yang kena kutuk Allah. Takhta Allah dan Anak Domba akan ada di dalam kota itu dan hamba-hamba-Nya akan menyembah Dia. Mereka akan melihat wajah-Nya, dan nama-Nya akan ditulis pada dahi mereka. Malam tiada lagi; lampu dan cahaya matahari pun tidak diperlukan, kerana Tuhan Allah sendiri akan menerangi mereka. Mereka akan memerintah sebagai raja selama-lamanya. Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, “Kata-kata ini benar dan dapat dipercayai. Tuhan Allah yang memberikan Roh-Nya kepada nabi-nabi, telah mengutus malaikat-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk menunjukkan apa yang mesti segera berlaku.” “Dengarlah!” kata Yesus. “Aku akan segera datang! Berbahagialah orang yang mentaati kata-kata nubuat di dalam kitab ini!” Aku, Yohanes sudah mendengar dan melihat segala perkara ini. Setelah aku mendengar dan melihatnya, aku bersujud di hadapan malaikat yang menunjukkan segala perkara itu kepadaku. Aku hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, “Janganlah sembah aku, kerana aku pun hamba seperti engkau dan seperti saudara-saudaramu para nabi itu, dan seperti semua orang yang mentaati kata-kata di dalam kitab ini. Sembahlah Allah!” Dia berkata lagi, “Janganlah rahsiakan kata-kata nubuat di dalam kitab ini, kerana sudah hampir masanya apabila semua perkara ini akan berlaku. Orang yang jahat akan terus berbuat jahat; orang yang mencemarkan diri akan terus mencemarkan diri; orang yang melakukan kehendak Allah mesti terus melakukannya, dan orang yang mengabdikan diri kepada Allah mesti terus mengabdikan diri.” “Dengarlah!” kata Yesus. “Aku akan segera datang! Aku akan membawa ganjaran untuk tiap-tiap orang menurut perbuatannya. Akulah yang pertama dan yang terakhir, yang awal dan yang penghujung; Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan.” Berbahagialah orang yang mencuci jubah mereka sehingga bersih. Mereka berhak makan buah pokok sumber kehidupan dan masuk ke dalam kota melalui pintu gerbang. Tetapi orang yang melakukan perbuatan cabul, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, orang yang lucah, pembunuh, orang yang menyembah berhala, dan orang yang berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan, tidak dibenarkan masuk ke dalam kota. “Aku, Yesus, telah mengutus malaikat-Ku supaya mengisytiharkan perkara-perkara ini kepada jemaah. Aku keturunan Daud; Aku bintang timur yang terang itu.” Roh Allah dan Pengantin Perempuan berkata, “Marilah!” Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, “Marilah!” Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang menginginkannya! Aku, Yohanes, dengan sungguh-sungguh memperingatkan setiap orang yang mendengar kata-kata nubuat kitab ini: Jika seseorang menambahkan apa sahaja pada nubuat ini, Allah juga akan menambahkan hukumannya dengan malapetaka yang digambarkan di dalam kitab ini. Jika seseorang mengurangkan kata-kata nubuat di dalam kitab ini, Allah juga akan mengambil balik hak orang itu untuk makan buah pokok sumber kehidupan dan haknya untuk tinggal di kota suci itu, seperti yang digambarkan di dalam kitab ini. Dia yang memberikan semua kesaksian ini berkata, “Betul, Aku akan segera datang!” Amin! Datanglah, ya Tuhan Yesus! Semoga Tuhan Yesus memberkati setiap orang.

WAHYU 22:1-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA diunjokkannyalah padaku sungie ayer hayat yang jŭrnih, jŭrnihnya spŭrti hablor, iya itu mŭngalir kluar deripada arash Allah, dan anak Domba itu. Maka ditŭngah tŭngah lorong nŭgri itu, dan sŭbrang mŭnyŭbrang sungie itu, ada pohon kayu hayat yang bŭrbuah duablas jŭnis buah, maka iya mŭngadakan buahnya pada tiap tiap bulan; maka daun daun pohon itu akan mŭnjadikan sŭmboh sagala bangsa. Maka tiadalah laanat lagi: dalamnya itu adalah arash Allah dan anak Domba itu; maka sagala hambanya pun akan bŭrbakti padanya. Maka marika itu akan mŭlihat mukanya; dan namanya pun adalah kŭlak didahinya. Maka malam pun tiadalah disana: maka dian pun tiadalah bŭrguna pada marika itu, atau trang matahari; kŭrna ditrangi akan dia ulih Tuhan Allah: maka marika itu kŭlak bŭrkrajaanlah slama lamanya. Lalu bŭrkatalah iya padaku, Sagala pŭrkataan inilah sŭtiawan dan bŭnar adanya: maka Allah Tuhan sagala nabi yang suchi itu mŭnyurohkan mŭliekatnya mŭnunjokkan kapada hamba hambanya sagala pŭrkara yang ta’dapat tiada akan jadi kŭlak dŭngan sŭgranya. Bahwa sŭsungguhnya, datanglah aku dŭngan sŭgranya: bŭrbagialah kiranya orang yang mŭmliharakan pŭrkataan nabuat nabuatan kitab ini. Maka aku Yahya tŭlah mŭlihat, dan mŭnŭngar sagala pŭrkara ini. Maka apabila aku mŭnŭngar dan mŭlihat, maka sujudlah aku mŭnyŭmbah dikaki mŭliekat yang mŭnunjokkan sagala pŭrkara ini padaku. Sŭtlah itu maka katanya padaku, Ingatlah angkau jangan buat: kŭrna aku pun sama hamba spŭrti angkau juga, dan saudara saudaramu nabi nabi itu, dan orang orang yang mŭmliharakan pŭrkataan kitab ini: Sŭmbahlah Allah. Maka bŭrkatalah pula iya padaku, Janganlah angkau mutriekan pŭrkataan nabuatan kitab ini: kŭrna kutikanya sudah hampir. Maka orang yang tiada bŭnar itu, biarlah iya tinggal juga tiada bŭnar: dan orang yang chŭmar, biarlah iya tinggal chŭmar juga, dan orang yang adil itu, biarlah iya tinggal adil juga; dan orang yang suchi itu, biarlah iya tinggal suchi juga. Bahwa sŭsungguhnya aku datang dŭngan sŭgranya, dan fahalaku bŭsŭrta dŭngan aku, iya itu akan mŭmbri kapada masing masing orang spŭrti kŭlak pŭrbuatannya. Bahwa aku Alif dan Ya, pŭrmulaan dan kasudahan, pŭrtama dan pŭnghabisan. Bŭrbahgialah kiranya sagala orang yang mŭlakukan hukum hukumannya, supaya iya bŭrpatutan mŭndapat pohon kayu hayat, dan bulih masok mŭlalui pintu gŭrbang kŭdalam nŭgri itu. Kŭrna diluarnya itu ada anjing, dan orang hubatan, dan orang yang bŭrzinah, dan pŭmbunoh, dan yang mŭnyŭmbah bŭrhala, dan barang siapa yang mŭngasihi dan mŭlakukan dusta. Adapun akulah Isa tŭlah mŭnyurohkan mŭliekatku mŭnyatakan padamu sagala pŭrkara ini dalam sidang sidang jŭmaah, bahwasanya aku inilah akar dan turon tŭmuron deripada Daud, dan bintang timor yang gilang gumilang itu. Adapun Roh dan pŭngantin pŭrampuan itu bŭrkata, Datanglah. Maka biarlah orang yang mŭnŭngar itupun bŭrkata, Datanglah. Maka biarlah orang yang dahaga itupun datang, dan barang siapa yang mahu, biarlah diambilnya ayer hayat dŭngan chuma chuma. Kŭrna aku mŭnyatakan kapada sagala orang yang mŭnŭngar pŭrkataan nabuatan kitab ini, maka jikalau barang siapa kŭlak mŭnambahi akan pŭrkara pŭrkara ini, nŭschaya ditambah Allah bagienya bala bala yang ada tŭrtulis dalam kitab ini: Dan jikalau barang siapa yang mŭngurangi deripada pŭrkataan kitab nabuatan ini, nŭschaya dihilangkan Allah bahgiannya deripada kitab hayat, dan deripada nŭgri yang suchi itu, dan deripada sagala pŭrkara yang tŭrtulis dalam kitab ini. Bahwa kata orang yang mŭnyaksikan akan sagala pŭrkara ini, Sŭsungguhnyalah aku datang dŭngan sŭgranya; Amin. Dŭmkianlah kŭlak datang Tuhan Isa. Maka biarlah kiranya nihmat Tuhan kami Isa Almasih bŭsŭrta dŭngan kamu skalian. Amin. TAMAT.

WAHYU 22:1-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dia menunjukkan kepadaku sebatang sungai air hidup, jernih seperti hablur, mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba di tengah-tengah kota itu. Di kiri kanan sungai itu terdapat pokok hayat, yang berbuah dua belas jenis setiap bulan; daun-daunnya menyembuhkan umat manusia. Segala yang terlaknat tiada lagi. Takhta Allah dan Anak Domba ada di dalam kota itu, dan hamba-hamba-Nya beribadat kepada-Nya. Mereka melihat wajah-Nya, dan nama-Nya tersurat pada dahi mereka. Malam tiada lagi, dan cahaya pelita serta cahaya matahari tidak diperlukan lagi. Kerana Tuhan Allah akan menerangi mereka dan sekaliannya bertakhta selama-lamanya. Katanya kepadaku, “Ini kata-kata yang dapat dipercayai dan benar. Tuhan, Allah segala roh nabi-nabi, telah menyuruh malaikat-malaikat-Nya menunjukkan kepada hamba-hamba-Nya apa yang akan terjadi dengan segera.” “Ingatlah, Aku akan datang dengan segera. Diberkatilah orang yang memeliharakan segala nubuat di dalam kitab ini.” Aku, Yohanes, telah mendengar dan melihat segala hal itu. Apabila aku mendengar dan melihatnya, aku sujud hendak menyembah malaikat yang menunjukkannya kepadaku. Tetapi dia berkata kepadaku, “Jangan buat begitu! Aku ini sesama hamba Allah sepertimu dan saudara-saudaramu, iaitu nabi-nabi dan sekalian yang memeliharakan kata-kata di dalam kitab ini. Hanya Allah yang harus kamu sembah.” Katanya lagi kepadaku, “Janganlah kamu materaikan nubuat di dalam kitab ini, kerana masanya sudah hampir tiba. Orang yang berbuat jahat, biarlah dia terus berbuat jahat. Orang yang cemar, biarlah dia terus cemar. Orang yang benar, biarlah dia terus benar. Orang yang suci, biarlah dia terus suci.” “Ingatlah, Aku akan datang dengan segera, dan ganjaran-Ku bersama-Ku, supaya setiap orang mendapat balasan setimpal dengan perbuatannya. Akulah Alfa dan Omega, Yang Pertama dan Yang Terakhir, Yang Di Awal dan Yang Di Akhir.” Diberkatilah sekalian yang menyucikan pakaiannya, kerana mereka berhak menghampiri pokok hayat dan masuk ke dalam kota itu melalui pintu gerbangnya. Di luar terdapat anjing, ahli sihir, orang yang cabul, pembunuh, penyembah berhala, dan semua yang menyukai dusta serta menuturkannya. “Aku, Yesus, telah menyuruh malaikat-Ku memperlihatkan segala hal ini kepadamu untuk semua jemaah. Akulah Tunas dan Zuriat Daud, dan bintang fajar yang bersinar.” Roh dan pengantin perempuan itu berkata, “Marilah.” Orang yang mendengar haruslah berkata, “Marilah.” Orang yang dahaga haruslah datang. Sesiapa yang suka boleh mengambil air hidup itu dengan percuma. Aku bersaksi kepada setiap orang yang mendengar nubuat di dalam kitab ini, bahawa jika sesiapa menambahkan apa-apa kepadanya, Allah akan menambahkan baginya segala wabak yang tersurat dalam kitab ini. Dan jika sesiapa menggugurkan sepatah kata pun daripada nubuat ini, Allah akan menggugurkan bahagiannya daripada pokok hayat dan kota suci seperti yang tersurat dalam kitab ini. Yang bersaksi atas segala perkara ini berfirman, “Ya, Aku akan datang segera.” Sesungguhnya, marilah Engkau, ya Tuhan Yesus. Semoga kasih kurnia Tuhan Yesus menyertai sekalian orang salih. Amin.