MAZMUR 73:21-28
MAZMUR 73:21-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Ketika aku sakit hati, dan perasaanku dilukai, aku bodoh seperti binatang; aku tidak faham akan kehendak-Mu. Namun aku tetap di samping-Mu, dan Engkau memegang tangan kananku. Engkau membimbing aku dengan nasihat, dan kelak Engkau menyambut aku dengan kehormatan. Siapa lagi yang aku miliki di syurga kecuali Engkau? Tiada lagi yang aku ingini di bumi ini selain Engkau. Sekalipun jiwa ragaku menjadi lemah, Engkaulah kekuatanku, ya Allah; hanya Engkau yang aku perlukan selama-lamanya. Orang yang meninggalkan Engkau pasti musnah, Engkau akan membinasakan mereka yang tidak setia kepada-Mu. Tetapi bagiku, sungguh baik berada di samping Allah. Aku mendapat perlindungan daripada TUHAN Raja, dan aku akan memberitakan segala perbuatan-Nya.
MAZMUR 73:21-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu, hatiku pilu dan fikiranku risau, Aku begitu bodoh dan jahil; aku seperti seekor binatang di hadirat-Mu. Namun demikian, aku sentiasa bersama-Mu; Engkau memegang tangan kananku. Engkau akan memandu aku dengan bimbingan-Mu, dan kemudian menerimaku ke dalam kemuliaan. Siapa yang ada untukku di syurga melainkan Engkau? Dan tiada siapa di bumi yang kuingini selain Engkau. Tubuh dan hatiku layu, tetapi Allah kekuatan hatiku dan untukku selama-lamanya. Kerana sesungguhnya, mereka yang jauh daripada-Mu akan binasa; Engkau telah memusnahkan kesemua mereka yang meninggalkan-Mu untuk melacurkan diri. Tetapi sungguh baik bagiku mendekati Allah. Aku telah menjadikan Tuhan ALLAH tempat aku bernaung; supaya aku dapat mengisytiharkan semua hasil kerja-Mu.