MAZMUR 73:1-28
MAZMUR 73:1-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Asaf. Allah sungguh baik kepada umat Israel, kepada mereka yang berhati murni. Tetapi hatiku bimbang, imanku hampir hilang, kerana aku cemburu terhadap orang sombong, ketika aku melihat orang jahat menjadi makmur. Mereka tidak sakit; mereka kuat dan sihat. Mereka tidak menanggung penderitaan, tidak ditimpa kesusahan seperti orang lain. Oleh itu mereka bersikap sombong, dan selalu bertindak dengan ganas; hati mereka penuh dengan kejahatan, dan fikiran mereka sibuk dengan rancangan kejam. Mereka mentertawakan orang lain dan mengatakan yang jahat, mereka sombong dan merancang untuk menindas orang. Mereka mengeji Allah yang di syurga, dan bercakap dengan sombong kepada manusia di bumi, sehingga umat Allah pun mendengarkan mereka dan yakin akan segala yang diucapkan mereka. Mereka berkata, “Pasti Allah tidak tahu akan apa yang berlaku; Yang Maha Tinggi tidak akan mengetahui perbuatan kita.” Begitulah keadaan orang jahat; hidup mereka senang dan harta mereka terus bertambah. Sia-sia sahaja aku menjaga hatiku supaya suci, tiada gunanya aku menjauhi dosa. Ya Allah, sepanjang hari aku menderita; setiap pagi aku diseksa. Sekiranya aku berkata begitu, aku mengkhianati umat-Mu. Aku cuba memahami hal itu, tetapi terlalu sukar bagiku, sehingga aku masuk ke dalam Rumah-Mu, barulah aku memahami kesudahan semua orang jahat itu. Engkau pasti meletakkan mereka di tempat-tempat yang licin dan menyebabkan mereka jatuh dan binasa. Mereka dibinasakan dengan serta-merta; sungguh dahsyat kesudahan mereka. Mereka umpama mimpi yang menghilang pada waktu pagi, ketika Engkau bangkit, ya Tuhan, mereka pun lenyap. Ketika aku sakit hati, dan perasaanku dilukai, aku bodoh seperti binatang; aku tidak faham akan kehendak-Mu. Namun aku tetap di samping-Mu, dan Engkau memegang tangan kananku. Engkau membimbing aku dengan nasihat, dan kelak Engkau menyambut aku dengan kehormatan. Siapa lagi yang aku miliki di syurga kecuali Engkau? Tiada lagi yang aku ingini di bumi ini selain Engkau. Sekalipun jiwa ragaku menjadi lemah, Engkaulah kekuatanku, ya Allah; hanya Engkau yang aku perlukan selama-lamanya. Orang yang meninggalkan Engkau pasti musnah, Engkau akan membinasakan mereka yang tidak setia kepada-Mu. Tetapi bagiku, sungguh baik berada di samping Allah. Aku mendapat perlindungan daripada TUHAN Raja, dan aku akan memberitakan segala perbuatan-Nya.
MAZMUR 73:1-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesungguhnya, Allah baik kepada Israel, kepada mereka yang murni hati. Tetapi aku, kakiku hampir tersandung; langkahku hampir tergelincir. Kerana aku iri hati kepada mereka yang bermegah apabila kulihat kemewahan orang zalim. Mereka tidak sakit sebelum mati; kekuatan mereka tetap teguh. Mereka tidak susah seperti orang lain; mereka tidak dirundung bencana seperti orang lain. Oleh itu, mereka berkalungkan keangkuhan; keganasan menjadi pakaian mereka. Hati mereka yang kejam penuh kejahatan; fikiran mereka yang durjana melampaui segala batas. Mereka mencemuh orang dan merancang kejahatan serta penindasan; mereka bercakap sombong. Mulut mereka lancang menentang syurga, lidah mereka bercakap bongkak kepada seisi bumi. Maka orang mereka pulang ke sini dan air secawan penuh habis dihirup mereka. Lalu mereka berkata, “Bagaimana Allah tahu? Adakah Yang Maha Tinggi mempunyai pengetahuan?” Ketahuilah, mereka ini orang mungkar — yang sentiasa senang-lenang, mereka semakin kaya. Sesungguhnya, aku telah menyucikan hatiku dengan sia-sia; dan membasuh tanganku dengan hati yang bersih. Kerana sepanjang hari aku disakiti; dan dihukum setiap pagi. Kalaulah aku telah berkata, “Aku akan bercakap begini,” ketahuilah, ertinya aku tidak jujur kepada keturunan anak-anak-Mu. Apabila aku memikirkan bagaimana hendak memahami ini, terlalu pedih bagiku hingga aku masuk ke tempat suci Allah; barulah aku mengerti tujuan mereka. Sesungguhnya, Engkau membawa mereka ke tempat-tempat licin; Engkau menghumbankan mereka ke dalam kemusnahan. Oh, betapa mereka ditimpa malapetaka, seperti dalam sekelip mata, mereka ketakutan! Seperti mimpi apabila seseorang terjaga, demikianlah, ya Tuhan, apabila Engkau terjaga, Engkau akan meluat akan bentuk mereka. Oleh itu, hatiku pilu dan fikiranku risau, Aku begitu bodoh dan jahil; aku seperti seekor binatang di hadirat-Mu. Namun demikian, aku sentiasa bersama-Mu; Engkau memegang tangan kananku. Engkau akan memandu aku dengan bimbingan-Mu, dan kemudian menerimaku ke dalam kemuliaan. Siapa yang ada untukku di syurga melainkan Engkau? Dan tiada siapa di bumi yang kuingini selain Engkau. Tubuh dan hatiku layu, tetapi Allah kekuatan hatiku dan untukku selama-lamanya. Kerana sesungguhnya, mereka yang jauh daripada-Mu akan binasa; Engkau telah memusnahkan kesemua mereka yang meninggalkan-Mu untuk melacurkan diri. Tetapi sungguh baik bagiku mendekati Allah. Aku telah menjadikan Tuhan ALLAH tempat aku bernaung; supaya aku dapat mengisytiharkan semua hasil kerja-Mu.