MAZMUR 51:1-7
MAZMUR 51:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Mazmur Raja Daud setelah baginda ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba. Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu; hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar. Basuhlah aku daripada segala kejahatanku, dan bersihkanlah aku daripada dosaku. Aku mengakui kesalahanku; aku sentiasa sedar akan dosaku. Aku telah berdosa terhadap-Mu - terhadap-Mu sahaja, dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat. Maka patutlah Engkau menghakimi aku; adillah Engkau ketika menghukum aku. Aku jahat sejak aku dilahirkan; aku berdosa sejak aku dalam kandungan.
MAZMUR 51:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kasihanilah aku, ya Allah, demi kasih setia-Mu yang kekal; demi belas kasih-Mu yang melimpah hapuskanlah dosaku. Bersihkan aku daripada kejahatanku, sucikan aku daripada dosaku. Kerana aku mengakui kesalahanku, dan sentiasa sedar akan dosaku. Kepada-Mu, hanya kepada-Mu, aku berdosa dan melakukan kejahatan di pandangan-Mu, maka Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan penghakiman-Mu tidak bercela. Aku telah dilahirkan dalam kejahatan, dan dalam dosa ibuku mengandungkan aku. Engkau menghendaki kebenaran dalam diri; dan di lubuk jiwaku Engkau akan mengajarku mengenal kebijaksanaan. Bersihkan aku dengan hisop, supaya aku suci; basuhlah aku sehingga lebih putih daripada salji.