MAZMUR 30:1-12
MAZMUR 30:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Daud. Lagu untuk pentahbisan Rumah TUHAN. Aku memuji Engkau, ya TUHAN, kerana Engkau telah menyelamatkan aku dan tidak membiarkan musuhku mentertawakan aku. Aku berseru kepada-Mu meminta pertolongan, ya TUHAN, Allahku, dan Engkau menyembuhkan aku. Engkau menghalang aku turun ke alam maut, dan menyelamatkan aku dari dunia orang mati. Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN, hai umat-Nya yang setia! Ingatlah perkara yang telah dilakukan Yang Maha Suci dan bersyukurlah kepada-Nya! Kemurkaan-Nya hanya sekejap sahaja, tetapi kebaikan-Nya berlangsung sepanjang umur. Air mata mungkin mengalir pada waktu malam, tetapi fajar membawa kegembiraan. Ketika aku berasa selamat, aku berkata, “Aku tidak akan dikalahkan.” Engkau sungguh baik kepadaku, ya TUHAN; seperti gunung yang kuat Engkau melindungi aku. Tetapi apabila Engkau menyembunyikan diri daripadaku, aku berasa takut. Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; aku memohon pertolongan, “Faedah apakah yang Kauperoleh daripada kematianku? Keuntungan apakah yang Kaudapat jika aku masuk ke lubang kubur? Adakah orang mati memuji-Mu? Dapatkah mereka memberitakan kesetiaan-Mu? Dengarlah aku, ya TUHAN, dan kasihanilah aku. TUHAN tolonglah aku!” Engkau telah mengubah kedukaanku menjadi tarian gembira; Engkau telah mengambil kesedihanku dan meliputi aku dengan kegembiraan.
MAZMUR 30:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, kerana Engkau telah menyelamatkan aku dan tidak membiarkan seteruku bergembira menumpaskan aku. Ya TUHAN, ya Allahku, aku telah berseru kepada-Mu lalu Engkau menyembuhkan aku. Ya TUHAN, Engkau telah membawa nyawaku keluar dari kubur; Engkau telah melanjutkan usiaku supaya aku tidak masuk ke lubang maut. Nyanyikanlah puji-pujian kepada TUHAN, wahai umat-Nya yang warak; dan bersyukurlah mengingati nama-Nya yang suci. Kerana kemurkaan-Nya cuma sebentar, keredaan-Nya sepanjang kehidupan kekal; tangisan mungkin berlangsung semalaman, tetapi kegembiraan muncul sewaktu pagi. Ketika aku berjaya aku berkata, “Aku tidak akan goyah.” TUHAN, dengan keredaan-Mu, Engkau mengukuhkan gunungku; dahulu ketika Engkau menyembunyikan wajah-Mu, aku berasa bimbang. Aku telah berseru kepada-Mu, ya TUHAN; dan kepada-Mu aku telah merayu: “Apakah gunanya jika darahku tertumpah, dan aku masuk ke kubur? Adakah debu akan memuji-Mu dan mengisytiharkan kesetiaan-Mu? Dengarlah, ya TUHAN, dan kasihanilah aku; Ya TUHAN, tolonglah aku.” Engkau telah mengubah kesedihanku menjadi tarian riang; Engkau telah melucutkan kedukaanku dan meliputiku dengan keriaan, supaya aku menyanyikan puji-pujian untuk-Mu sepanjang masa. Ya TUHAN, ya Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.