MAZMUR 147:8-17
MAZMUR 147:8-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Dia membentangkan awan di langit; Dia menurunkan hujan ke bumi, dan menumbuhkan rumput di bukit. Dia memberikan makanan kepada binatang, dan kepada anak burung gagak yang menciap-ciap. Dia tidak suka akan kuda yang kuat, ataupun askar yang berani; tetapi Dia suka akan orang yang menghormati-Nya, orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal. Pujilah TUHAN, hai Yerusalem! Pujilah Allahmu, hai Sion! Dia menguatkan pintu gerbangmu; Dia memberkati umatmu. Dia menjaga keamanan negerimu dan memuaskan engkau dengan gandum yang terbaik. Dia memberikan perintah kepada bumi, dan firman-Nya dilaksanakan dengan segera. Dia meliputi tanah dengan salji seperti menghamparkan selimut, Dia menghamburkan embun beku seperti menghamburkan debu. Dia menurunkan hujan batu seperti kerikil; tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan itu.
MAZMUR 147:8-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia melitupi langit dengan awan; Dia menyediakan hujan untuk bumi; Dia menumbuhkan rumput di atas gunung. Dia memberi makanan kepada haiwan dan kepada anak-anak gagak yang menciap. Dia tidak menikmati kekuatan kuda, Dia tidak berkenan akan manusia kerana kegagahannya; TUHAN meredai mereka yang takut kepada-Nya, mereka yang berharapkan kasih setia-Nya. Sanjunglah TUHAN, wahai Yerusalem; pujilah Allahmu, wahai Sion, kerana Dia telah mengukuhkan palang-palang pintu pagarmu; Dia telah memberkati anak-anak di dalammu. Dia menjadikan sempadan-sempadanmu aman dan memenuhimu dengan gandum terbaik. Dia menghantarkan perintah-Nya ke bumi; firman-Nya sampai dalam seketika. Dia memberi salji seperti bulu domba; Dia menaburkan air beku seperti abu. Dia melemparkan hujan batu-Nya. Siapa yang dapat menghadapi kedinginan-Nya?