MAZMUR 139:13-24
MAZMUR 139:13-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Engkau menciptakan segala bahagian badanku; Engkau membentuk aku di dalam rahim ibuku. Aku memuji Engkau kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa. Segala perbuatan-Mu ajaib dan mengagumkan. Aku benar-benar menyedarinya. Ketika tulang-tulangku dijadikan, dan dirangkaikan dengan teliti di dalam rahim ibuku, ketika aku tumbuh di sana secara rahsia, Engkau tahu bahawa aku di sana. Engkau melihat aku semasa aku dalam kandungan ibuku. Jangka masa hidupku sudah ditetapkan dan dicatat di dalam kitab-Mu, bahkan sebelum satu hari pun bermula. Ya Allah, betapa sukarnya fikiran-Mu bagiku, dan betapa banyak jumlahnya. Jika dihitung, bilangannya lebih banyak daripada butir pasir. Ketika aku bangun, aku masih bersama-sama-Mu. Ya Allah, bunuhlah orang jahat, dan jauhkanlah pengganas daripadaku! Mereka memfitnah Engkau; mereka menjahatkan nama-Mu. Ya TUHAN, aku benci akan orang yang membenci Engkau! Aku berasa jijik terhadap orang yang melawan Engkau! Aku membenci mereka dengan sepenuh hati; aku menganggap mereka musuhku. Selidikilah aku, ya Allah, dan selamilah hatiku; ujilah aku dan ketahuilah fikiranku. Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku, dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi.
MAZMUR 139:13-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kerana Engkau telah membentuk bahagian-bahagian dalamku; Engkau melindungiku di dalam rahim ibuku. Aku akan memuji-Mu, kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan; sungguh menakjubkan ciptaan-Mu, dan ini amat diketahui oleh jiwaku. Bentukku tidak tersembunyi daripada-Mu ketika aku dicipta dalam rahsia dan diukir dengan mahir di bahagian bumi yang paling bawah. Mata-Mu telah melihat zatku yang masih belum dibentuk. Dan dalam kitab-Mu segalanya tersurat hari-hari yang ditentukan untukku. Betapa bernilai fikiran-Mu juga bagiku, ya Allah! Betapa besar jumlahnya! Jika kuhitung, jumlahnya lebih banyak daripada pasir. Apabila aku terjaga, aku masih bersama-Mu. Semoga Engkau musnahkan orang zalim, ya Allah! Maka pergilah daripadaku, hai orang yang suka menumpahkan darah! Kerana mereka bercakap menentang-Mu dengan durjana; musuh-Mu menyebut nama-Mu sewenang-wenang. Tidakkah aku membenci mereka yang membenci-Mu, ya TUHAN, dan membenci mereka yang bangkit menentang-Mu? Aku membenci mereka dengan sepenuh kebencian; aku menganggap mereka musuhku. Telitilah aku, ya Allah, dan kenallah hatiku; dugalah aku dan ketahuilah kebimbanganku. Lihatlah jika ada kecenderungan durjana di dalamku, dan pimpinlah aku ke jalan yang kekal selama-lamanya.