MAZMUR 119:97-104
MAZMUR 119:97-104 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari. Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku. Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu. Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu. Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu. Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku. Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu! Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk.
MAZMUR 119:97-104 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oh, betapa kucintai hukum-Mu! Aku merenungnya sepanjang hari. Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku, kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku. Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku, kerana peraturan-Mu menjadi renunganku. Aku mengerti lebih daripada penatuaku, kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan supaya aku dapat mematuhi firman-Mu. Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu, kerana Engkau sendiri telah mengajarku. Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku! Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian; oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu.