MAZMUR 119:1-25 - Compare All Versions

MAZMUR 119:1-25 BM (Alkitab Berita Baik)

Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela, dan hidup menurut Taurat TUHAN. Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya, dan mentaati Dia dengan sepenuh hati. Mereka tidak melakukan kejahatan, tetapi hidup menurut kehendak TUHAN. Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN, dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia. Semoga aku setia mematuhi peraturan-Mu. Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu, aku tidak akan dipermalukan. Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil, aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni. Aku akan taat kepada hukum-Mu; janganlah sekali-kali tinggalkan aku! Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci? Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu. Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau; jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu. Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku, supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. Aku memuji Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku kehendak-Mu. Aku akan menceritakan segala hukum yang telah Engkau berikan. Aku gemar menurut perintah-Mu, lebih daripada memiliki segala kekayaan. Aku akan mengkaji peraturan-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu. Aku gemar akan hukum-Mu; aku tidak akan melupakan perintah-Mu. Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu. Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu. Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku. Hatiku sangat rindu untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu. Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu. Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu. Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu. Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku. Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu.

MAZMUR 119:1-25 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Diberkatilah orang yang tidak tercela jalannya, yang melangkah menurut hukum TUHAN. Diberkatilah mereka yang mematuhi peraturan-Nya, yang mencari-Nya dengan sepenuh hati. Mereka juga tidak melakukan dosa; mereka melangkah menurut jalan-Nya. Engkau telah memerintahkan kami supaya mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan bersungguh-sungguh. Oh, kalaulah cara-caraku ditujukan ke arah mematuhi ketetapan-Mu! Maka tidaklah aku malu apabila aku meneliti segala perintah-Mu. Aku akan memuji-Mu dengan tulus hati apabila kupelajari hukum-Mu yang benar. Aku akan mematuhi ketetapan-Mu; janganlah tinggalkan aku selama-lamanya. Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya? Dengan berhati-hati menurut firman-Mu. Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu; janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. Terpujilah Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku ketetapan-Mu. Dengan bibirku telah kuisytiharkan segala hukum yang Kaufirmankan. Aku telah bergembira dengan cara peraturan-Mu seperti dengan segala kekayaan. Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu dan memikirkan cara-cara-Mu. Aku akan menikmati ketetapan-Mu; aku tidak akan melupakan firman-Mu. Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu. Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu. Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku. Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu. Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu. Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu. Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan. Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu.