MAZMUR 116:1-9
MAZMUR 116:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku mengasihi TUHAN, kerana Dia mendengar seruanku; Dia mendengar permintaanku. Dia mendengar aku setiap kali aku berseru kepada-Nya. Maut mengepung aku, dan kengerian kubur meliputi aku; aku sangat takut dan cemas. Lalu aku berseru kepada TUHAN, “Aku memohon, ya TUHAN, selamatkanlah aku.” TUHAN itu pengasih dan adil; Allah kita penuh belas kasihan. TUHAN melindungi orang yang tidak berdaya; ketika aku menghadapi bahaya, Dia menyelamatkan aku. Aku mesti tenang, kerana TUHAN baik kepadaku. TUHAN telah menyelamatkan aku daripada maut; Dia menghentikan air mataku dan tidak membiarkan aku dikalahkan. Maka aku hidup di hadirat TUHAN, di dunia orang yang hidup.
MAZMUR 116:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku kasih akan TUHAN, kerana Dia telah mendengar suaraku; dan permohonanku. Kerana Dia telah menundukkan telinga-Nya ke arahku, maka aku akan menyeru-Nya seumur hidupku. Azab maut telah mengelilingiku, dan seksa kubur telah mencengkamku; aku menanggung kesusahan dan kedukaan. Lalu aku menyeru nama TUHAN: “Ya TUHAN, aku merayu kepada-Mu, selamatkanlah jiwaku!” TUHAN penuh kasih kurnia serta benar; ya, Allah kita penuh belas kasih. TUHAN memelihara orang yang tulus; ketika aku ditindas, Dia menyelamatkan aku. Bertenanglah kembali, wahai jiwaku, kerana TUHAN baik kepadamu. Engkau telah melepaskan jiwaku daripada maut, mataku daripada air mata, dan kakiku daripada tergelincir, aku akan melangkah di hadapan TUHAN di alam orang yang hidup.