MAZMUR 103:13-22
MAZMUR 103:13-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Seperti seorang bapa mengasihani anak-anaknya, begitulah TUHAN mengasihani orang yang menghormati-Nya. Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ini debu belaka. Manusia bagaikan rumput, yang tumbuh dan mengembang seperti bunga di padang. Apabila ditiup angin, bunga pun hilang, tiada orang melihatnya lagi. Tetapi TUHAN tetap mengasihi orang yang menghormati Dia, dan kebaikan-Nya berlangsung selama-lamanya, bagi mereka yang setia kepada perjanjian-Nya, dan mentaati perintah-Nya. TUHAN membina takhta-Nya di syurga; Dia raja yang menguasai semuanya. Pujilah TUHAN, hai malaikat-malaikat yang kuat dan perkasa, yang mendengar dan melakukan perintah-Nya! Pujilah TUHAN, hai semua tentera syurga, hai kamu yang melakukan kehendak-Nya! Pujilah TUHAN, hai semua ciptaan di seluruh tempat Dia memerintah. Pujilah TUHAN, hai jiwaku!
MAZMUR 103:13-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sebagaimana bapa mengasihani anak-anak, demikianlah TUHAN mengasihani orang yang takut kepada-Nya; kerana Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ialah debu. Hidup manusia seperti rumput, seperti bunga di padang, begitulah dia berkembang; angin meniupnya, maka tiadalah dia lagi, dan tempatnya dahulu tidak mengingatinya. Tetapi kasih TUHAN dari selama-lamanya sampai selama-lamanya bagi mereka yang takut kepada-Nya, dan perbenaran-Nya sampai anak cucu, kepada mereka yang mematuhi perjanjian-Nya dan kepada mereka yang mengingati ajaran-ajaran-Nya. TUHAN telah menempatkan takhta-Nya di syurga, dan kerajaan-Nya memerintah semua yang ada. Pujilah TUHAN, hai kamu para malaikat-Nya yang amat gagah perkasa, yang menjalankan firman-Nya dan sentiasa mendengar suara firman-Nya. Pujilah TUHAN, hai semua angkatan syurga-Nya, kamu para hamba-Nya yang melakukan apa yang diredai-Nya. Pujilah TUHAN, segala hasil kerja-Nya di semua tempat yang dikuasai-Nya. Pujilah TUHAN, wahai jiwaku.