AMSAL 17:12-22
AMSAL 17:12-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Lebih baik berjumpa dengan beruang betina yang kehilangan anaknya, daripada berjumpa dengan orang bodoh yang sibuk dengan kebodohannya. Orang yang membalas kebaikan dengan kejahatan, tidak dapat membanteras kejahatan dari rumahnya. Permulaan pertengkaran bagaikan retak pada empangan; cegahlah pertengkaran sebelum bermula. TUHAN membenci perbuatan melepaskan orang jahat dan perbuatan menyalahkan orang yang tidak bersalah. Sia-sia sahaja orang bodoh menghabiskan wang mencari hikmat, kerana dia tidak berakal. Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan. Hanya orang yang tidak berakal mahu menanggung hutang orang lain. Orang yang suka akan dosa suka bertengkar. Orang yang selalu bercakap besar mencari kesusahan. Orang yang menipu tidak akan bahagia; orang yang bermulut jahat mendapat celaka. Anak yang melakukan perbuatan bodoh menyusahkan dan menyedihkan hati ibu bapanya. Hati yang gembira menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat.
AMSAL 17:12-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lebih baik bertemu dengan beruang yang kehilangan anak, daripada bertemu dengan orang yang betul bendul dengan kebodohannya. Bagi sesiapa yang membalas kebaikan dengan kejahatan, kejahatan tidak akan meninggalkan rumahnya. Permulaan pertengkaran adalah seperti membuka aliran air, sebab itu berhentilah sebelum perbalahan meledak. Membebaskan orang yang mungkar dan menyalahkan orang warak, kedua-duanya adalah kekejian bagi TUHAN. Apa gunanya wang di tangan orang bodoh, kerana dia tidak berniat untuk mendapat hikmah? Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu, dan seorang saudara lahir untuk masa menghadapi kesukaran. Orang yang tidak berakal budi membuat perjanjian menaja jamin, dan menjadi penjamin bagi jirannya. Orang yang menyukai pelanggaran suka juga kepada pertengkaran, dan orang yang meninggikan pintunya menempah kehancuran. Orang yang bengkok hatinya tidak akan mendapat kebajikan, dan orang yang lidahnya berdolak-dalik akan jatuh ke dalam bencana. Sesiapa yang mendapat anak yang bebal, mendapat duka, dan ayah kepada si tolol tidak akan bersukacita. Hati yang gembira adalah ubat yang baik, tetapi semangat yang patah mengeringkan tulang.