AMSAL 15:1-4,23-28
AMSAL 15:1-4 Alkitab Berita Baik (BM)
Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah. Kata-kata orang bijak membuat pengetahuan menarik hati, tetapi kata-kata orang bodoh hanya kebodohan. TUHAN nampak apa yang berlaku di segala tempat; Dia memperhatikan kita, sama ada kita berbuat baik atau jahat. Kata-kata yang baik membangkitkan semangat, tetapi kata-kata yang kesat mematahkan semangat.
AMSAL 15:23-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya mendatangkan kegembiraan. Orang bijak mengambil jalan mendaki yang menuju kehidupan, bukan jalan menurun yang menuju maut. TUHAN akan merobohkan rumah orang sombong, tetapi tanah milik seorang balu dilindungi-Nya. TUHAN membenci fikiran yang keji, tetapi berkenan kepada kata-kata yang baik. Orang yang mencari keuntungan dengan cara haram, menghancurkan keluarga mereka. Orang yang tidak makan suap akan berumur panjang. Orang baik berfikir dahulu sebelum menjawab. Orang jahat menjawab tanpa berfikir sehingga mendatangkan kesusahan.
AMSAL 15:1-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jawapan yang lemah lembut meredakan murka, tetapi perkataan yang tajam membangkitkan amarah. Lidah orang arif menjadikan pengetahuan menarik, tetapi mulut orang bodoh meluahkan kebodohan. TUHAN melihat segala-segalanya di mana-mana sahaja, memperhatikan yang jahat dan yang baik. Lidah yang menenangkan ialah pokok hayat, tetapi lidah yang memutarbelitkan mematahkan semangat.
Amsal 15:23-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Seseorang bergembira kerana jawapan yang diberikannya, dan alangkah baiknya kata-kata yang diucap tepat pada waktunya! Jalan kehidupan orang bijaksana menuju ke atas, supaya dia menjauhi alam barzakh di bawah. TUHAN membongkar rumah orang yang sombong, tetapi Dia mempertahankan batas tanah seorang balu. Fikiran orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi perkataan yang menyenangkan suci bagi-Nya. Orang yang tamak akan laba haram menyusahkan rumah tangganya sendiri, tetapi orang yang membenci rasuah akan hidup. Hati orang benar mempertimbangkan jawapannya, tetapi mulut orang durjana meluahkan hal-hal yang jahat.



