AMSAL 1:1-9 - Compare All Versions
AMSAL 1:1-9 BM (Alkitab Berita Baik)
Amsal-amsal Raja Salomo raja Israel, iaitu putera Raja Daud. Amsal yang berikut akan menolong kamu mengenal hikmat dan nasihat yang baik, serta memahami ungkapan yang dalam maknanya. Amsal ini mengajar kamu hidup dengan bijaksana, jujur, adil, dan tidak berat sebelah. Amsal ini dapat mengajar orang yang tidak berpengalaman supaya berfikiran tajam, dan mengajar orang muda menjadi pandai dan bijaksana. Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar. Dengan demikian mereka dapat memahami makna yang tersirat dalam amsal, kata-kata, dan soalan yang dikemukakan oleh orang bijaksana. Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Orang bodoh tidak tahu menghargai hikmat dan tidak mahu belajar. Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu. Ajaran mereka akan menambah budi pekertimu seperti hiasan kepala dan kalung mempercantik rupamu.
AMSAL 1:1-9 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Inilah amsal Salomo anak Daud, raja Israel: untuk mengetahui hikmah dan didikan, untuk memahami kata yang dalam ertinya, untuk menerima didikan tentang budi pekerti, tentang apa yang benar, adil, dan lurus; untuk memberikan kearifan kepada orang yang betul bendul, serta pengetahuan dan budi bicara kepada kalangan muda. Orang bijaksana mendengar untuk menambah pengertiannya, dan orang yang arif memperoleh petunjuk untuk memahami pepatah serta petua, kata-kata orang bijaksana dan teka-teki mereka. Takut kepada TUHAN adalah permulaan pengetahuan; orang bodoh meremehkan hikmah dan didikan. Hai anakku, dengarlah didikan ayahmu, dan jangan lalai ajaran ibumu; kerana segalanya hiasan indah kepalamu, dan kalung bagi lehermu.