AMSAL 1:1-33

AMSAL 1:1-33 Alkitab Berita Baik (BM)

Amsal-amsal Raja Salomo raja Israel, iaitu putera Raja Daud. Amsal yang berikut akan menolong kamu mengenal hikmat dan nasihat yang baik, serta memahami ungkapan yang dalam maknanya. Amsal ini mengajar kamu hidup dengan bijaksana, jujur, adil, dan tidak berat sebelah. Amsal ini dapat mengajar orang yang tidak berpengalaman supaya berfikiran tajam, dan mengajar orang muda menjadi pandai dan bijaksana. Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar. Dengan demikian mereka dapat memahami makna yang tersirat dalam amsal, kata-kata, dan soalan yang dikemukakan oleh orang bijaksana. Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Orang bodoh tidak tahu menghargai hikmat dan tidak mahu belajar. Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu. Ajaran mereka akan menambah budi pekertimu seperti hiasan kepala dan kalung mempercantik rupamu. Anakku, jika kamu digoda oleh orang berdosa, jangan ikut pujukan mereka. Seandainya mereka berkata, “Marilah kita mencari orang dan membunuh mereka. Marilah kita menyerang orang yang tidak bersalah sekadar untuk bersuka-suka! Sekarang mereka hidup dan sihat, tetapi mereka akan mati apabila kita sudah mengerjakan mereka. Kita akan mendapat dan mengambil segala jenis kekayaan mereka, lalu memenuhi rumah kita dengan barang rampasan! Marilah ikut kami, kita akan berkongsi hasil curian kita!” Anakku, jangan ikut orang yang demikian. Jauhkan dirimu daripada mereka. Mereka tidak sabar lagi untuk melakukan kejahatan. Mereka ingin cepat-cepat membunuh orang. Tiada gunanya memasang jerat di depan mata burung yang hendak ditangkap, tetapi orang jahat seperti itu memasang perangkap bagi diri mereka - perangkap yang akan membinasakan mereka. Orang yang mencari nafkah dengan keganasan akan membayarnya dengan nyawanya sendiri. Dengarlah! Hikmat sedang berseru di jalan raya dan di pasar, memanggil orang dengan suara yang lantang di pintu gerbang dan di mana-mana sahaja orang berkumpul: “Hai orang bodoh! Berapa lama lagi kamu hendak menjadi bodoh? Berapa lama lagi kamu akan mengolok-olokkan pengetahuan? Bilakah kamu mahu belajar? Dengarlah apabila aku menegur ajar kamu. Aku akan menasihatkan kamu, dan membahagikan pengetahuanku kepada kamu. Aku memanggil dan menjemput kamu datang tetapi kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mempedulikan aku. Kamu mengabaikan semua nasihatku dan tidak mahu menerima tegur ajarku. Oleh itu, apabila kamu susah kelak, aku akan mentertawakan kamu. Aku akan mengejek kamu apabila kamu ditimpa kengerian. Kengerian itu akan datang seperti angin ribut yang membawa bencana, dan kamu akan kesakitan dan menderita. Pada waktu itu kamu akan memanggil aku, tetapi aku tidak akan menjawab. Kamu akan mencari aku di merata-rata tempat, tetapi tidak akan menjumpai aku. Kamu membenci pengetahuan dan tidak mahu taat kepada TUHAN. Kamu tidak pernah mahu menerima nasihatku atau mempedulikan tegur ajarku. Oleh itu, kamu akan menerima nasib yang setimpal dengan kelakuan kamu, dan kamu akan merasai akibat perbuatan kamu. Orang yang kurang pengalaman, mati kerana menolak hikmat. Orang bodoh binasa kerana mengabaikan hikmat. Tetapi sesiapa yang mendengarkan aku akan selamat. Dia hidup dengan aman dan tidak perlu takut.”

AMSAL 1:1-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah amsal Salomo anak Daud, raja Israel: untuk mengetahui hikmah dan didikan, untuk memahami kata yang dalam ertinya, untuk menerima didikan tentang budi pekerti, tentang apa yang benar, adil, dan lurus; untuk memberikan kearifan kepada orang yang betul bendul, serta pengetahuan dan budi bicara kepada kalangan muda. Orang bijaksana mendengar untuk menambah pengertiannya, dan orang yang arif memperoleh petunjuk untuk memahami pepatah serta petua, kata-kata orang bijaksana dan teka-teki mereka. Takut kepada TUHAN adalah permulaan pengetahuan; orang bodoh meremehkan hikmah dan didikan. Hai anakku, dengarlah didikan ayahmu, dan jangan lalai ajaran ibumu; kerana segalanya hiasan indah kepalamu, dan kalung bagi lehermu. Hai anakku, jika orang berdosa memujukmu, jangan turuti. Jika mereka berkata, “Ikutlah kami! Mari kita menghendap demi menumpahkan darah; mari kita serang hendap orang yang tidak bersalah tanpa sebarang sebab; mari kita menjadi bak alam barzakh dan menelan mereka hidup-hidup, bulat-bulat, seperti orang yang turun ke liang lahat; kita akan mendapat segala macam benda berharga, kita akan memenuhi rumah kita dengan barang rampasan; buanglah undimu ke tengah-tengah kami; kita kongsi bersama-sama segala yang kita samun!” Hai anakku, jangan ikut perilaku mereka; jauhkan kakimu dari jalan-jalan mereka, kerana kaki mereka cuma meluru menuju kejahatan, dan mereka bergegas kerana mahu menumpahkan darah. Betapa sia-sia membentangkan jaring di hadapan mata burung; namun mereka menanti untuk menumpahkan darah sendiri dan menghendap nyawa mereka sendiri. Demikianlah jadinya setiap orang yang tamak akan harta haram; kerakusannya itu bakal mencabut nyawanya sendiri. Hikmah berseru-seru di jalan raya, ia menyaringkan suaranya di lapangan. Di kepala jalan tumpuan ramai, ia bersuara, dan di muka pintu gerbang kota ia menyampaikan kata-katanya, “Hai orang yang betul bendul, sampai bilakah kamu cinta akan keadaanmu sebagai orang yang betul bendul? Sampai bilakah para pencemuh gemar mencemuh, dan orang bodoh benci akan pengetahuan? Berpalinglah mendengar teguranku. Sesungguhnya, aku akan mencurahkan isi hatiku kepadamu, aku akan menghuraikan manfaat kata-kataku kepadamu. Tetapi kamu menolak ketika kupanggil, dan tiada seorang pun mengendahkan ketika aku menghulurkan tanganku. Atas sebab kamu mensia-siakan semua nasihatku, dan tidak mahu menerima teguranku, aku pun akan mentertawakan bencana yang kamu alami; aku akan mencemuhmu ketika malapetaka menimpamu, ketika kengerian melandamu seperti badai, ketika bencana mendatangimu seperti angin puting beliung, ketika kesesakan serta kesusahan menimpamu. Pada waktu itu mereka akan memanggil aku, tetapi aku tidak akan menjawab. Mereka akan bersungguh-sungguh mencari aku, tetapi mereka tidak akan menemukan aku. Mereka benci akan pengetahuan dan tidak memilih supaya takut kepada TUHAN. Mereka tidak mahu menerima nasihatku, dan menolak semua teguranku. Oleh itu, mereka akan memakan buah pilihan mereka, dan akan kenyang dengan khayalan mereka sendiri. Orang betul bendul akan terbunuh oleh sifat melulunya, dan kepuasan orang bodoh akan membinasakan mereka. Tetapi orang yang mendengar kata-kataku akan hidup sejahtera dan berasa selamat tanpa takut akan malapetaka.”