FILIPI 4:4-9
FILIPI 4:4-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuhan. Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah! Hendaklah kamu bertolak ansur. Tuhan akan datang segera. Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. Akhirnya, saudara-saudaraku, hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat. Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari dan terima daripadaku, baik kata-kata mahupun perbuatanku. Allah yang mengurniai kita kesejahteraan akan menyertai kamu.
FILIPI 4:4-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Bŭrsuka sukaanlah kamu bagie Tuhan pada sŭdiakalanya, danlagi pula aku bŭrkata, bŭrsuka sukaanlah kamu. Biarlah kahidopan pŭrtŭngahanmu itu dikŭtahui ulih sagala manusia. Tuhan adalah hampir. Janganlah kamu mŭnaroh khuatir atas barang pŭrkara, mŭlainkan dalam tiap tiap sŭsuatu biarlah kamu pohonkan kapada Allah dŭngan doa, dan pŭrmintaan, sŭrta dŭngan shukor. Adapun sŭjahtra deripada Allah yang mŭlampaui sagala pŭngatahuan itu, kŭlak akan mŭmliharakan hati kamu, dan ingatan kamu dŭngan bŭrkat Isa Almasih. Kasudahannya hie saudara saudara, adapun barang sagala sŭsuatu yang bŭnar, dan barang sŭsuatu yang tulos, dan barang sŭsuatu yang bŭtol, dan barang sŭsuatu yang suchi, dan barang sŭsuatu yang kŭmanisan, dan barang sŭsuatu yang tŭrbilang itu, maka jikalau ada barang kabajikannya, dan jikalau ada barang kapujiannya, maka tarohlah ingatan dalam pŭrkara pŭrkara itu. Maka barang pŭrkara pŭrkara yang tŭlah kamu pŭlajari, dan tŭlah trima, dan dŭngar, dan mŭlihat deri padaku, buatlah; bahwa Allah yang pohon slamat itu kŭlak bŭsŭrta dŭngan kamu.
FILIPI 4:4-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah! Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Tuhan ada berhampiran. Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus. Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi — jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji — tumpukan fikiran kepadanya. Segala yang kamu pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diriku — lakukanlah. Maka Allah yang sumber segala damai sejahtera akan bersertamu.