FILIPI 4:1-14

FILIPI 4:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu, saudara-saudaraku, demikianlah hendaknya kamu berdiri teguh dalam hidup yang bersatu dengan Tuhan. Aku sangat mengasihi dan sangat merindukan kamu! Kamu sungguh menggembirakan aku dan menyebabkan aku berasa bangga! Euodia dan Sintikhe, aku memohon supaya kamu berdua sehati sebagai saudara seiman yang mentaati Tuhan. Rakanku yang setia, aku ingin kamu menolong kedua-dua orang wanita itu. Mereka sudah bekerja keras bersama-sama aku untuk mengkhabarkan Berita Baik, sama seperti Klemen dan semua orang lain yang bekerja bersama dengan aku. Nama mereka tertulis di dalam kitab Allah yang mengandungi nama orang yang memiliki hidup sejati. Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuhan. Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah! Hendaklah kamu bertolak ansur. Tuhan akan datang segera. Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. Akhirnya, saudara-saudaraku, hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat. Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari dan terima daripadaku, baik kata-kata mahupun perbuatanku. Allah yang mengurniai kita kesejahteraan akan menyertai kamu. Dalam hidupku yang bersatu dengan Tuhan, aku bersukacita kerana setelah sedemikian lama, sekali lagi kamu berpeluang mengambil berat terhadap diriku. Aku tidak bermaksud bahawa kamu sudah melupakan aku, tetapi kamu tidak berpeluang untuk menunjukkan bahawa kamu mengambil berat terhadap diriku. Aku berkata seperti itu bukan kerana aku berkekurangan; aku sudah belajar berpuas hati walaupun aku hanya memiliki sedikit. Aku sudah mengalami hidup serba kekurangan dan juga lebih daripada kecukupan. Aku mengetahui rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan. Aku berpuas hati baik ketika kenyang ataupun lapar, baik ketika hidup mewah ataupun berkekurangan. Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan. Tetapi kamu sudah menolong aku dalam kesusahanku; perbuatan kamu itu baik.

FILIPI 4:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA sŭbab itu saudara saudaraku yang kukasih, dan yang kurindui, dan kasukaanku, dan mahkotaku, maka dŭmkian handaklah kamu bŭrdiri dŭngan tŭgohnya bagie Tuhan, hie kŭkasihku. Maka kupintalah kapada Yudas, dan kupinta kapada Sentiki, supaya mŭnjadi satu hati marika itu bagie Tuhan. Danlagi kupohonkan pula kapadamu, taulanku yang bŭnar, maka tulonglah akan pŭrampuan pŭrampuan yang tŭlah bŭrlŭlah sŭrtaku dalam hal Injil; danlagi Klemen pun, dan bŭsŭrta yang lain lain pun, yang sama bŭrlŭlah dŭngan aku, yang ada tŭrsŭbut namanya didalam kitab hayat. Bŭrsuka sukaanlah kamu bagie Tuhan pada sŭdiakalanya, danlagi pula aku bŭrkata, bŭrsuka sukaanlah kamu. Biarlah kahidopan pŭrtŭngahanmu itu dikŭtahui ulih sagala manusia. Tuhan adalah hampir. Janganlah kamu mŭnaroh khuatir atas barang pŭrkara, mŭlainkan dalam tiap tiap sŭsuatu biarlah kamu pohonkan kapada Allah dŭngan doa, dan pŭrmintaan, sŭrta dŭngan shukor. Adapun sŭjahtra deripada Allah yang mŭlampaui sagala pŭngatahuan itu, kŭlak akan mŭmliharakan hati kamu, dan ingatan kamu dŭngan bŭrkat Isa Almasih. Kasudahannya hie saudara saudara, adapun barang sagala sŭsuatu yang bŭnar, dan barang sŭsuatu yang tulos, dan barang sŭsuatu yang bŭtol, dan barang sŭsuatu yang suchi, dan barang sŭsuatu yang kŭmanisan, dan barang sŭsuatu yang tŭrbilang itu, maka jikalau ada barang kabajikannya, dan jikalau ada barang kapujiannya, maka tarohlah ingatan dalam pŭrkara pŭrkara itu. Maka barang pŭrkara pŭrkara yang tŭlah kamu pŭlajari, dan tŭlah trima, dan dŭngar, dan mŭlihat deri padaku, buatlah; bahwa Allah yang pohon slamat itu kŭlak bŭsŭrta dŭngan kamu. Maka aku tŭlah tŭrmasalah sangat bagie Tuhan, sŭbab skarang pada akhirnya ingatan kamu akan daku tŭlah sŭgarlah pula, maka dalam hal yang dŭmkian kamu tŭlah mŭnaroh ingatan, akan tŭtapi kamu tiada mŭndapat waktu yang baik. Maka bukannya aku bŭrkata kata deri sŭbab kakorangan: kŭrna aku ini tŭlah bŭlajar dalam sbarang halku ini, shukorlah aku. Maka aku tahu, baik bŭtapa hal miskin, dan aku tahu bŭtapa hal kamewahan: barang dimana, dan dalam sagala pŭrkara, aku tŭlah diajari, baik kŭnyang, baik lapar, baik kamewahan, baik kakorangan. Maka bulihlah aku pŭrbuat sagala pŭrkara itu dŭngan tulongan Almasih yang mŭnguatkan akan daku. Akan tŭtapi kamu sudah bŭrbuat baik, sŭbab kamu mŭnaroh insaf akan hal kasukaranku.

FILIPI 4:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi dan dirindui, yang menjadi kebahagiaanku dan mahkotaku, berdirilah dengan teguh dalam Tuhan, wahai sekalian yang kusayangi! Aku merayu kepada Euodia dan Sintikhe supaya bersatu hati dalam Tuhan. Dan aku meminta kepadamu juga, teman sejati, bantulah perempuan-perempuan ini yang telah berusaha bersamaku untuk Injil, juga dengan Klemen serta teman sekerjaku yang lain, yang nama-nama mereka ada dalam Kitab Hidup. Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah! Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Tuhan ada berhampiran. Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus. Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi — jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji — tumpukan fikiran kepadanya. Segala yang kamu pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diriku — lakukanlah. Maka Allah yang sumber segala damai sejahtera akan bersertamu. Tetapi aku amat bersukacita dalam Tuhan kerana akhirnya sekarang prihatinmu terhadapku telah semarak semula. Sebenarnya dahulu pun kamu sudah mengambil berat terhadapku, tetapi tidak ada kesempatan bagimu. Aku tidak bercakap disebabkan kekurangan, kerana dalam keadaan apa pun aku telah belajar berasa cukup. Aku tahu bagaimana hidup miskin hina dan bagaimana hidup mewah mulia. Di mana-mana dan dalam apa sahaja, aku telah belajar berasa cukup, baik kenyang atau lapar, senang atau susah. Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan. Namun demikian kamu telah berbuat baik dengan mengambil bahagian dalam kesusahanku.