FILIPI 3:7-16

FILIPI 3:7-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Tetapi kerana apa yang sudah dilakukan oleh Kristus bagiku, semua yang dahulu aku anggap sebagai menguntungkan, kini merugikan. Bukan sahaja hal-hal itu aku anggap merugikan, tetapi semua hal lain yang biasa aku lakukan, sekarang aku anggap merugikan. Dengan demikian aku akan mendapat apa yang jauh lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus sebagai Tuhanku. Kerana Kristus, aku telah meninggalkan segala perkara yang biasa aku lakukan. Aku menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku boleh mendapat Kristus dan bersatu dengan Dia. Hubungan baik dengan Allah tidak aku peroleh dengan jalan taat kepada Taurat. Tetapi sekarang aku mempunyai hubungan baik dengan Allah, kerana aku percaya kepada Kristus. Hubungan baik itu datang daripada Allah dan berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Inilah satu-satunya keinginanku: mengenal Kristus dan mengalami kuasa yang membangkitkan Dia daripada kematian, turut menderita dengan Dia, dan menjadi seperti Dia dalam hal kematian-Nya. Aku berharap Allah akan menghidupkan aku semula daripada kematian. Aku tidak berkata bahawa aku sudah berjaya melakukan semua yang harus aku lakukan, ataupun sudah menjadi sempurna. Tetapi aku terus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memenangi hadiah yang disediakan oleh Kristus Yesus. Itulah tujuan Kristus Yesus menjadikan aku milik-Nya. Saudara-saudaraku, sebenarnya aku tidak menganggap bahawa aku sudah berjaya memenangi hadiah itu. Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. Itulah sebabnya aku berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang merupakan panggilan Allah kepadaku melalui Kristus Yesus. Kita semua yang sudah matang dalam kehidupan sebagai orang yang percaya kepada Kristus, harus bersikap demikian. Tetapi jika ada antara kamu yang berpendapat lain, Allah akan menjelaskan hal itu kepada kamu. Bagaimanapun kita perlu memperhatikan hal ini: Kita harus tetap hidup menurut peraturan yang telah kita taati sehingga sekarang.

FILIPI 3:7-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Tŭtapi barang apa yang mŭnjadi untong padaku, itulah juga kubilangkan kŭrugian kŭrna Almasih. Bahkan, dŭngan tiada shak, aku bilangkan sŭmua pŭrkara rugi adanya, ulih sŭbab indahnya pŭngatahuan akan Isa Almasih Tuhanku itu; maka deri kŭrnanyalah tŭlah kurasai kŭrugian dalam sagala pŭrkara, dan kubilangkan itu spŭrti tahi adanya, supaya aku mŭnangkan Almasih. Dan didapatinya akan daku dalamnya dŭngan tiada aku mŭmpunyai kabŭnaran yang deripada hukum tauret, hanya deripada kabŭnaran itu yang tŭrbit deripada iman akan Almasih, iya itu kabŭnaran yang deripada Allah ulih iman juga. Supaya aku bulih mŭngŭnal akan dia, dan kwasa kŭbangkitannya, dan sama sŭngsaranya, sŭrta mŭngikot pri kŭmatiannya. Maka kalau dŭngan sŭbulih bulihnya aku handak juga dapat sampie kapada kŭbangkitan orang mati; Bukannya spŭrti yang sudah kudapati itu, atau sudah sampornalah aku ini, tŭtapi kukŭjar juga itu, kalau kalau aku bulih mŭnchŭkop itu yang spŭrti dichŭkopi ulih Isa Almasih akan daku pun. Saudara saudara, bahwa tiadalah kubilangkan diriku tŭlah sudah mŭnchŭkop itu; tŭtapi suatu pŭrkara yang ada kupŭrbuat ini, iya itu handak mŭlupakan pŭrkara yang diblakang itu, dan handak mŭnchapiekan pŭrkara pŭrkara yang dihadapan itu. Maka aku sŭrbu mŭnuju kapada alamat itu, supaya bŭrulih fahala jŭmpotan tinggi, iya itu deripada Allah dŭngan bŭrkat Isa Almasih. Maka sŭbab itu biarlah kita, sŭbanyak kami yang samporna, itupun mŭnaroh niat yang dŭmkian itu: maka jikalau kiranya dalam barang pŭrkara kamu mŭnaroh niat yang lain, nŭschaya kŭlak dinyatakan Allah ini juapun kapada kamu. Kŭndatilah, sampie kamana kami tŭlah mŭndapat, maka biarlah kami mŭnurot sama hukum, dan biarlah kami mŭnaroh inggatan atas sama pŭrkara.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami