FILIPI 3:10-21

FILIPI 3:10-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Inilah satu-satunya keinginanku: mengenal Kristus dan mengalami kuasa yang membangkitkan Dia daripada kematian, turut menderita dengan Dia, dan menjadi seperti Dia dalam hal kematian-Nya. Aku berharap Allah akan menghidupkan aku semula daripada kematian. Aku tidak berkata bahawa aku sudah berjaya melakukan semua yang harus aku lakukan, ataupun sudah menjadi sempurna. Tetapi aku terus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memenangi hadiah yang disediakan oleh Kristus Yesus. Itulah tujuan Kristus Yesus menjadikan aku milik-Nya. Saudara-saudaraku, sebenarnya aku tidak menganggap bahawa aku sudah berjaya memenangi hadiah itu. Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. Itulah sebabnya aku berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang merupakan panggilan Allah kepadaku melalui Kristus Yesus. Kita semua yang sudah matang dalam kehidupan sebagai orang yang percaya kepada Kristus, harus bersikap demikian. Tetapi jika ada antara kamu yang berpendapat lain, Allah akan menjelaskan hal itu kepada kamu. Bagaimanapun kita perlu memperhatikan hal ini: Kita harus tetap hidup menurut peraturan yang telah kita taati sehingga sekarang. Saudara-saudaraku, ikutlah teladanku. Kami sudah memberikan teladan yang baik kepada kamu. Oleh itu perhatikanlah orang yang mengikut teladan kami itu. Apa yang akan aku beritahukan kepada kamu, sudah banyak kali aku katakan kepada kamu dahulu, dan sekarang aku mengulanginya lagi dengan tangisan. Banyak orang dengan kehidupan mereka sudah merosakkan erti kematian Kristus di kayu salib. Hidup orang seperti itu akan berakhir dengan kehancuran, kerana mereka bertuhankan keinginan tubuh mereka sendiri. Mereka membanggakan hal-hal yang seharusnya memalukan. Mereka hanya memikirkan perkara-perkara duniawi. Tetapi kewarganegaraan kita di syurga. Dengan penuh harapan kita menanti-nantikan kedatangan Penyelamat kita, Tuhan Yesus Kristus dari syurga. Dia akan mengubah tubuh kita yang lemah dan fana ini, menjadi seperti tubuh-Nya sendiri yang mulia itu. Dia dapat melakukan hal itu kerana Dia memiliki kuasa untuk menaklukkan segala sesuatu.

FILIPI 3:10-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Supaya aku bulih mŭngŭnal akan dia, dan kwasa kŭbangkitannya, dan sama sŭngsaranya, sŭrta mŭngikot pri kŭmatiannya. Maka kalau dŭngan sŭbulih bulihnya aku handak juga dapat sampie kapada kŭbangkitan orang mati; Bukannya spŭrti yang sudah kudapati itu, atau sudah sampornalah aku ini, tŭtapi kukŭjar juga itu, kalau kalau aku bulih mŭnchŭkop itu yang spŭrti dichŭkopi ulih Isa Almasih akan daku pun. Saudara saudara, bahwa tiadalah kubilangkan diriku tŭlah sudah mŭnchŭkop itu; tŭtapi suatu pŭrkara yang ada kupŭrbuat ini, iya itu handak mŭlupakan pŭrkara yang diblakang itu, dan handak mŭnchapiekan pŭrkara pŭrkara yang dihadapan itu. Maka aku sŭrbu mŭnuju kapada alamat itu, supaya bŭrulih fahala jŭmpotan tinggi, iya itu deripada Allah dŭngan bŭrkat Isa Almasih. Maka sŭbab itu biarlah kita, sŭbanyak kami yang samporna, itupun mŭnaroh niat yang dŭmkian itu: maka jikalau kiranya dalam barang pŭrkara kamu mŭnaroh niat yang lain, nŭschaya kŭlak dinyatakan Allah ini juapun kapada kamu. Kŭndatilah, sampie kamana kami tŭlah mŭndapat, maka biarlah kami mŭnurot sama hukum, dan biarlah kami mŭnaroh inggatan atas sama pŭrkara. Saudara saudara, ikotlah sama sama akan daku, dan pŭrhatikanlah akan orang orang yang tŭlah mŭnjalani dŭmkian spŭrti kamu mŭndapat kita orang akan tuladannya. Kŭrna bŭbrapa orang yang bŭrjalan, krap kali aku tŭlah bŭrkata akan hal marika itu kapada kamu, maka skarang pun aku bŭrkata pula dŭngan tangisku, bahwa marika itulah sŭtru salib Almasih. Adapun kasudahan marika itu kŭlak kabinasaan, maka protnya itu Allahnya, dan kamuliannya itulah malunya, maka diindahkannya pŭrkara dunia sahja. Kŭrna pri kabibasan kami dalam shorga; maka deri sanalah kami mŭnantikan pŭnulong, iya itu Tuhan Isa Almasih Yang akan mŭngubahkan kŭlak tuboh kami yang hina ini, supaya mŭnjadi sŭrupa dŭngan tubohnya yang mulia itu, mŭnurot kwasa yang dapat iya mŭna’lokkan sagala pŭrkara kapadanya sŭndiri.

FILIPI 3:10-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku hendak mengenal-Nya dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya, supaya pada akhirnya aku dapat mencapai kebangkitan daripada kematian. Bukanlah aku telah mencapainya, atau telah disempurnakan, tetapi aku terus berusaha, semoga aku dapat mengambil sesuatu yang kerananya aku telah diambil oleh Kristus Yesus. Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Kristus Yesus. Oleh itu, semua yang matang antara kita hendaklah berfikiran sedemikian, dan jika berbeza fikiranmu dalam apa pun, Allah akan menyatakan hal itu juga kepadamu. Tetapi setakat yang telah kita capai, marilah kita menempuhnya demikian juga. Saudara-saudara, bersatulah menurut teladanku, dan perhatikan mereka yang hidup selaras dengan teladan yang kami berikan. Kerana, seperti yang sudah sering kukatakan kepadamu, dan sekarang kukatakan lagi dengan tangisku, ramai orang hidup sebagai seteru kepada salib Kristus. Kesudahan mereka adalah kebinasaan, tuhan mereka adalah perut mereka, kemuliaan mereka adalah dalam keaiban mereka. Mereka menumpukan fikiran kepada perkara dunia. Tetapi kewargaan kita adalah di syurga, dari situ kita menanti-nantikan Penyelamat, Tuhan Yesus Kristus. Dia akan mengubah tubuh kita yang hina ini supaya serupa dengan tubuh-Nya yang mulia, melalui kuasa-Nya yang dapat menaklukkan segalanya kepada diri-Nya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami