FILIPI 3:1-9

FILIPI 3:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

Akhirnya, saudara-saudaraku, semoga kamu bersukacita kerana telah hidup bersatu dengan Tuhan. Aku tidak berkeberatan mengulangi apa yang telah aku tulis dahulu, kerana hal itu baik untuk keselamatan kamu. Berhati-hatilah dengan mereka yang melakukan perbuatan jahat. Mereka itu ibarat anjing. Mereka mendesak bahawa orang harus disunat. Tetapi kitalah orang yang sudah menerima sunat yang benar, bukan mereka. Kita menyembah Allah dengan pertolongan Roh-Nya dan kita bersukacita kerana hidup bersatu dengan Kristus. Kita tidak bergantung kepada upacara yang lahiriah. Sebenarnya aku boleh bergantung kepada upacara-upacara itu. Jika sesiapa menyangka dia boleh bergantung kepada upacara yang lahiriah, aku mempunyai alasan yang lebih banyak. Aku disunat ketika berumur lapan hari. Aku dilahirkan sebagai orang Israel daripada suku Benyamin. Oleh itu aku orang Ibrani sejati. Dalam hal mentaati hukum agama Yahudi, aku tergolong orang Farisi. Aku sangat bersemangat melakukan apa yang aku anggap sebagai kehendak Allah, sehingga aku menganiaya orang yang percaya kepada Kristus. Jika orang boleh kembali kepada Allah dengan mentaati perintah Taurat, maka aku sudah melakukan semua perintah itu. Tetapi kerana apa yang sudah dilakukan oleh Kristus bagiku, semua yang dahulu aku anggap sebagai menguntungkan, kini merugikan. Bukan sahaja hal-hal itu aku anggap merugikan, tetapi semua hal lain yang biasa aku lakukan, sekarang aku anggap merugikan. Dengan demikian aku akan mendapat apa yang jauh lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus sebagai Tuhanku. Kerana Kristus, aku telah meninggalkan segala perkara yang biasa aku lakukan. Aku menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku boleh mendapat Kristus dan bersatu dengan Dia. Hubungan baik dengan Allah tidak aku peroleh dengan jalan taat kepada Taurat. Tetapi sekarang aku mempunyai hubungan baik dengan Allah, kerana aku percaya kepada Kristus. Hubungan baik itu datang daripada Allah dan berdasarkan kepercayaan kepada Kristus.

FILIPI 3:1-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA akhirnya, hie sagala saudaraku, handaklah kamu bŭrsukachita kŭrna Tuhan, akan mŭnyuratkan deri hal sama pŭrkara itu, iya itu tiada mŭnjadikan kasusahan bagieku, mŭlainkan iya itu mŭndatangkan aman kapada kamu. Jagalah baik baik deri hal anjing, dan jagalah baik baik deri hal orang orang yang bŭrbuat jahat, dan jagalah baik baik deri hal orang yang sunatkan daging. Kŭrna kami ini orang bŭrsunat, yang mŭnyŭmbah Allah dŭngan Roh, dan yang bŭrsukachita kŭrna Isa Almasih, dan tiada bŭrgantong pada daging. Maka aku bulih bŭrgantong kapada daging jikalau kiranya patut, dan jikalau barang sa’orang lain mŭmikir patutlah bŭrgantong kapada daging, maka akulah yang tŭrlebih. Bŭrsunatkan pada hari yang kadŭlapan, dan chabang deri bani Israil, dan deripada suku Benjamin, dan sa’orang Ibrani deripada Ibrani; adapun deri hal tauret, bahwa aku sa’orang Faresia. Dan derihal rajin, mŭngannyayakan sidang jŭmaah, derihal kabŭnaran yang dalam tauret, tiadalah taksir lagi. Tŭtapi barang apa yang mŭnjadi untong padaku, itulah juga kubilangkan kŭrugian kŭrna Almasih. Bahkan, dŭngan tiada shak, aku bilangkan sŭmua pŭrkara rugi adanya, ulih sŭbab indahnya pŭngatahuan akan Isa Almasih Tuhanku itu; maka deri kŭrnanyalah tŭlah kurasai kŭrugian dalam sagala pŭrkara, dan kubilangkan itu spŭrti tahi adanya, supaya aku mŭnangkan Almasih. Dan didapatinya akan daku dalamnya dŭngan tiada aku mŭmpunyai kabŭnaran yang deripada hukum tauret, hanya deripada kabŭnaran itu yang tŭrbit deripada iman akan Almasih, iya itu kabŭnaran yang deripada Allah ulih iman juga.