FILIPI 3:1-16
FILIPI 3:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Akhirnya, saudara-saudaraku, semoga kamu bersukacita kerana telah hidup bersatu dengan Tuhan. Aku tidak berkeberatan mengulangi apa yang telah aku tulis dahulu, kerana hal itu baik untuk keselamatan kamu. Berhati-hatilah dengan mereka yang melakukan perbuatan jahat. Mereka itu ibarat anjing. Mereka mendesak bahawa orang harus disunat. Tetapi kitalah orang yang sudah menerima sunat yang benar, bukan mereka. Kita menyembah Allah dengan pertolongan Roh-Nya dan kita bersukacita kerana hidup bersatu dengan Kristus. Kita tidak bergantung kepada upacara yang lahiriah. Sebenarnya aku boleh bergantung kepada upacara-upacara itu. Jika sesiapa menyangka dia boleh bergantung kepada upacara yang lahiriah, aku mempunyai alasan yang lebih banyak. Aku disunat ketika berumur lapan hari. Aku dilahirkan sebagai orang Israel daripada suku Benyamin. Oleh itu aku orang Ibrani sejati. Dalam hal mentaati hukum agama Yahudi, aku tergolong orang Farisi. Aku sangat bersemangat melakukan apa yang aku anggap sebagai kehendak Allah, sehingga aku menganiaya orang yang percaya kepada Kristus. Jika orang boleh kembali kepada Allah dengan mentaati perintah Taurat, maka aku sudah melakukan semua perintah itu. Tetapi kerana apa yang sudah dilakukan oleh Kristus bagiku, semua yang dahulu aku anggap sebagai menguntungkan, kini merugikan. Bukan sahaja hal-hal itu aku anggap merugikan, tetapi semua hal lain yang biasa aku lakukan, sekarang aku anggap merugikan. Dengan demikian aku akan mendapat apa yang jauh lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus sebagai Tuhanku. Kerana Kristus, aku telah meninggalkan segala perkara yang biasa aku lakukan. Aku menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku boleh mendapat Kristus dan bersatu dengan Dia. Hubungan baik dengan Allah tidak aku peroleh dengan jalan taat kepada Taurat. Tetapi sekarang aku mempunyai hubungan baik dengan Allah, kerana aku percaya kepada Kristus. Hubungan baik itu datang daripada Allah dan berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Inilah satu-satunya keinginanku: mengenal Kristus dan mengalami kuasa yang membangkitkan Dia daripada kematian, turut menderita dengan Dia, dan menjadi seperti Dia dalam hal kematian-Nya. Aku berharap Allah akan menghidupkan aku semula daripada kematian. Aku tidak berkata bahawa aku sudah berjaya melakukan semua yang harus aku lakukan, ataupun sudah menjadi sempurna. Tetapi aku terus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memenangi hadiah yang disediakan oleh Kristus Yesus. Itulah tujuan Kristus Yesus menjadikan aku milik-Nya. Saudara-saudaraku, sebenarnya aku tidak menganggap bahawa aku sudah berjaya memenangi hadiah itu. Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. Itulah sebabnya aku berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang merupakan panggilan Allah kepadaku melalui Kristus Yesus. Kita semua yang sudah matang dalam kehidupan sebagai orang yang percaya kepada Kristus, harus bersikap demikian. Tetapi jika ada antara kamu yang berpendapat lain, Allah akan menjelaskan hal itu kepada kamu. Bagaimanapun kita perlu memperhatikan hal ini: Kita harus tetap hidup menurut peraturan yang telah kita taati sehingga sekarang.
FILIPI 3:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA akhirnya, hie sagala saudaraku, handaklah kamu bŭrsukachita kŭrna Tuhan, akan mŭnyuratkan deri hal sama pŭrkara itu, iya itu tiada mŭnjadikan kasusahan bagieku, mŭlainkan iya itu mŭndatangkan aman kapada kamu. Jagalah baik baik deri hal anjing, dan jagalah baik baik deri hal orang orang yang bŭrbuat jahat, dan jagalah baik baik deri hal orang yang sunatkan daging. Kŭrna kami ini orang bŭrsunat, yang mŭnyŭmbah Allah dŭngan Roh, dan yang bŭrsukachita kŭrna Isa Almasih, dan tiada bŭrgantong pada daging. Maka aku bulih bŭrgantong kapada daging jikalau kiranya patut, dan jikalau barang sa’orang lain mŭmikir patutlah bŭrgantong kapada daging, maka akulah yang tŭrlebih. Bŭrsunatkan pada hari yang kadŭlapan, dan chabang deri bani Israil, dan deripada suku Benjamin, dan sa’orang Ibrani deripada Ibrani; adapun deri hal tauret, bahwa aku sa’orang Faresia. Dan derihal rajin, mŭngannyayakan sidang jŭmaah, derihal kabŭnaran yang dalam tauret, tiadalah taksir lagi. Tŭtapi barang apa yang mŭnjadi untong padaku, itulah juga kubilangkan kŭrugian kŭrna Almasih. Bahkan, dŭngan tiada shak, aku bilangkan sŭmua pŭrkara rugi adanya, ulih sŭbab indahnya pŭngatahuan akan Isa Almasih Tuhanku itu; maka deri kŭrnanyalah tŭlah kurasai kŭrugian dalam sagala pŭrkara, dan kubilangkan itu spŭrti tahi adanya, supaya aku mŭnangkan Almasih. Dan didapatinya akan daku dalamnya dŭngan tiada aku mŭmpunyai kabŭnaran yang deripada hukum tauret, hanya deripada kabŭnaran itu yang tŭrbit deripada iman akan Almasih, iya itu kabŭnaran yang deripada Allah ulih iman juga. Supaya aku bulih mŭngŭnal akan dia, dan kwasa kŭbangkitannya, dan sama sŭngsaranya, sŭrta mŭngikot pri kŭmatiannya. Maka kalau dŭngan sŭbulih bulihnya aku handak juga dapat sampie kapada kŭbangkitan orang mati; Bukannya spŭrti yang sudah kudapati itu, atau sudah sampornalah aku ini, tŭtapi kukŭjar juga itu, kalau kalau aku bulih mŭnchŭkop itu yang spŭrti dichŭkopi ulih Isa Almasih akan daku pun. Saudara saudara, bahwa tiadalah kubilangkan diriku tŭlah sudah mŭnchŭkop itu; tŭtapi suatu pŭrkara yang ada kupŭrbuat ini, iya itu handak mŭlupakan pŭrkara yang diblakang itu, dan handak mŭnchapiekan pŭrkara pŭrkara yang dihadapan itu. Maka aku sŭrbu mŭnuju kapada alamat itu, supaya bŭrulih fahala jŭmpotan tinggi, iya itu deripada Allah dŭngan bŭrkat Isa Almasih. Maka sŭbab itu biarlah kita, sŭbanyak kami yang samporna, itupun mŭnaroh niat yang dŭmkian itu: maka jikalau kiranya dalam barang pŭrkara kamu mŭnaroh niat yang lain, nŭschaya kŭlak dinyatakan Allah ini juapun kapada kamu. Kŭndatilah, sampie kamana kami tŭlah mŭndapat, maka biarlah kami mŭnurot sama hukum, dan biarlah kami mŭnaroh inggatan atas sama pŭrkara.
FILIPI 3:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Akhir kata, saudara-saudaraku, bersukacitalah dalam Tuhan! Bagiku menuliskan perkara yang sama kepadamu tidaklah menjemukan, dan ini memastikan keselamatanmu. Awas orang yang bersikap seperti anjing, awas orang yang berbuat jahat, awas tukang sunat yang palsu. Kerana kita ini orang bersunat, yang menyembah Allah dalam Roh, bermegah dalam Kristus Yesus, dan tidak mengharapkan hal lahiriah — walaupun aku sendiri ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah. Jika sesiapa menyangka dia ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah, aku lebih lagi. Aku disunatkan ketika berumur lapan hari, berbangsa Israel, daripada suku Benyamin, seorang Ibrani keturunan orang Ibrani; dalam hal Taurat aku orang Farisi; dari segi kesungguhan, aku telah menganiaya jemaah; dari segi perbenaran dalam mentaati Taurat, aku tiada cacat cela. Tetapi segala yang dahulu merupakan untung bagiku, sekarang kukira rugi kerana Kristus. Bahkan segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Kristus Yesus, Tuhanku. Oleh sebab Dialah aku telah kerugian segalanya, yang kukira sampah sarap belaka, supaya aku mendapat untung iaitu Kristus, dan didapati di dalam-Nya, bukan dengan perbenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada Kristus, perbenaran daripada Allah melalui iman. Aku hendak mengenal-Nya dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya, supaya pada akhirnya aku dapat mencapai kebangkitan daripada kematian. Bukanlah aku telah mencapainya, atau telah disempurnakan, tetapi aku terus berusaha, semoga aku dapat mengambil sesuatu yang kerananya aku telah diambil oleh Kristus Yesus. Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Kristus Yesus. Oleh itu, semua yang matang antara kita hendaklah berfikiran sedemikian, dan jika berbeza fikiranmu dalam apa pun, Allah akan menyatakan hal itu juga kepadamu. Tetapi setakat yang telah kita capai, marilah kita menempuhnya demikian juga.