FILIPI 2:1-18

FILIPI 2:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu dikuatkan. Kerana Kristus mengasihi kamu, kamu dihiburkan. Kamu dipimpin oleh Roh Allah, dan kamu saling mengasihi serta saling berbelas kasihan. Aku berharap saudara semua dapat benar-benar menyenangkan hatiku dengan hidup seia sekata, saling mengasihi dengan kasih yang sama dan mempunyai fikiran serta tujuan yang sama. Janganlah lakukan sesuatu bagi kepentingan diri sendiri, atau kerana hendak menyombongkan diri. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri. Sikap kamu hendaklah seperti sikap Kristus Yesus: Sebenarnya Dia ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia, dan hidup seperti manusia. Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati - iaitu mati di atas salib. Itulah sebabnya Allah meninggikan Dia setinggi-tingginya, dan mengurniai Dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain. Oleh itu, untuk menghormati Yesus, semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan; dengan demikian Allah Bapa dimuliakan. Oleh itu, saudara-saudaraku yang tercinta, sebagaimana kamu sentiasa taat kepadaku ketika aku bersama-sama kamu, lebih mustahak lagi kamu taat kepadaku sekarang ini ketika kita berjauhan. Allah sudah menyelamatkan kamu, oleh itu kamu harus terus berusaha untuk menyempurnakan kesejahteraan kamu. Lakukanlah hal itu dengan penuh hormat kepada Allah, kerana Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Lakukanlah segala sesuatu tanpa bersungut-sungut atau bertengkar. Dengan demikian kamu menunjukkan ketulusan dan kemurnian sebagai anak-anak Allah yang tidak bercela, yang hidup di kalangan orang jahat dan berdosa. Ketika kamu menyampaikan berita yang memberikan hidup yang sejati, kamu harus bersinar antara mereka seperti bintang menerangi langit. Jika kamu berbuat demikian, aku mempunyai alasan untuk berbangga dengan kamu pada Hari Kristus datang kembali. Hal itu membuktikan bahawa segala usaha dan jerih payahku tidak sia-sia. Mungkin aku akan dibunuh dan darahku menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban yang kamu persembahkan kepada Allah, sebagai tanda bahawa kamu percaya kepada-Nya. Jika demikian, aku bersyukur dan bersukacita dengan kamu semua. Begitu juga kamu harus bersukacita kerana apa yang akan berlaku dan turut bergembira denganku.

FILIPI 2:1-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA jikalau kiranya ada barang kasŭnangan deripada Almasih, jikalau ada barang pŭnghiburan deripada kasih, jikalau ada barang sŭkutuan deripada Roh, jikalau ada barang buah hati dan kamurahan, Mŭnggŭnapilah kasukaanku, supaya bŭrsamaanlah ingatanmu, sŭbab ada mŭnaroh sama kasih, sŭbab ada sama sŭfakat, dan sama hati. Maka janganlah kamu bŭrbuat barang suatu pŭrkara jua pun dŭngan pŭrbantahan, atau dŭngan mŭnchari kamŭgahan yang sia sia; tŭtapi dŭngan rŭndah hati, biarlah masing masing mŭngasihi sa’orang akan sa’orang tŭrlebih deripada dirinya sŭndiri. Janganlah masing masing mŭlihat halnya sŭndiri sahja, tŭtapi handaklah masing masing mŭlihat hal hal orang lain pun. Maka biarlah kiranya ada ingatan yang dŭmkian itu dalam kamu spŭrti yang sudah ada dalam Isa Almasih. Sŭbab ada iya dalam kaadaan Allah, tiadalah iya sangka rampasan kalau iya mŭnjadi stara dŭngan Allah. Tŭtapi iya tiada mŭnchari kabilangan, mŭlainkan iya mŭnjadikan dirinya bŭrsifat hamba lalu dijadikannya sama dŭngan manusia. Maka sŭtlah didapati akan dia dŭngan hal manusia, maka dirŭndahkannyalah dirinya, lalu tŭrta’loklah iya kapada maut, mŭskipun kapada kŭmatian salib. Maka sŭbab itulah tŭlah ditinggikan Allah sangat akan dia, sŭrta dikurniakannya padanya suatu nama yang diatas sagala nama. Supaya akan nama Isa itu kŭlak haruslah tundok sagala lutut, iya itu baik sagala pŭrkara yang dilangit, baik sagala pŭrkara yang dibumi, baik sagala pŭrkara dibawah bumi. Dan supaya sagala lidah pun mŭngaku bahwasanya Isa Almasih itu Tuhan, bagie kamuliaan Allah iya itu Ayah. Maka sŭbab itulah kŭkasihku, adapun spŭrti pada sŭdiakalanya kamu tŭlah mŭnurot itu, bukannya dihadapanku sahja, mŭlainkan skarang tŭrlebih pula diblakangku, maka handaklah kamu bŭkŭrja mŭnuntut slamatmu sŭndiri dŭngan takot dan gŭmŭntar. Kŭrna Allah juga yang mŭnggrakkan dalam hati kamu itu akan bŭrniat, dan akan mŭlakukan kŭrelaannya. Pŭrbuatlah akan sagala pŭrkara dŭngan tiada bŭrsungot dan pŭrbantahan; Supaya kamu mŭnjadi orang yang tiada bŭrsalah, dan tiada pŭngapakan, spŭrti anak anak Allah yang tiada dapat dichŭla diantara bangsa yang bengkang bengkok, dan kachau belot, maka diantaranyalah kamu kŭlak bŭrchahya spŭrti trang dalam dunia. Mŭmaskorkan pŭrkataan slamat, supaya aku kŭlak akan bŭrsuka chita pada hari datang Almasih, supaya aku tiada bŭrlari lari dŭngan sia sia, atau bŭrlŭlah dŭngan sia sia. Bahkan, jikalau kiranya aku ini dipŭrsŭmbahkan atas korban, dan pŭkŭrjaan iman kamu skali pun, maka suka chitalah juga aku, dan bŭrsuka sukalah bŭsŭrta dŭngan kamu skalian. Maka dŭngan hal dŭmkianlah juga handaklah kamu pun sukachita, dan bŭrsuka sukalah bŭsŭrta dŭngan aku.

FILIPI 2:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, jika ada galakan kerana bersatu dalam Kristus, jika ada penghiburan hati kerana kasih-Nya, jika ada keakraban dalam Roh, jika ada lemah lembut dan belas kasih, sempurnakanlah kebahagiaanku dengan berkeadaan sejiwa, mempunyai kasih yang sama, sepakat dan bersatu hati. Janganlah lakukan apa pun kerana kepentingan diri sendiri atau keangkuhan. Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya. Tiap-tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain. Hendaklah ada dalam dirimu pemikiran yang ada dalam Kristus Yesus: Dia yang sekalipun dalam bentuk Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sesuatu yang harus dipertahankan, tetapi Dia telah mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba, dan datang dengan rupa manusia. Dalam keadaan sebagai manusia, Dia telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian, bahkan kematian di salib! Itulah sebabnya Allah sangat meninggikan-Nya dan menganugerahkan kepada-Nya nama yang di atas segala nama, supaya kepada nama Yesus segala-galanya bertelut, segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi, dan semua lidah mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan, untuk mendatangkan kemuliaan kepada Allah Bapa. Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, sebagaimana kamu sentiasa taat, hendaklah kamu mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar, bukan sahaja ketika aku ada bersamamu malah lebih-lebih lagi sekarang sewaktu aku jauh daripadamu. Kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya. Dalam segala perbuatanmu janganlah bersungut-sungut dan berbantah-bantah, supaya dirimu tidak beraib dan bersalah, dan kamu menjadi anak-anak Allah yang tidak bercela antara manusia. Dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang, maka terserlahlah kamu seperti bintang dalam dunia, berpegang teguh pada firman yang memberikan kehidupan. Dengan demikian aku dapat bersukacita pada hari Kristus kerana hidup dan usahaku tidak sia-sia. Walaupun sekiranya aku dicurahkan seperti minuman yang dipersembahkan sebagai korban dan khidmat imanmu, aku berbahagia dan bersukacita bersama kamu semua. Demikian jugalah kamu harus bahagia dan bersukacita bersamaku.