FILIPI 1:18-30
FILIPI 1:18-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi tidak mengapa! Aku tetap bergembira, asal sahaja Kristus diberitakan dengan segala cara, baik dengan maksud yang baik ataupun yang salah. Aku akan terus bersukacita, kerana aku tahu bahawa dengan doa kamu dan dengan pertolongan daripada Roh Yesus Kristus, aku akan dibebaskan. Aku berharap dengan sepenuh hati supaya jangan sekali-kali aku gagal dalam tugasku. Tetapi pada setiap masa, terutama sekali sekarang, aku dapat berkata-kata dengan berani, sehingga dengan segenap jiwa raga, aku akan menyebabkan orang memuliakan Kristus, sama ada aku hidup ataupun mati. Bagiku, hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah. Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik. Tetapi bagi kepentingan kamu, lebih mustahak aku hidup. Aku yakin akan hal itu. Oleh itu aku tahu bahawa aku akan terus hidup untuk menolong kamu, supaya iman kamu semakin teguh dan kamu semakin bersukacita dalam kepercayaan kepada Kristus. Dengan demikian apabila aku bersama-sama kamu lagi, kamu akan mempunyai lebih banyak alasan untuk berbangga dengan aku, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. Oleh itu penting bagi kamu untuk hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Berita Baik tentang Kristus. Dengan demikian sama ada aku dapat berjumpa dengan kamu atau tidak, aku akan mendapat berita bahawa kamu berdiri teguh dan berjuang dengan satu tujuan dan satu keinginan, untuk iman yang berdasarkan Berita Baik itu. Janganlah takut akan orang yang menganiaya kamu; tabahkanlah hati. Hal itu akan membuktikan bahawa mereka akan kalah dan kamu akan menang, kerana Allah sendiri yang memberikan kemenangan itu kepada kamu. Semua itu berlaku kerana kamu sudah diberikan oleh Allah anugerah untuk mengabdikan diri kepada Kristus, bukan sahaja dengan percaya kepada-Nya, tetapi juga dengan menderita bagi-Nya. Sekarang kamu boleh menyertai aku dalam perjuanganku, perjuangan yang pernah kamu lihat aku lakukan dahulu. Sekarang kamu juga mendengar bahawa aku masih tetap berjuang.
FILIPI 1:18-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Apatah kŭlak? kŭndatilah bagimana pun baik, kalau dŭngan pura pura, atau dŭngan sŭbŭnarnya diajarkan derihal Almasih itu; maka dalam hal dŭmkian itu gŭmarlah aku, bahkan aku handak bŭrgŭmar juga. Kŭrna aku tahu, bahwa pŭrkara inilah kŭlak tŭrbalik mŭnjadi slamatku dŭngan tulongan doa kamu, sŭrta dŭngan tambahan Roh Isa Almasih. Spŭrti dŭngan bŭrahi, kumŭnantikan sŭrta harap, dalam suatu jua pun tiada aku mŭnjadi malu, tŭtapi dŭngan sangat brani, spŭrti pada sŭdiakalanya, maka dŭmkian juga skarang pun, Almasih itu akan dimŭgahkan dalam diriku, baik dŭngan hidop, baik dŭngan mati. Adapun hidopku ini kŭrna Almasih adanya, dan mati itulah kauntonganku. Tŭtapi jikalau hidop juga tubohku, maka inilah buah buahan kalŭlahanku: akan tŭtapi manakah yang handak kupileh itu tiadalah kukŭtahui. Kŭrna tŭrgŭpitlah aku diantara kadua itu, sŭbab handak pulang, supaya bŭrsama sama dŭngan Almasih; kŭrna itulah tŭrlebih baik. Tŭtapi jikalau hidop tubohku ini itupun tŭrlebih bŭrguna juga pada kamu. Maka adapun sŭbab harap yang dŭmkian itulah aku tahu, bahwa nanti aku tinggal kŭlak bŭsŭrta dŭngan kamu skalian kŭrna tambahan, dan kŭgŭmaran kamu dalam iman. Supaya tŭrmasamu itu kŭlak mŭlempahlah dalam Isa Almasih kŭrna aku, ulih sŭbab kadatanganku pada kamu lagi. Mŭlainkan biarlah klakuanmu itu ada bŭrpatutan dŭngan Injil Almasih: baik aku datang bŭrjumpa kamu, baik tiada, bulihlah aku mŭnŭngar akan sagala hal ahwal kamu, yang kamu ada bŭrdiri tŭtap dŭngan suatu Roh, dŭngan suatu ingatan, bŭrusaha usahakan bŭrsama sama kŭrna iman Injil. Maka dalam suatu juapun janganlah kamu ditakoti ulih musoh musohmu: yang ada pada marika itu suatu tandah kabinasaan bagienya, tŭtapi pada kamu suatu tandah slamat, maka iya itu deripada Allah adanya. Kŭrna pada kamu tŭlah dikurniakan deri kŭrna Almasih, bukannya akan bŭrimankan dia sahja, mŭlainkan akan mŭrasai sŭngsara pun ulih sŭbabnya. Sŭbab ada pada kamu sama gondah hati yang dahulu kamu tŭlah mŭlihat ada padaku, maka skarang pun kamu mŭnŭngar itu adalah padaku.
FILIPI 1:18-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, Kristus sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita. Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Yesus Kristus. Adalah jangkaan dan harapanku yang bersungguh-sungguh bahawa dalam apa hal pun aku tidak dipermalu, melainkan dengan segala keberanianku seperti biasa, maka sekarang juga Kristus akan ditinggikan dalam diriku, baik melalui hidup mahupun mati. Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan. Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu! Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan Kristus, itu jauh lebih baik, tetapi kerana kamu, aku berasa perlu terus hidup dari segi jasmani. Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman, supaya rasa sukacitamu dalam Kristus Yesus akan melimpah-limpah kerana aku, apabila aku menemuimu sekali lagi. Cuma pastikanlah kelakuanmu selaras dengan Injil Kristus. Dengan demikian, sama ada aku datang menemuimu ataupun tidak, aku akan dapat mendengar tentangmu, bahawa kamu berdiri teguh dalam satu roh, berjuang bersama dengan satu hati untuk iman berdasarkan Injil, dan sama sekali tidak takut akan musuh-musuhmu. Bagi mereka, ini adalah tanda kebinasaan tetapi bagimu adalah tanda penyelamatan daripada Allah. Kerana kepadamu telah dikurniakan bagi pihak Kristus, bukan sahaja untuk beriman kepada-Nya tetapi juga untuk menderita kerana-Nya. Dan kerana kamu juga menghadapi pertarungan yang kualami dahulu, perjuangan yang masih ada padaku.