FILIPI 1:12-26

FILIPI 1:12-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudaraku, aku mahu kamu tahu bahawa semua perkara yang berlaku kepadaku sesungguhnya menyebabkan lebih banyak orang mendengar Berita Baik itu. Akibatnya, semua pengawal istana dan orang di sini tahu bahawa aku dipenjarakan kerana aku hamba Kristus. Oleh sebab aku dipenjarakan, kebanyakan orang Kristian di kota ini mempunyai keyakinan yang lebih teguh kepada Tuhan. Mereka semakin berani mengkhabarkan berita itu tanpa berasa takut. Memang beberapa orang antara mereka mengkhabarkan Kristus kerana iri hati terhadap aku serta suka bertengkar. Tetapi yang lain mengisytiharkan Kristus dengan maksud yang baik. Mereka melakukan hal itu kerana mengasihi Allah dan aku. Mereka tahu bahawa Allah telah melantik aku untuk mempertahankan Berita Baik itu. Orang lain mengkhabarkan Kristus dengan maksud yang tidak baik. Mereka melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, kerana menyangka hal itu akan lebih menyusahkan aku sementara aku di dalam penjara. Tetapi tidak mengapa! Aku tetap bergembira, asal sahaja Kristus diberitakan dengan segala cara, baik dengan maksud yang baik ataupun yang salah. Aku akan terus bersukacita, kerana aku tahu bahawa dengan doa kamu dan dengan pertolongan daripada Roh Yesus Kristus, aku akan dibebaskan. Aku berharap dengan sepenuh hati supaya jangan sekali-kali aku gagal dalam tugasku. Tetapi pada setiap masa, terutama sekali sekarang, aku dapat berkata-kata dengan berani, sehingga dengan segenap jiwa raga, aku akan menyebabkan orang memuliakan Kristus, sama ada aku hidup ataupun mati. Bagiku, hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah. Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik. Tetapi bagi kepentingan kamu, lebih mustahak aku hidup. Aku yakin akan hal itu. Oleh itu aku tahu bahawa aku akan terus hidup untuk menolong kamu, supaya iman kamu semakin teguh dan kamu semakin bersukacita dalam kepercayaan kepada Kristus. Dengan demikian apabila aku bersama-sama kamu lagi, kamu akan mempunyai lebih banyak alasan untuk berbangga dengan aku, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.

FILIPI 1:12-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Akan tŭtapi kukahandaki kamu mŭngatahui saudara saudara, adapun sagala pŭrkara yang tŭlah bŭrlaku padaku itu, iya itu tŭrlebih mŭnjalankan pŭngajaran Injil itu. Sahingga nyatalah bŭlungguku itu kŭrna Almasih pada sŭgŭnap istana, dan pada sagala tŭmpat tŭmpat yang lain pun. Maka banyaklah saudara saudara yang dalam agama Tuhan bŭrtambah tambah yakin ulih sŭbab blungguku itu, maka makinlab lebih braninya bŭrkata kata pŭrkataan Allah dŭngan tiada takot. Maka sungguh pun ada juga sŭtŭngah orang yang mŭngajar derihal Almasih itu, dŭngan kadŭngkian dan pŭrbantahan, dan sŭtŭngah orang pula dŭngan karelaan hatinya. Maka sŭtŭngah yang mŭngajar derihal Almasih itu dŭngan pŭrbantahan, tiada dŭngan tulos hatinya, pada sangkanya iya handak mŭnambahi kasukaran blungguku. Tŭtapi yang lain itu dŭngan kasih, sŭbab dikŭtahuinya aku ini dilŭtakkannya supaya mŭnjadi pŭnangkis Injil. Apatah kŭlak? kŭndatilah bagimana pun baik, kalau dŭngan pura pura, atau dŭngan sŭbŭnarnya diajarkan derihal Almasih itu; maka dalam hal dŭmkian itu gŭmarlah aku, bahkan aku handak bŭrgŭmar juga. Kŭrna aku tahu, bahwa pŭrkara inilah kŭlak tŭrbalik mŭnjadi slamatku dŭngan tulongan doa kamu, sŭrta dŭngan tambahan Roh Isa Almasih. Spŭrti dŭngan bŭrahi, kumŭnantikan sŭrta harap, dalam suatu jua pun tiada aku mŭnjadi malu, tŭtapi dŭngan sangat brani, spŭrti pada sŭdiakalanya, maka dŭmkian juga skarang pun, Almasih itu akan dimŭgahkan dalam diriku, baik dŭngan hidop, baik dŭngan mati. Adapun hidopku ini kŭrna Almasih adanya, dan mati itulah kauntonganku. Tŭtapi jikalau hidop juga tubohku, maka inilah buah buahan kalŭlahanku: akan tŭtapi manakah yang handak kupileh itu tiadalah kukŭtahui. Kŭrna tŭrgŭpitlah aku diantara kadua itu, sŭbab handak pulang, supaya bŭrsama sama dŭngan Almasih; kŭrna itulah tŭrlebih baik. Tŭtapi jikalau hidop tubohku ini itupun tŭrlebih bŭrguna juga pada kamu. Maka adapun sŭbab harap yang dŭmkian itulah aku tahu, bahwa nanti aku tinggal kŭlak bŭsŭrta dŭngan kamu skalian kŭrna tambahan, dan kŭgŭmaran kamu dalam iman. Supaya tŭrmasamu itu kŭlak mŭlempahlah dalam Isa Almasih kŭrna aku, ulih sŭbab kadatanganku pada kamu lagi.

FILIPI 1:12-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil. Dengan demikian, nyatalah dalam kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa aku dipenjarakan kerana Kristus. Juga, kebanyakan saudara kita dalam Tuhan menjadi yakin kerana aku dipenjarakan, mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan. Ada orang yang memberitakan Kristus kerana hasad dengki dan persaingan, manakala ada juga dengan niat baik. Mereka ini melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa aku telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil. Sebaliknya, golongan yang pertama itu mengajar tentang Kristus untuk kepentingan diri sendiri, bukan dengan ikhlas, kerana mereka menyangka dengan berbuat demikian mereka dapat menyusahkan lagi aku yang terpenjara. Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, Kristus sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita. Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Yesus Kristus. Adalah jangkaan dan harapanku yang bersungguh-sungguh bahawa dalam apa hal pun aku tidak dipermalu, melainkan dengan segala keberanianku seperti biasa, maka sekarang juga Kristus akan ditinggikan dalam diriku, baik melalui hidup mahupun mati. Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan. Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu! Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan Kristus, itu jauh lebih baik, tetapi kerana kamu, aku berasa perlu terus hidup dari segi jasmani. Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman, supaya rasa sukacitamu dalam Kristus Yesus akan melimpah-limpah kerana aku, apabila aku menemuimu sekali lagi.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami