FILIPI 1:1-26

FILIPI 1:1-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Surat daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Kristus Yesus, dan surat ini ditujukan kepada umat Allah di Filipi yang bersatu dengan Kristus, termasuk para pemimpin dan penolong jemaah. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Setiap kali aku teringat akan kamu, aku bersyukur kepada Allah. Setiap kali aku berdoa untuk kamu, aku berdoa dengan sukacita. Aku bersukacita kerana kamu telah menolong aku sehingga dapat mengkhabarkan Berita Baik itu, sejak hari pertama sehingga sekarang. Aku yakin bahawa Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali. Aku sentiasa mengingati kamu dengan sukacita. Memang aku patut mempunyai perasaan seperti itu terhadap kamu, kerana kamu semua sudah memberikan kerjasama dalam menjalankan tugas khas yang diberikan oleh Allah kepadaku. Kamu melakukannya baik sekarang semasa aku dipenjarakan, mahupun dahulu sewaktu aku bebas membela dan mempertahankan Berita Baik itu. Allah tahu bahawa apa yang aku katakan ini benar. Aku mengasihi kamu dengan kasih yang berasal daripada Kristus Yesus. Aku berdoa supaya kasih kamu kepada Allah dan sesama manusia terus bertambah, sehingga kamu tahu akan apa yang benar dan dapat membuat pertimbangan yang sempurna. Dengan demikian kamu dapat memilih apa yang terbaik, sehingga pada Hari Kristus datang kembali kamu bebas daripada segala celaan dan tuduhan. Hidup kamu akan penuh dengan perbuatan yang benar-benar baik, kerana Yesus Kristus sahaja yang dapat menyebabkan kamu berbuat demikian. Oleh itu Allah akan dimuliakan dan dipuji. Saudara-saudaraku, aku mahu kamu tahu bahawa semua perkara yang berlaku kepadaku sesungguhnya menyebabkan lebih banyak orang mendengar Berita Baik itu. Akibatnya, semua pengawal istana dan orang di sini tahu bahawa aku dipenjarakan kerana aku hamba Kristus. Oleh sebab aku dipenjarakan, kebanyakan orang Kristian di kota ini mempunyai keyakinan yang lebih teguh kepada Tuhan. Mereka semakin berani mengkhabarkan berita itu tanpa berasa takut. Memang beberapa orang antara mereka mengkhabarkan Kristus kerana iri hati terhadap aku serta suka bertengkar. Tetapi yang lain mengisytiharkan Kristus dengan maksud yang baik. Mereka melakukan hal itu kerana mengasihi Allah dan aku. Mereka tahu bahawa Allah telah melantik aku untuk mempertahankan Berita Baik itu. Orang lain mengkhabarkan Kristus dengan maksud yang tidak baik. Mereka melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, kerana menyangka hal itu akan lebih menyusahkan aku sementara aku di dalam penjara. Tetapi tidak mengapa! Aku tetap bergembira, asal sahaja Kristus diberitakan dengan segala cara, baik dengan maksud yang baik ataupun yang salah. Aku akan terus bersukacita, kerana aku tahu bahawa dengan doa kamu dan dengan pertolongan daripada Roh Yesus Kristus, aku akan dibebaskan. Aku berharap dengan sepenuh hati supaya jangan sekali-kali aku gagal dalam tugasku. Tetapi pada setiap masa, terutama sekali sekarang, aku dapat berkata-kata dengan berani, sehingga dengan segenap jiwa raga, aku akan menyebabkan orang memuliakan Kristus, sama ada aku hidup ataupun mati. Bagiku, hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah. Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik. Tetapi bagi kepentingan kamu, lebih mustahak aku hidup. Aku yakin akan hal itu. Oleh itu aku tahu bahawa aku akan terus hidup untuk menolong kamu, supaya iman kamu semakin teguh dan kamu semakin bersukacita dalam kepercayaan kepada Kristus. Dengan demikian apabila aku bersama-sama kamu lagi, kamu akan mempunyai lebih banyak alasan untuk berbangga dengan aku, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.

FILIPI 1:1-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA Paulus dan Timothius, iya itu hamba hamba Isa Almasih, datang kapada sagala orang salih yang dalam agama Isa Almasih yang ada dinŭgri Filippi, sŭrta dŭngan sagala guru guru, dan sagala khadam khadam dalam agama. Maka nihmat, dan slamat deripada Allah iya itu Ayah kami, dan Tuhan Isa Almasih biarlah kiranya diatas kamu. Bahwa mŭnguchap shukorlah aku kapada Allahku, pada tiap tiap kali kutŭringat akan kamu. Sŭrta sŭntiasa dalam sagala doaku bagie kamu, kupohonkan dŭngan tŭrmasa; Kŭrna sŭbab pŭrskutuan kamu dŭngan Injil deri pŭrmulaan hari sampielah skarang ini. Sŭbab adalah kupŭrchaya akan pŭrkara inilah juga, iya itu Tuhan yang tŭlah mŭmulai suatu pŭkŭrjaan yang baik dalammu itu, maka iyalah juga kŭlak akan mŭnyampornakan dia itu sampie kapada masa kadatangan Isa Almasih. Maka adalah patut bagieku mŭngirakan dŭmkian ini deri hal kamu skalain, ulih sŭbab kamu adalah dalam hatiku; sŭdang dalam hal tŭrblungguku itu, dan dalam bichara dan katŭtapan Injil itu, maka kamu skalian mŭndapat sama bahgian anugrah dŭngan aku. Kŭrna bahwasanya Allah juga saksiku, bagimanakah rindu dŭndamnya aku akan kamu, laksana jantong limpat Isa Almasih. Maka inilah kupohonkan, supaya pŭngasihan kamu itu kŭlak makin lama makinlah bŭrtambah tambah dŭngan pŭngatahuan, dan dŭngan sagala akal halus; Supaya kamu dapat mŭngujikan pŭrkara pŭrkara yang tiada bŭrbetha; dan supaya kamu mŭnjadi tulos dŭngan tiada mŭndatangkan shak sampie kapada hari Almasih. Sŭbab kamu adalah bŭrisi dŭngan buah buahan kabŭnaran, iya itu yang deripada Isa Almasih, bagie kamuliaan dan kapujian Allah. Akan tŭtapi kukahandaki kamu mŭngatahui saudara saudara, adapun sagala pŭrkara yang tŭlah bŭrlaku padaku itu, iya itu tŭrlebih mŭnjalankan pŭngajaran Injil itu. Sahingga nyatalah bŭlungguku itu kŭrna Almasih pada sŭgŭnap istana, dan pada sagala tŭmpat tŭmpat yang lain pun. Maka banyaklah saudara saudara yang dalam agama Tuhan bŭrtambah tambah yakin ulih sŭbab blungguku itu, maka makinlab lebih braninya bŭrkata kata pŭrkataan Allah dŭngan tiada takot. Maka sungguh pun ada juga sŭtŭngah orang yang mŭngajar derihal Almasih itu, dŭngan kadŭngkian dan pŭrbantahan, dan sŭtŭngah orang pula dŭngan karelaan hatinya. Maka sŭtŭngah yang mŭngajar derihal Almasih itu dŭngan pŭrbantahan, tiada dŭngan tulos hatinya, pada sangkanya iya handak mŭnambahi kasukaran blungguku. Tŭtapi yang lain itu dŭngan kasih, sŭbab dikŭtahuinya aku ini dilŭtakkannya supaya mŭnjadi pŭnangkis Injil. Apatah kŭlak? kŭndatilah bagimana pun baik, kalau dŭngan pura pura, atau dŭngan sŭbŭnarnya diajarkan derihal Almasih itu; maka dalam hal dŭmkian itu gŭmarlah aku, bahkan aku handak bŭrgŭmar juga. Kŭrna aku tahu, bahwa pŭrkara inilah kŭlak tŭrbalik mŭnjadi slamatku dŭngan tulongan doa kamu, sŭrta dŭngan tambahan Roh Isa Almasih. Spŭrti dŭngan bŭrahi, kumŭnantikan sŭrta harap, dalam suatu jua pun tiada aku mŭnjadi malu, tŭtapi dŭngan sangat brani, spŭrti pada sŭdiakalanya, maka dŭmkian juga skarang pun, Almasih itu akan dimŭgahkan dalam diriku, baik dŭngan hidop, baik dŭngan mati. Adapun hidopku ini kŭrna Almasih adanya, dan mati itulah kauntonganku. Tŭtapi jikalau hidop juga tubohku, maka inilah buah buahan kalŭlahanku: akan tŭtapi manakah yang handak kupileh itu tiadalah kukŭtahui. Kŭrna tŭrgŭpitlah aku diantara kadua itu, sŭbab handak pulang, supaya bŭrsama sama dŭngan Almasih; kŭrna itulah tŭrlebih baik. Tŭtapi jikalau hidop tubohku ini itupun tŭrlebih bŭrguna juga pada kamu. Maka adapun sŭbab harap yang dŭmkian itulah aku tahu, bahwa nanti aku tinggal kŭlak bŭsŭrta dŭngan kamu skalian kŭrna tambahan, dan kŭgŭmaran kamu dalam iman. Supaya tŭrmasamu itu kŭlak mŭlempahlah dalam Isa Almasih kŭrna aku, ulih sŭbab kadatanganku pada kamu lagi.

FILIPI 1:1-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Kristus Yesus, Kepada semua orang salih dalam Kristus Yesus di Filipi, serta para penyelia dan penolong jemaah: Kasih kurnia dan damai sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Tuhan Yesus Kristus. Aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan kamu dan aku sentiasa mendoakanmu dengan sukacita dalam setiap permohonanku, kerana persahabatanmu dalam Injil dari mulanya hingga sekarang. Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus. Wajarlah aku memikirkan demikian tentang kamu semua kerana kamu sentiasa dalam hatiku. Kamu juga turut mendapat kasih kurnia Allah bersamaku, baik dalam hal aku dipenjarakan ini mahupun dalam mempertahankan dan meneguhkan Injil. Allah menjadi saksiku bahawa aku amat merindui kamu dengan kasih Kristus Yesus. Inilah doaku: Semoga kasihmu bertambah-tambah dengan pengetahuan dan pengertian, supaya kamu dapat mengetahui perkara-perkara yang baik, sentiasa tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari Kristus, serta dipenuhi dengan buah perbenaran yang datang melalui Yesus Kristus, untuk memuji dan memuliakan Allah. Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil. Dengan demikian, nyatalah dalam kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa aku dipenjarakan kerana Kristus. Juga, kebanyakan saudara kita dalam Tuhan menjadi yakin kerana aku dipenjarakan, mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan. Ada orang yang memberitakan Kristus kerana hasad dengki dan persaingan, manakala ada juga dengan niat baik. Mereka ini melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa aku telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil. Sebaliknya, golongan yang pertama itu mengajar tentang Kristus untuk kepentingan diri sendiri, bukan dengan ikhlas, kerana mereka menyangka dengan berbuat demikian mereka dapat menyusahkan lagi aku yang terpenjara. Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, Kristus sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita. Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Yesus Kristus. Adalah jangkaan dan harapanku yang bersungguh-sungguh bahawa dalam apa hal pun aku tidak dipermalu, melainkan dengan segala keberanianku seperti biasa, maka sekarang juga Kristus akan ditinggikan dalam diriku, baik melalui hidup mahupun mati. Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan. Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu! Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan Kristus, itu jauh lebih baik, tetapi kerana kamu, aku berasa perlu terus hidup dari segi jasmani. Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman, supaya rasa sukacitamu dalam Kristus Yesus akan melimpah-limpah kerana aku, apabila aku menemuimu sekali lagi.