OBAJA 1:8-15

OBAJA 1:8-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Demikianlah firman TUHAN: Bukankah pada hari itu Aku akan melenyapkan kalangan yang bijaksana daripada Edom, dan pengertian daripada pergunungan Esau? Juga para pahlawanmu, wahai Teman, akan kecewa dan terkejut, hinggakan lenyap semua orang di pergunungan Esau kerana telah terbunuh. Oleh sebab kekerasan terhadap saudaramu Yakub, maka kamu diliputi oleh cela, dan kamu akan dilenyapkan buat selama-lamanya. Pada hari kamu menyisihkan dan menjauhkan diri, manakala golongan orang luar itu mengangkut kekayaan Yerusalem dan golongan orang asing memasuki pintu gerbangnya dan mencabut undi bagi memperolehnya, kamu seperti seorang daripada mereka itu. Maka usah kamu memandang rendah terhadap saudaramu ketika dia mengalami nasib malang, dan janganlah kamu bergembira atas kebinasaan bani Yehuda; dan janganlah kamu berbangga dan bercakap besar pada hari kesusahan mereka. Janganlah masuk ke pintu gerbang umat-Ku pada hari mereka menerima bencana, bahkan janganlah pandang ringan malapetaka yang menimpanya pada hari sialnya. Dan janganlah kamu rampas kekayaannya ketika dia menghadapi bencana. Janganlah kamu berdiri di persimpangan untuk menghapuskan para pelarian mereka, dan janganlah kamu penjarakan kalangan mereka yang terselamat pada hari penderitaan itu. Sebab bagi segala bangsa, hari TUHAN sudah menjelang. Apa yang kamu lakukan kepada orang lain begitu jugalah akan dilakukan kepadamu, akibat perbuatanmu akan kembali menimpa kepalamu sendiri.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami