BILANGAN 25:1-18

BILANGAN 25:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Semasa umat Israel berkhemah di Lembah Sitim, kaum lelaki mereka mula bersetubuh dengan perempuan Moab yang tinggal di sana. Perempuan-perempuan itu mengajak mereka ke pesta-pesta korban untuk menghormati tuhan mereka. Orang Israel juga makan daging daripada korban itu dan menyembah tuhan orang Moab. Oleh sebab mereka menyembah Baal di Peor, TUHAN murka terhadap mereka dan berfirman kepada Musa, “Tangkaplah semua pemimpin umat dan bunuhlah mereka pada siang hari, menurut perintah-Ku, supaya Aku tidak lagi murka kepada umat ini.” Musa berkata kepada para hakim umat itu, “Kamu masing-masing mesti membunuh tiap-tiap orang daripada suku kamu yang sudah menyembah Baal di Peor.” Ketika Musa dan segenap umat sedang meratap di pintu Khemah TUHAN, mereka melihat seorang Israel membawa seorang perempuan Midian masuk ke dalam khemahnya. Apabila Pinehas anak Eleazar, iaitu cucu Imam Harun, nampak hal itu, dia bangun dan meninggalkan perhimpunan. Dia mengambil sebatang tombak, lalu menyusul lelaki dan perempuan itu ke dalam khemah; dia menikam kedua-duanya dengan tombak. Dengan demikian wabak yang sedang membinasakan orang Israel berhenti. Namun orang yang mati sudah berjumlah 24,000 orang. TUHAN berfirman kepada Musa, “Pinehas anak Eleazar, cucu Imam Harun, sudah meredakan kemurkaan-Ku terhadap Israel. Dia tidak membiarkan Israel menyembah tuhan lain kecuali Aku, sehingga kemurkaan-Ku reda dan Aku tidak membinasakan umat itu. Maka beritahulah Pinehas bahawa Aku mengadakan perjanjian dengan dia yang akan berlaku selama-lamanya. Oleh sebab dia tidak membiarkan Israel menyembah tuhan lain, dan dia juga sudah mendatangkan pengampunan dosa bagi umat itu, dia dan keturunannya akan menjadi imam selama-lamanya.” Nama orang Israel yang dibunuh bersama-sama perempuan Midian itu ialah Zimri anak Salu; dia ketua satu keluarga dalam suku Simeon. Nama perempuan itu ialah Kozbi. Zur, bapa perempuan itu, ialah penghulu sekumpulan puak orang Midian. TUHAN memberikan perintah ini kepada Musa, “Serbulah orang Midian dan kalahkanlah mereka, kerana kejahatan yang dilakukan mereka terhadap kamu ketika mereka menipu kamu di Peor, dan juga kerana Kozbi yang dibunuh di Peor pada masa wabak berlaku.”

BILANGAN 25:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sewaktu orang Israel berkelana di Sitim, umat itu mula berzina dengan perempuan bani Moab. Para perempuan itu memujuk orang Israel untuk mengikuti upacara korban sembelihan bagi tuhan mereka lalu umat itu pun turut makan dan sujud menyembah tuhan mereka. Dengan demikian, orang Israel turut beribadat kepada Baal di Peor itu sehingga menyala-nyalalah kemurkaan TUHAN terhadap orang Israel. Firman TUHAN kepada Musa, “Tangkaplah semua ketua suku bangsa itu dan gantunglah mereka di bawah cahaya matahari di hadapan TUHAN, supaya teralihlah kemurkaan TUHAN yang sedang menyala-nyala terhadap Israel itu.” Maka kepada para hakim orang Israel, berkatalah Musa, “Hendaklah masing-masing membunuh mana-mana orang kamu yang telah turut beribadat kepada Baal di Peor.” Ketika Musa dan seluruh kalangan umat Israel sedang menangis di depan pintu Khemah Pertemuan itu, muncullah di hadapan mata mereka seorang daripada kalangan orang Israel yang membawa seorang perempuan Midian kepada sanak saudaranya. Melihat hal itu, segeralah Pinehas anak Eleazar anak Imam Harun meninggalkan umat itu lantas diambilnya sebuah tombak dan dikejarnya orang Israel itu sampai ke dalam khemah, lalu ditikamnya perut mereka berdua, iaitu orang Israel serta perempuan itu. Maka wabak yang melanda orang Israel itu pun berhenti. Orang Israel yang mati kerana wabak itu seramai dua puluh empat ribu orang semuanya. Firman TUHAN kepada Musa, “Pinehas anak Eleazar anak Imam Harun telah menyurutkan kemurkaan-Ku terhadap orang Israel. Begitu bersemangat dia membela kehormatan-Ku di tengah-tengah mereka, sehingga Aku tidak memusnahkan semua orang Israel dalam cemburu-Ku. Oleh sebab itu katakanlah bahawa sesungguhnya Aku mengurniakan kepadanya perjanjian damai-Ku. Dia dan keturunannya kelak akan memperoleh perjanjian jawatan imam untuk selama-lamanya, kerana dia begitu bersemangat membela Allahnya serta mengusahakan pendamaian bagi orang Israel.” Nama orang Israel yang mati dibunuh bersama dengan perempuan Midian itu ialah Zimri anak Salu, seorang pemimpin kaum keluarga Simeon manakala nama perempuan Midian yang dibunuh itu ialah Kozbi anak Zur. Zur ialah seorang ketua suku daripada kaum keluarga orang Midian. Firman TUHAN kepada Musa, “Lawanlah orang Midian dan tewaskanlah mereka, kerana mereka telah melawan kamu dengan tipu daya. Mereka memperdayakan kamu, baik dalam hal Peor mahupun dalam hal Kozbi, saudara perempuan mereka, anak pemimpin Midian yang dibunuh pada waktu wabak melanda atas sebab musibah Peor.”