BILANGAN 24:10-19

BILANGAN 24:10-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Dengan sangat murka, Raja Balak menggenggam penumbuk lalu bertitah kepada Bileam, “Beta menyuruh kamu mengutuk musuh beta, tetapi kamu memberkati mereka pula sampai tiga kali. Sekarang pulanglah! Walaupun beta berjanji mengupah kamu, tetapi TUHAN tidak membenarkan kamu menerima upah.” Bileam menjawab, “Hamba sudah memberitahu para utusan tuanku bahawa walaupun tuanku memberi hamba segala perak dan emas di istana tuanku, hamba tidak dapat melawan perintah TUHAN dengan melakukan kehendak hamba sendiri. Hamba hanya mengucapkan apa yang disuruh oleh TUHAN.” Bileam berkata kepada Raja Balak, “Sekarang hamba hendak pulang kepada bangsa hamba. Tetapi sebelum hamba pergi, biarlah hamba memberitahu tuanku apa yang akan dilakukan umat Israel terhadap bangsa tuanku pada kemudian hari.” Kemudian Bileam mengucapkan nubuat ini, “Inilah perkhabaran Bileam anak Beor, ucapan seorang yang melihat dengan jelas, seorang yang mendengar firman Allah, dan menerima pengetahuan daripada Yang Maha Tinggi; seorang yang nampak penglihatan daripada Allah Yang Maha Kuasa sambil rebah, namun dengan mata terbuka. Aku melihat masa hadapan, aku nampak bangsa Israel. Daripada bangsa itu, seorang raja datang, raja itu seperti bintang cemerlang, yang muncul daripada Israel. Dia akan membinasakan para pemimpin Moab, dan menghancurkan semua orang Set. Dia akan menaklukkan musuhnya di Edom, lalu menjadikan tanah mereka miliknya, dan Israel akan terus menjadi pemenang. Bangsa Israel akan menginjak-injak mereka, dan membinasakan semua musuh yang masih hidup.”

BILANGAN 24:10-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka menyalalah amarah Balak terhadap Bileam. Ditepuknya kedua-dua tangannya lalu berkatalah dia kepada Bileam, “Aku memanggil kamu untuk mengutuk musuhku, tetapi kamu malah mengucapkan berkat ke atas mereka hingga tiga kali! Sekarang, nyahlah kamu! Pulanglah ke tempatmu! Aku pernah berkata bahawa aku akan membuat kamu kaya. Tetapi lihat, TUHAN tidak mengizinkan kamu memperoleh kekayaan itu.” Kata Bileam kepada Balak, “Bukankah telah kukatakan kepada orang utusan yang kaukirim kepadaku, bahawa sekalipun Balak memberikan kepadaku perak dan emas yang memenuhi sebuah istana, aku tidak dapat melanggar firman TUHAN untuk melakukan hal yang baik atau jahat atas niat hatiku sendiri. Apa yang difirmankan TUHAN, itulah yang akan kukatakan. Jadi, sekarang aku akan kembali kepada bangsaku. Tetapi marilah, akan kuberitahukan kepadamu apa yang akan dilakukan bangsa itu terhadap bangsamu pada kemudian hari.” Lalu berwacanalah dia, katanya, “Pernyataan Bileam anak Beor, pernyataan orang yang matanya kini terbuka. Pernyataan orang yang mendengar firman Allah, dan mengetahui ilmu pengetahuan daripada Yang Maha Tinggi dan mendapat penglihatan daripada Yang Maha Kuasa; yang rebah namun matanya tersingkap: Aku melihat dia tetapi bukan sekarang. Aku memandang dia tetapi bukan dari dekat. Sebuah bintang akan terbit daripada Yakub, sebuah cokmar pemerintahan akan timbul dari Israel, yang akan meremukkan dahi segala bani Moab dan merobohkan semua bani Set. Edom akan diduduki, dan Seir juga, musuhnya akan kehilangan semua milik mereka, sedangkan Israel akan melakukan perbuatan yang gagah perkasa. Daripada Yakub akan muncul seorang penuh berkuasa, yang akan membinasakan orang yang terselamat daripada kota-kota raya.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami