BILANGAN 19:1-22
BILANGAN 19:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN memerintah Musa dan Harun untuk memberi umat Israel peraturan berikut. Seekor lembu betina merah yang tidak ada cacat dan yang belum pernah digunakan untuk bekerja harus diberikan kepada Musa dan Harun. Kemudian Musa dan Harun akan menyerahkan lembu itu kepada Imam Eleazar. Lembu itu harus dibawa ke luar perkhemahan dan disembelih di hadapan Imam Eleazar. Kemudian dengan jarinya, Eleazar akan mengambil sedikit darah lembu itu, lalu memercikkannya tujuh kali ke arah Khemah TUHAN. Seluruh lembu itu, termasuk kulit, daging, darah, dan ususnya harus dibakar di hadapan imam. Selanjutnya imam itu harus mengambil sedikit kayu sedar, setangkai hisop, dan seutas tali merah, lalu melemparkan semuanya ke dalam api yang sedang membakar lembu merah itu. Kemudian imam harus mencuci pakaiannya dan mandi, barulah dia boleh masuk ke perkhemahan, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Orang yang membakar lembu itu mesti mencuci pakaiannya dan mandi, tetapi dia juga tetap najis sehingga matahari terbenam. Selepas itu seorang yang tidak najis harus mengumpulkan abu lembu tadi dan meletakkannya di luar perkhemahan, di suatu tempat yang tidak najis. Abu itu disimpan di situ supaya umat Israel dapat menggunakannya untuk menyediakan air bagi upacara penyucian. Upacara itu dilakukan untuk menghapuskan dosa. Orang yang mengumpulkan abu itu mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Peraturan ini berlaku selama-lamanya bagi umat Israel mahupun orang asing yang tinggal di kalangan mereka. Sesiapa yang menyentuh mayat menjadi najis selama tujuh hari. Pada hari ketiga dan hari ketujuh, orang itu harus menyucikan diri dengan air upacara penyucian, barulah dia menjadi suci. Tetapi jika dia tidak menyucikan diri pada hari ketiga dan hari ketujuh, dia tetap najis. Sesiapa yang menyentuh mayat dan tidak menyucikan diri tetap najis, kerana air untuk upacara penyucian belum disiram ke atasnya. Orang itu menajiskan Khemah TUHAN, kerana itu dia tidak lagi dianggap anggota umat Allah. Apabila seseorang mati di dalam sebuah khemah, sesiapa sahaja yang berada di dalam khemah itu, atau sesiapa sahaja yang masuk ke dalamnya akan menjadi najis selama tujuh hari. Semua kendi dan periuk yang tidak bertudung di dalam khemah itu menjadi najis. Setiap orang yang menyentuh mayat orang yang mati dibunuh, atau yang mati biasa di luar rumah, menjadi najis selama tujuh hari. Begitu juga orang yang menyentuh kubur atau tulang orang mati. Untuk menyucikan orang yang najis itu, sedikit abu lembu betina merah yang dibakar untuk menghapuskan dosa, harus diambil. Abu itu mesti dimasukkan ke dalam sebuah periuk, lalu dituangi air yang diambil dari air yang mengalir. Bagi hal yang pertama, iaitu apabila ada orang yang mati di dalam khemah, seorang yang tidak najis harus mengambil setangkai hisop dan mencelupkannya ke dalam air itu, lalu memercikkannya pada khemah serta semua barang dan orang yang ada di dalam khemah. Bagi hal yang kedua, iaitu apabila seseorang menyentuh mayat, kubur atau tulang orang mati, seorang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis dengan cara yang sama juga. Orang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis, pada hari yang ketiga dan hari yang ketujuh. Pada hari yang ketujuh, selesailah upacara penyucian orang yang najis itu. Orang itu harus membasuh pakaiannya dan mandi. Mulai saat matahari terbenam orang itu menjadi suci. Sesiapa yang menjadi najis tetapi tidak melakukan upacara penyucian diri, akan tetap najis kerana air untuk upacara penyucian belum disiram ke atasnya. Orang itu menajiskan Khemah TUHAN dan tidak lagi dianggap anggota umat Allah. Kamu harus mematuhi peraturan ini selama-lamanya. Orang yang memercikkan air untuk upacara penyucian itu mesti membasuh pakaiannya. Sesiapa yang menyentuh air untuk upacara penyucian itu menjadi najis sehingga matahari terbenam. Apa sahaja yang disentuh oleh seorang yang najis akan menjadi najis, dan orang lain yang menyentuhnya juga menjadi najis sehingga matahari terbenam.
BILANGAN 19:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Inilah ketetapan hukum yang diperintahkan TUHAN: Suruhlah orang Israel membawa kepadamu seekor lembu betina warna merah yang tidak bercacat cela, dan yang belum pernah dipasangkan kuk. Serahkanlah lembu itu kepada Imam Eleazar. Selanjutnya hendaklah lembu itu dibawa ke luar perkhemahan dan hendaklah disembelih di hadapannya. Kemudian, hendaklah Imam Eleazar mengambil sebahagian daripada darah lembu itu dengan jarinya dan memercikkannya tujuh kali ke sebelah depan Khemah Pertemuan. Lalu hendaklah lembu itu dibakar di hadapan matanya. Hendaklah kulit, daging, darah, malah kotoran lembu itu dibakar. Setelah itu, hendaklah imam mengambil kayu araz, ranting hisop, dan kain merah tua, lalu melemparkannya ke dalam api yang sedang membakar lembu itu. Kemudian hendaklah imam mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air, baru sesudah itu dia boleh masuk ke perkhemahan. Namun demikian, imam itu menjadi najis sampai waktu maghrib. Orang yang membakar lembu itu juga harus mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air, dan dia juga menjadi najis sampai waktu maghrib. Selanjutnya hendaklah seorang yang suci mengumpulkan abu lembu itu dan meletakkannya di suatu tempat yang suci di luar perkhemahan. Abu itu harus disimpan agar kalangan umat Israel dapat memakainya untuk membuat air pembersih kecemaran demi menghapuskan dosa. Maka, hendaklah orang yang mengumpulkan abu lembu itu mencuci pakaiannya, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. Ketetapan itu berkuat kuasa untuk selama-lamanya, baik bagi orang Israel mahupun bagi pendatang yang tinggal dalam kalangan mereka. Sesiapa yang menyentuh mayat akan menjadi najis selama tujuh hari. Hendaklah dia menyucikan dirinya dengan air itu pada hari ketiga, dan pada hari ketujuh dia menjadi suci. Tetapi jika dia tidak menyucikan diri pada hari ketiga, maka pada hari ketujuh dia tidak menjadi suci. Sesiapa yang menyentuh mayat, iaitu tubuh manusia yang telah mati, tetapi tidak menyucikan dirinya, maka dia menajiskan Khemah Suci TUHAN dan hendaklah disingkirkan daripada Israel. Dia najis kerana air pembersih kecemaran tidak dipercikkan padanya, dan kenajisannya tetap melekat padanya. Inilah hukumnya jika seseorang mati di dalam khemah: sesiapa pun yang masuk ke dalam khemah itu dan sesiapa sahaja yang telah berada di dalam khemah itu menjadi najis selama tujuh hari. Malahan semua wadah yang terbuka, tanpa penutup yang melekat di atasnya juga menjadi najis. Sesiapa pun di padang terbuka yang menyentuh orang yang terbunuh dengan pedang, menyentuh mayat biasa, menyentuh tulang belulang manusia, atau menyentuh makam, dia menjadi najis selama tujuh hari. Hendaklah orang yang najis itu mengambil sebahagian daripada abu korban penghapus dosa yang dibakar, letakkannya di dalam sebuah wadah, lalu tuangkan padanya air segar daripada mata air. Selanjutnya, hendaklah seorang yang suci mengambil ranting hisop dan mencelupnya ke dalam air itu. Kemudian air itu harus dipercikkan pada khemah tadi, pada semua wadah, pada orang yang ada di dalam khemah, atau pada orang yang telah menyentuh tulang belulang, menyentuh mayat orang yang dibunuh, menyentuh mayat biasa, atau menyentuh makam tadi. Hendaklah orang yang suci itu memercikkan orang yang najis itu, baik pada hari ketiga mahupun pada hari ketujuh, dan pada hari ketujuh hendaklah dia menyucikannya. Kemudian hendaklah orang itu mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, hingga pada waktu maghrib dia menjadi suci. Akan tetapi, hendaklah orang yang menjadi najis dan tidak menyucikan dirinya disingkirkan daripada kalangan umat, kerana dia telah menajiskan tempat suci TUHAN. Dia tetap najis kerana air pembersih kecemaran tidak dipercikkan padanya. Itulah ketetapan yang berkuat kuasa selama-lamanya bagi mereka. Orang yang memercikkan air pembersih kecemaran itu pun harus mencuci pakaiannya, dan orang yang menyentuh air pembersih kecemaran itu menjadi najis sampai waktu maghrib. Barang apa-apa pun yang disentuh oleh orang yang najis akan menjadi najis, dan sesiapa menyentuh barang itu akan menjadi najis juga sampai waktu maghrib.”