BILANGAN 11:24-30
BILANGAN 11:24-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Oleh itu Musa keluar dan memberitahu umat Israel apa yang difirmankan TUHAN. Musa mengumpulkan tujuh puluh orang pemimpin dan menyuruh mereka berdiri di sekeliling Khemah TUHAN. Kemudian TUHAN turun di dalam awan dan berfirman kepada Musa. TUHAN mengambil sebahagian daripada kuasa yang sudah diberikan-Nya kepada Musa, lalu memberikan kuasa itu kepada tujuh puluh orang pemimpin itu. Ketika Roh TUHAN turun ke atas mereka, mereka mula berseru seperti nabi, tetapi tidak lama. Dua daripada tujuh puluh orang pemimpin itu, iaitu Eldad dan Medad, tinggal di perkhemahan dan tidak pergi ke Khemah TUHAN. Di perkhemahan itu, Roh turun ke atas mereka dan mereka pun mula berseru seperti nabi. Seorang pemuda lari keluar untuk memberitahu Musa tentang hal yang berlaku kepada Eldad dan Medad. Kemudian Yosua anak Nun, yang telah membantu Musa sejak masa mudanya, berkata kepada Musa, “Tuan, suruhlah mereka diam!” Musa menjawab, “Adakah engkau memikirkan hal aku? Aku sangat berharap agar TUHAN memberikan Roh-Nya kepada semua umat-Nya, dan menyebabkan mereka semua berseru seperti nabi!” Selepas itu Musa dan para pemimpin Israel itu balik ke perkhemahan.
BILANGAN 11:24-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka keluarlah Musa lalu disampaikannya firman TUHAN kepada bangsa itu. Dia mengumpulkan tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua bangsa itu dan disuruhnya mereka berdiri di sekeliling Khemah. Kemudian TUHAN hadir dalam awan dan berfirman kepada Musa. Diambil-Nya sebahagian daripada Roh yang ada pada Musa, lalu diletakkan-Nya pada kesemua tujuh puluh tua-tua umat itu. Ketika Roh itu turun ke atas mereka, bernubuatlah mereka seperti nabi, tetapi sesudah itu mereka tidak lagi bernubuat. Akan tetapi, ada dua orang tertinggal di perkhemahan, seorang bernama Eldad dan seorang lagi bernama Medad. Mereka termasuk antara orang yang tercatat, tetapi tidak turut pergi ke Khemah. Walaupun demikian, Roh itu pun turun ke atas mereka dan mereka bernubuat seperti nabi di perkhemahan. Lalu seorang muda berlari memberitahukan hal itu kepada Musa, katanya, “Eldad dan Medad bernubuat seperti nabi di perkhemahan.” Yosua anak Nun, yang menjadi pembantu Musa sejak masa mudanya, berkata, “Tuanku Musa, cegahlah mereka!” Tetapi kata Musa kepadanya, “Adakah kamu mencemburui hal itu demi aku? Kalau sahaja seluruh umat TUHAN menjadi nabi kerana TUHAN mengurniakan Roh-Nya kepada mereka!” Setelah itu, Musa kembali ke perkhemahan bersama-sama tua-tua Israel.