NEHEMIA 9:2-5 - Compare All Versions
NEHEMIA 9:1-5 BM (Alkitab Berita Baik)
Pada hari kedua puluh empat bulan itu juga, umat Israel berkumpul. Mereka berpuasa untuk menunjukkan bahawa mereka menyesali dosa mereka. Mereka sudah memisahkan diri daripada semua orang bangsa asing. Mereka memakai kain guni dan menaruh debu di atas kepala sebagai tanda bersedih. Kemudian mereka berdiri dan mengakui segala dosa mereka dan dosa nenek moyang mereka. Selama kira-kira tiga jam, kitab Taurat TUHAN, Allah mereka dibacakan kepada mereka, dan selama tiga jam berikutnya mereka mengakui dosa dan menyembah TUHAN, Allah mereka. Di situ ada pentas yang disediakan untuk orang Lewi. Yesua, Bani, Kadmiel, Sebanya, Buni, Serebya, Bani, dan Kenani berdiri di atas pentas itu. Mereka berdoa kepada TUHAN, Allah mereka dengan suara nyaring. Ibadat pada hari itu dimulakan oleh orang Lewi yang berikut: Yesua, Kadmiel, Bani, Hasabneya, Serebya, Hodia, Sebanya, dan Petahya. Mereka berkata, “Marilah berdiri dan memuji TUHAN, Allah kita; pujilah Dia selama-lamanya! Pujilah nama-Nya yang penuh kemuliaan, nama yang lebih agung daripada segala pujian!”
NEHEMIA 9:2-5 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Orang Israel yang sejati mengasingkan diri daripada semua orang asing lalu berdiri mengakui dosa mereka dan kesalahan nenek moyang mereka. Selama seperempat hari mereka berdiri di tempat masing-masing demi mendengar pembacaan daripada Kitab Taurat TUHAN, Allah mereka. Kemudian selama seperempat hari berikutnya mereka mengakui dosa dan sujud menyembah TUHAN, Allah mereka. Lalu dari atas mimbar bani Lewi berdirilah Yesua, Bani, Kadmiel, Sebanya, Buni, Serebya, Bani, dan Kenani lalu berseru dengan suara yang nyaring kepada TUHAN, Allah mereka. Maka berkatalah beberapa orang Lewi, iaitu Yesua, Kadmiel, Bani, Hasabneya, Serebya, Hodia, Sebanya, dan Petahya, “Bangunlah dan pujilah TUHAN, Allahmu, dari abadi sampai abadi! Segala puji-pujian atas nama-Mu yang mulia, yang ditinggikan mengatasi segala puji dan hormat.”