NEHEMIA 8:5-6,8-12
NEHEMIA 8:5-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Pentas tempat Ezra berdiri lebih tinggi daripada semua orang itu, sehingga mereka dapat melihat Ezra. Sebaik sahaja Ezra membuka kitab itu, mereka semua berdiri. Ezra berkata, “Pujilah TUHAN, Allah yang agung!” Semua umat itu mengangkat tangan tinggi-tinggi dan menjawab, “Amin! Amin!” Kemudian mereka bersujud menyembah Allah.
NEHEMIA 8:8-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka menterjemahkan Taurat Allah itu bahagian demi bahagian dan menghuraikannya supaya rakyat mengerti. Apabila rakyat mendengar pembacaan Taurat itu, mereka begitu terharu sehingga mereka menangis. Oleh itu Gabenor Nehemia dan Imam Ezra, ahli Taurat itu, dan orang Lewi yang sedang menghuraikan Taurat itu memberitahu rakyat, “Hari ini hari yang khas untuk TUHAN, Allah kamu. Oleh itu janganlah bersedih atau menangis. Pulanglah dan adakanlah jamuan makan. Bahagikanlah makanan dan wain kamu kepada mereka yang kekurangan. Hari ini hari yang khas bagi Tuhan kita. Oleh itu janganlah berdukacita. Kesukaan yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu akan menguatkan kamu.” Orang Lewi berjalan ke sana sini untuk menenangkan rakyat dan berkata berulang kali, “Janganlah berdukacita pada hari yang khas ini.” Kemudian semua orang itu pulang. Mereka makan dan minum sambil bersukacita, serta membahagikan makanan kepada orang lain, kerana mereka faham akan makna pembacaan yang didengar mereka itu.
NEHEMIA 8:5-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ezra membuka kitab itu di hadapan mata seluruh rakyat, kerana dia berdiri lebih tinggi daripada semua orang. Apabila dia membuka kitab itu, seluruh rakyat bangkit berdiri. Kemudian Ezra memuji TUHAN, Allah Yang Maha Besar, dan seluruh rakyat menjawab, “Amin, amin!” sambil menadahkan tangan. Mereka pun menundukkan kepala dan sujud menyembah TUHAN.
Nehemia 8:8-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mereka membacakan kitab itu iaitu hukum Allah dengan jelas, sambil memberitahukan maknanya sehingga pembacaan itu difahami oleh para hadirin. Kemudian Nehemia, pembesar itu, dan Imam Ezra, ahli Kitab Suci Taurat itu, juga bani Lewi yang mengajar umat itu berkata kepada seluruh rakyat, “Hari ini suci bagi TUHAN, Allahmu. Jangan berdukacita atau menangis!” Seluruh rakyat memang menangis ketika mendengar perkataan hukum Taurat itu. Kata Nehemia kepada mereka, “Pergilah, makanlah yang sedap-sedap, minumlah yang manis-manis, dan kirimlah makanan kepada orang yang tidak menyiapkan apa-apa, kerana hari ini suci bagi Tuhan kita. Janganlah kamu berduka, sebab sukacita daripada TUHAN ialah kekuatan kamu.” Lalu bani Lewi turut meminta seluruh rakyat tenang dengan berkata, “Bertenanglah. Hari ini hari suci. Jangan berduka.” Lalu seluruh rakyat pergi untuk makan, minum, saling mengirim makanan, dan mengadakan pesta besar, kerana mereka sudah memahami kata-kata yang disampaikan kepada mereka.