MARKUS 9:2-9
MARKUS 9:2-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. Ketika mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah. Pakaian-Nya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi dapat membasuh kain sehingga menjadi seputih itu. Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus. Petrus berkata kepada Yesus, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakannya, kerana dia dan kedua-dua orang kawannya sangat takut. Lalu awan meliputi mereka dan terdengar suara dari awan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah Dia!” Mereka melihat di sekeliling, tetapi tidak nampak sesiapa pun bersama-sama mereka kecuali Yesus. Ketika mereka turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu nampak, selagi Anak Manusia belum bangkit daripada kematian.”
MARKUS 9:2-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Hata kumdian deripada anam hari, maka dibawalah ulih Isa akan Petros, dan Yakob, dan Yahya, dipimpinnya akan marika itu naik ka’atas sa’buah gunong yang tinggi, bŭrsunyi sunyilah marika itu, maka bŭrubahlah iya dihadapan marika itu. Maka pakieannya pun jadilah bŭrchahya tŭrlalu putehnya spŭrti thalj, maka suatu tukang pun tiadalah yang bulih mŭmbuat tŭrlebih puteh deripada itu diatas bumi ini. Maka klihatanlah kapada marika itu Ilias dŭngan Musa, maka marika itu bŭrtutor dŭngan Isa. Lalu kata Petros kapada Isa, Tuhan, baiklah kiranya bagie kita diam disini, maka biarlah kami mŭmbuatkan tiga khemah, sa’buah bagiemu, dan sa’buah bagie Musa, dan sa’buah bagie Ilias. Kŭrna tiadalah dikŭtahuinya apa katanya, kŭrna marika itu ada sangat kŭtakotan. Maka datanglah suatu awan mŭngŭlubongi akan marika itu, maka datanglah suatu suara kluar deripada awan itu, katanya, Inilah anakku yang kukasih, dŭngarlah barang katanya. Maka tiba tiba apabila dilihatnya ulih marika itu bŭrkliling, maka sa’orang pun tiada tampak lagi, hanya Isa sahja bŭrsama sama dŭngan marika itu. Maka tŭngah handak turonlah marika itu deri gunong itu, maka dipinta Isa kapada marika itu, supaya jangan dikatakan ulih marika itu kapada sa’orang pun barang yang tŭlah dilihatnya, sampie Anak manusia itu bŭrbangkit deripada mati.
MARKUS 9:2-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Enam hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi. Di situ Yesus berubah rupa di hadapan mata mereka. Pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan laksana salji, tiada siapa di bumi ini dapat memutihkan kain sehingga seputih itu. Elia dan Musa muncul pula di hadapan mereka lalu bercakap dengan Yesus. Lalu Petrus berkata kepada Yesus, “Rabbi, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah — satu untuk Engkau, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” (Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang hendak dikatakannya, kerana mereka amat ketakutan.) Segumpal awan meliputi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!” Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Yesus. Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah dilihat mereka, sehingga Anak Manusia bangkit daripada kematian.