MARKUS 8:22-38

MARKUS 8:22-38 Alkitab Berita Baik (BM)

Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh. Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Yesus meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, “Dapatkah kamu lihat sesuatu?” Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan.” Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali. Lalu Yesus menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.” Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut kata orang, siapakah Aku ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada pula yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata salah seorang nabi.” “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah!” Lalu Yesus memerintah mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun perkara tentang diri-Ku.” Kemudian Yesus mula mengajar pengikut-pengikut-Nya, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, dan tidak akan diterima oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.” Yesus mengatakan hal ini kepada mereka dengan jelas sekali. Oleh itu Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia. Tetapi Yesus berpaling dan memandang pengikut-pengikut-Nya, lalu menegur Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!” Kemudian Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai di situ. Dia berkata kepada mereka, “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya untuk-Ku dan untuk Berita Baik daripada Allah, akan menyelamatkannya. Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? Dapatkah hidup itu ditukar dengan sesuatu? Tentu tidak. Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku pada zaman yang derhaka dan jahat ini, Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu, apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan Bapa-Nya berserta malaikat-malaikat-Nya yang suci.”

MARKUS 8:22-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka datanglah iya kaBethseida; maka dibawalah ulih marika itu sa’orang orang buta kapadanya, supaya dijamahnya akan dia. Maka dipŭgangnyalah akan orang buta deri tangan, lalu dipimpinnya kluar nŭgri; maka sŭtlah sudah diludahnya akan matanya, lalu dilŭtakkannya tangannya kaatasnya, sŭrta ditanya akan dia, kalau ada iya mŭlihat apa apa. Maka tŭngadahlah iya, lalu katanya, aku mŭlihat orang spŭrti pohon pohon bŭrjalan. Kumdian deripada itu, dibubohnya pula tangannya kaatas matanya disurohnya tŭngadah: maka sŭmbohlah iya, maka dilihatnya skalian orang dŭngan trangnya. Maka disurohnya akan dia kŭmbali karumahnya, katanya, Jangan angkau pŭrgi kadalam nŭgri, janganlah angkau katakan kapada sa’orang pun dalam nŭgri. ¶ Maka Isa sŭrta murid muridnya pun kluarlah pŭrgi kapada nŭgri Kisaria Filipi: maka dijalan, bŭrtanyalah iya kapada murid muridnya, katanya kapada marika itu, Siapakah orang orang kata aku ini? Maka jawab marika itu, Yahya Pŭmbaptisa: tŭtapi kata sŭtŭngah, Elias; dan kata orang lain, sa’orang deripada nabi nabi. Maka katanya kapada marika itu, Tŭtapi kamu kata siapakah aku ini? Maka jawab Petros sŭrta katanya kapadanya, Bahwa angkaulah dia Almasih. Maka dipintanya kapada marika itu, supaya jangan dikatakan ulih marika itu kapada sa’orang pun derihalnya. Dimulainya mŭngajar akan marika itu, adapun Anak manusia itu dapat tiada mŭrasai sŭngsara, sŭrta ditolakkan ulih orang tua tua, dan kapala kapala Imam, dan khatib khatib, sŭrta dibunohnya, maka kumdian deripada tiga hari kŭlak iya akan bŭrbangkit pula. Maka dikatakannya akan pŭrkataan itu nyata nyata, maka diambil ulih Petros akan dia, sŭrta dimulainya tŭngkingkan dia. Tŭtapi apabila bŭrpalinglah iya sŭrta mŭlihat akan murid muridnya, maka ditŭngkingnya akan Petros, katanya, Lalu angkau deri hadapanku Shietan: kŭrna tiada angkau indahkan barang pŭrkara pŭrkara yang jadi deripada Allah, mŭlainkan pŭrkara pŭrkara yang jadi deri pada manusia. ¶ Maka apabila sudahlah dipanggilnya orang orang itu kapadanya sŭrta dŭngan murid muridnya pun, maka katanya kapada marika itu, Barang siapa yang handak mŭngikot aku, maka biarlah iya mŭnyangkali akan dirinya sŭndiri, sŭrta mŭngangkat salibnya, lalu mŭngikot aku. Kŭrna barang siapa yang handak mŭmliharakan jiwanya, maka iya akan hilang dia; tŭtapi barang siapa akan mŭnghilangkan jiwanya ulih sŭbab aku, dan sŭbab Injil pun, maka iya itu akan tŭrplihara; Kŭrna apakah kŭlak kauntongan bagie sa’orang manusia jikalau iya akan mŭndapat sagala dunia ini, tŭtapi jiwanya sŭdiri hilang? Atau apakah sa’orang manusia mŭmbri ganti jiwanya itu? Maka sŭbab itu, jikalau kiranya barang siapa malu mŭnŭrima akan daku, dan akan pŭrkataanku dalam bangsa pŭrsundalan dan bŭrdosa ini, maka kapadanyalah kŭlak akan Anak manusia pun malu mŭnŭrima, apabila iya datang kŭlak dalam kamulian Ayahnya, sŭrta maliekat maliekatnya yang suchi itu.

MARKUS 8:22-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus dan murid-murid-Nya tiba di Betsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus dan memohon agar Dia menyentuhnya. Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Yesus meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, “Adakah kamu melihat apa-apa?” Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.” Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh. Yesus pun menyuruhnya pulang sambil berkata, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.” Setelah itu, Yesus dan murid-murid-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut orang, Aku ini siapa?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata, Yohanes Pembaptis; yang lain berkata, Elia; ada pula yang berkata, seorang daripada nabi.” “Tetapi menurut kamu, Aku ini siapa?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Engkau ialah Kristus.” Dengan tegasnya Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang diri-Nya. Kemudian Yesus mula mengajar mereka bahawa Anak Manusia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula. Yesus mengatakan perkara ini dengan terus terang. Oleh itu, Petrus menarik Yesus ke tepi lalu menegur Dia. Yesus berpaling memandang murid-murid-Nya lalu menegur Petrus, “Pergilah dari sini, Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.” Setelah itu, Yesus memanggil murid-murid-Nya dan orang ramai di situ lalu berkata kepada mereka, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib dan mengikut-Ku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya, akan kehilangan hidupnya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku dan untuk Injil, akan menyelamatkan hidupnya itu. Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya? Dapatkah hidup itu ditukar dengan apa pun? Jika seseorang malu mengakui Aku dan perkataan-Ku dalam kalangan angkatan yang cabul dan berdosa ini, Anak Manusia juga akan malu mengakuinya ketika Dia datang dalam kemuliaan Bapa-Nya diiringi para malaikat suci.”